Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Friday, May 14, 2010

Minggu-minggu yang menduga Iman

Rasanya tak perlu hendak diberitahu, Mauritsstraat seperti yang tertera di atas ialah nama sebatang jalan. Di situ letaknya rumah kecil yang disewakan syarikat suami sepanjang kami berada di Belanda. Rumah atas loteng yang boleh dikatakan langsung tak berbilik dan perlu mendaki tangga kecil untuk naik ke rumah. Kalau boleh dianggap ada sebuah bilik pun, ia bilik air.

Jika dibanding dengan rumah teman-teman suami yang lain, memang rumah kami tak seberapa rupanya. Sekali pandang nampak kurang selesa, dengan ruang yang agak terhad. Nama pun rumah bujang berbentuk studio apartmen. Mungkin tak begitu sesuai untuk orang yang sudah berkeluarga. Tapi terus terang, kami suami isteri cukup berkenan dengan rumah itu (lebih-lebih lagi encik suami).

Di sebalik bentuknya yang serba kekurangan, rumah itu lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan seorang suri rumah. Antaranya seperti dapur, peti ais, mesin basuh, mesin pengering, ketuhar gelombang, mesin pencuci pinggan, alat pemanas, katil, meja makan, televisyen dan juga radio.

Malah pemilik rumah turut menyediakan set pinggan mangkuk, cawan dan gelas, sudu garfu, kuali leper serta tuala mandi - macam sebuah bilik hotel 4 bintang. Sebut saja apa barang yang diperlukan, semua sudah disediakan... kecuali bahan makanan.

Satu perkara saja yang selalu membuat aku makan hati tentang rumah itu, iaitu sudut dindingnya yang tersangat sempit. Bayangkan keadaaan rumah di atas loteng (betul-betul pada rangka bumbung). Sudah tentu akan menyebabkan si penghuni asyik terlanggar, terhantuk dan tergesel pada dinding, terutama apabila hendak mengemas katil.

Permukaan dinding yang kesat pula lebih memburukkan keadaan, bahkan selalu 'memakan' tangan. Tak terbilang rasanya berapa kali kepala terhantuk dan tangan jadi berbirat, melecet disebabkannya.

Seminggu dua berada di sini, aku mengalami kejutan cuaca yang agak teruk. Mungkin disebabkan cuaca sejuk, hawa daripada pemanas dan penggunaan air suam yang kerap, kulit menjadi sangat kering. Ada masanya sampai merekah kulit dan luka akibat kekeringan yang melampau.

Puas menyapu krim pelembap pada kulit siang dan malam, tetapi tetap tak menampakkan hasil memberangsangkan. Aku pula memang liat hendak minum banyak air masak dan lebih gemar mengambil minuman panas seperti kopi dan teh untuk memanaskan badan. Oleh sebab itu kulit menjadi lebih kering setiap hari.

Pedih luka apabila terkena air selalu membuat aku berat hati setiap kali hendak mencuci pinggan mangkuk, sampai akhirnya terpaksa membeli sarung tangan getah bagi memudahkan kerja. Sedih juga sesekali melihat kulit tangan sendiri yang menjadi gelap serta luka di sana sini. Sekali pandang, kalah kulit tangan nenek tua.

Tetapi hati sentiasa redha dengan berkata, ini semua dugaan dari Allah yang Maha Esa. Mungkin ianya ujian dan mungkin juga balasan untuk dosa-dosa aku selama ini. Insha-Allah... suatu hari nanti segalanya akan pulih, malah mungkin lebih baik lagi dengan izin Allah.

Jujurnya, aku bukan hamba Allah yang betul-betul kuat iman semasa di luar negara. Cabarannya berada jauh dari kemudahan beribadah seperti di Malaysia cuma Allah saja yang tahu. Banyak kali juga terlepas waktu solat (pada peringkat awal) disebabkan masih tak biasa dengan kelainan masa.

Ada ketikanya tidak ada tempat sesuai hendak bersolat, sukar mencari makanan halal apabila keluar jauh dari rumah (disebabkan was-was) dan sebagainya. Sedang hati sendiri pun selalu berat hendak mengerjakan ibadah-ibadah sunat.

Berminggu-minggu juga terpaksa diambil untuk menyusun semula jadual kembali ke landasan sepatutnya. Tetapi Alhamdulilllah, semua itu banyak mengajar aku menjadi hamba Allah yang lebih baik insha-Allah.

Bukan senang menjadi seorang muslim di negara asing dan itu cukup membuat aku kagum pada umat Islam yang hidup berkelana di negara orang. Hebatnya mereka yang masih teguh mengamalkan ajaran Islam di Eropah, malah sanggup berikhtiar untuk mengadakan sebuah masjid untuk umat Islam mendirikan solat.

"Allahu Akbar.." ~ ZaidahSikun


Monday, May 10, 2010

Welkom Nederland ~ my little home

Sampai di bumi Netherlands, perasaan yang bermain di hati masih sukar hendak digambarkan. Terlalu gembira tidak, terlalu rindukan tanah air pun tak juga. Terus terang, hati terasa sangat lapang selepas meninggalkan bumi Malaysia. Rasanya tak ubah seperti hilang segunung beban yang selama ini menekan di bahu.

Begitu banyak kecelaruan hidup perlu diharungi sebelum ini, sekarang mungkin masa yang cukup sesuai untuk aku membuka lembaran baru bersama suami. Selama lebih 30 tahun, hidup dihabiskan begitu saja di Malaysia. Akhirnya dapat juga memperbaharui kehidupan yang sebelum ini terasa semakin kosong.

Ketika tiba di lapangan terbang Schipol Amsterdam, aku dan suami terus menuju stesen keretapi untuk ke bandar Eindhoven. Jarak di antara Schipol dan Eindhoven boleh tahan juga jauhnya, tetapi kami terpaksa duduk berdekatan pintu keluar kerana terlalu banyak beg (besar) yang dibawa. Lebih senang apabila hendak turun nanti.

Ketika keretapi sampai di stesen Eindhoven, aku dengan lagaknya menolak cadangan suami supaya memakai baju sejuk. Di dalam hati menjangka tentu suhu Belanda tak sesejuk mana memandangkan musim salji sudah berlalu. Tetapi sangkaan itu nyata meleset apabila aku mula menggigil kesejukan sebaik keluar dari perut keretapi. Itulah kata orang, jangan melawan cakap suami.

Allahu Akbar, rupanya suhu ketika itu lebih kurang 3 darjah selsius - sedikit saja lagi hendak mencecah paras beku. Sejuknya aku rasakan tak dapat diluah dengan kata-kata, lebih dari sekadar mencucuk sampai ke tulang hitam. Sudahlah kami terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke rumah sewa. Sepanjang 15 minit perjalanan, hampir beku rasanya hidung dan tangan. Kulit muka pun terasa tebal dek kerana terlalu sejuk.

Pemanas ada disediakan di dalam rumah, tetapi tak pernah cukup untuk aku memanaskan badan. Kalau tidak memakai stokin dan baju dua lapis memang tak sah rasanya. Mandi pun semestinya dengan air suam. Sejuk tak terkata sampaikan hendak melakukan kerja rumah sekalipun cukup seksa.

Namun yang lebih menduga iman ialah waktu solat dan zon waktu yang agak berbeza dari Malaysia. Waktu di sini 5 jam lebih lewat (kalau tak silap saya), manakala waktu siang pula agak panjang. Seksa juga rasanya hendak menunggu masuk waktu Isyak yang kebiasaannya sekitar 11.30 hingga 12 malam. Sementelah maghrib pula lebih kurang jam 9 dan Syuruk jam 5.30 pagi.

Tempoh permulaan merupakan tempoh yang cukup menduga iman bagi aku ketika itu. Pada waktu begini baru terasa betapa bertuah aku selama ini dilahirkan di Malaysia.

"Hujan salji di negeri orang, best lagi hujan di negeri sendiri.. hehe" ~ ZaidahSikun

Saturday, May 8, 2010

Terbang ke awan biru

Semasa dalam kapal terbang, aku perhatikan majoriti penumpang adalah 'mat saleh'. Elok pula aku langsung tak berasa janggal, sedangkan sebelum itu aku menjangkakan sebaliknya. Tuah aku agaknya, kebetulan hari itu ada seorang lagi penumpang wanita (melayu) yang memakai tudung.

Tempat duduknya pula tak begitu jauh dari tempat kami. Sempat juga kami bertegur sapa dengannya ketika di dalam perut kapal terbang. Oh, orang Pahang rupanya - mengikut suami menghadiri persidangan di Amsterdam.


Kalau mengikut kiraan kasar, penerbangan ke Belanda mengambil masa lebih kurang 12 jam. Kapal terbang berlepas sekitar 11.55 malam (13hb April) dan sampai di Amsterdam pada pukul 1 petang waktu Malaysia (14 April).

Terasa sungguh membosankan kerana terpaksa duduk selama setengah hari di dalam kapal terbang. Penerbangan waktu malam langsung tak membantu mengurangkan bosan.

Aku cuba melelapkan mata, tapi belum mengantuk pula. Separuh masa penerbangan aku habiskan dengan menonton filem percuma pada skrin tv yang disediakan di belakang tempat duduk penumpang. Habis 1 filem, aku lelap seketika. Mata mulai layu pada masa itu, sementelah orang di kiri kanan, depan dan belakang semuanya sudah lena dibuai mimpi.

Selepas beberapa jam, aku terjaga dari tidur yang tak begitu lena. Kelihatan sebungkus makanan seperti kek dan biskut di atas meja tempat duduk. Ah, nampaknya aku sudah terlepas waktu makan lewat malam. Tak sangka pula ada hidangan lewat malam di kala hampir semua orang tak sedarkan diri.

Sedar dari tidur, aku terus memasang satu filem lagi. Secara keseluruhan, dua filem habis ditonton tanpa terlepas satu babak pun. Suami di sebelah pula lebih banyak melelapkan mata sepanjang penerbangan. Tinggallah aku seorang diri terkebil-kebil menonton filem.

Walaupun tak begitu selesa duduk di dalam kapal terbang dan dilanda kebosanan, sekurang-kurangnya dapat juga aku menonton filem Avatar yang secara kebetulan tak sempat aku tonton di pawagam. Jimat duit, tak perlu membayar tiket wayang atau membeli dvd.

Perkara yang paling seronok sepanjang penerbangan sudah tentu ialah makan. Terima kasih kepada encik pramugara dan cik pramugari MAS bertugas yang sentiasa murah senyuman dan ramah bersembang dengan aku dan suami. Layanan yang diterima pun sangat baik, mungkin disebabkan tak ramai orang Melayu mengikuti penerbangan ke Belanda pada masa itu.

Semasa sarapan pagi encik pramugara awal-awal lagi sudah mengasingkan nasi lemak untuk aku dan suami. Katanya, sudah menjangka kami berdua tentu akan berkehendakkan nasi lemak. Maklum sajalah, sampai di Belanda nanti tentu susah hendak makan nasi lemak sepertimana di Malaysia.

Sebelum turun dari kapal terbang lebih kurang jam 7 pagi (waktu Belanda), suami sempat pula memberitahu yang kami berdua sebenarnya baru saja berkahwin. Tak puas hati sungguh encik pramugara pada masa itu. Katanya, kalau diberitahu lebih awal bolehlah dia memberi sedikit cenderahati untuk kami berdua.

Aku dan suami hanya mampu tersenyum kambing. Biar di dalam hati terasa sangat rugi, pokok pangkalnya memang bukan rezeki kami. Oh, sakitnya jiwa...

Cuma tak gembira bila 'mat saleh' duk minum wine & beer kat dalam kapal terbang.. huhu ~ ZaidahSikun