Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Wednesday, November 25, 2009

Nasi lemak memori daun pisang

Pagi esok aku perlu bersiap sedia untuk balik kampung menyambut Aidil Adha. Hati girang teringat anak saudaraku yang seorang itu. Mungkin sekarang dia sudah pandai mengukir senyum dan 'bercakap' apabila di agah.

Kali terakhir (yang juga merangkap kali pertama) melihat Thaqif, si kecil itu lebih banyak tidur. Sekali-sekala dia akan terjaga apabila terasa hendak menyusu ataupun tidak selesa disebabkan lampin basah. Itupun Thaqif membuka mata sekejap cuma - selepas itu dia akan tidur semula. Biasalah... rutin harian seorang bayi... Apa sangat hendak diharapkan.

Dalam membilang minit-minit terakhir sebelum balik kampung, tiba-tiba aku teringat janji sebelum ini hendak menyambung cerita tentang nasi lemak. Kalau ikutkan hati aku mahu terus tidur saja - mata sudah teramat layu disebabkan perut kenyang.

Namun begitu, tak mengapalah... Akan aku cuba bersengkang mata, memerah idea di dalam kepala untuk berkongsi cerita. Tak boleh asyik bertangguh sebab semasa di kampung, aku biasanya tak akan sama sekali menyentuh modem internet ataupun komputer riba. 100 peratus tumpuan hanya untuk bercuti.

---------------------------------------------

Berbalik kepada cerita tentang nasi lemak, sebenarnya kenangan berkaitan nasi lemak tak habis setakat semasa di bangku sekolah.

Antara yang paling tak dapat aku lupa ialah pengalaman sewaktu kali pertama menjadi penjual nasi lemak. Ketika itu aku masih menuntut di Matrikulasi UIA, Jalan Pantai Baru.

Sempena acara apa tak pula aku ingat, tapi pada masa itu setiap blok asrama diberi peluang untuk menyertai gerai menjual makanan selama sehari. Pelbagai menu ringkas ada kami jual dan menu utama pilihan kami (aku dan rakan-rakan serumah) ialah nasi lemak.

Oleh kerana kami tak dibenarkan memasak di asrama -berlebih lagi kami pun tak begitu pandai memasak, bekalan nasi lemak kami ambil dari ibu salah seorang 'junior'. Siap satu pakej dengan ikan bilis goreng, sambal, timun dan kacang goreng ditempah untuk gerai kami itu.

Pagi-pagi lagi ibu dan ayah 'junior' berkenaan bersusah payah datang ke asrama membawa periuk berisi nasi lemak yang kami tempah. Mujur juga ada 'junior' yang tinggal sekitar Kuala Lumpur, kalau tidak tak dapatlah kami berniaga nasi lemak hari itu.

Kerja-kerja membungkus kami lakukan sendiri sebaik saja bekalan diterima. Semuanya dilakukan di ruang tamu bilik. Seronok sangat rasa hati waktu itu. Aku tak nafikan, pengalaman semasa di matrikulasi memang lebih seronok berbanding sewaktu di kampus utama.

--------------------------------------------

Dari pagi hingga ke petang kami duduk di gerai menjual nasi lemak, ternyata sambutan yang diterima amat menggalakkan. Nasi lemak itu secara sambil lewa aku namakan "Nasi lemak Memori Daun Pisang" - mengambil sempena tajuk lagu dangdut nyanyian Amelina dan Iwan. Kebetulan nasi lemak yang kami jual memang dibungkus dengan daun pisang.

Disebabkan terlalu laku, sekejap saja sebungkus demi sebungkus nasi lemak terus dibeli orang. Paling lucu ialah apabila ada seorang penuntut lelaki yang sejak pagi memandang nasi lemak itu dari gerainya. Lama juga aku lihat dia semacam serba-salah hendak datang ke kedai kami. Mungkin dia segan kerana penjaga gerai kami semuanya perempuan.

Menjelang tengahari barulah dia berani datang ke gerai. Sayang sekali masa itu nasi lemak Memori Daun Pisang sudah pun habis dijual. Berlalulah dia pergi dengan senyuman malu-malu kucing. Kasihan pun ada juga... tapi apakan daya. Kami sendiri pun tak merasa.

Selamat menyambut Aidil Adha untuk semua. Ampun dan maaf dihulurkan bersama. ~ ZaidahSikun

Saturday, November 21, 2009

Susahnya menjaga hati orang lain


Siapa kata menjaga hati orang itu mudah? Menjaga hati sendiri pun rasanya teramat sukar, apatah lagi menjaga hati orang yang langsung jauh dari jangkaan kita. Kita cuma manusia biasa yang punya kelemahan - tak mampu hendak menjaga hati semua orang.

Semakin kuat kita cuba menjaga hati seseorang, semakin besar pula risiko untuk kita membuat orang itu terasa hati. Disebabkan terlalu ingin menjaga hati orang lain, ada ketikanya kita terpaksa menyakitkan hati sendiri.

Kebanyakan masa tak dapat hendak menyatakan kebenaran atau pandangan kerana bimbang ada insan yang akan terasa.


Hakikatnya ditakdirkan setiap manusia itu mempunyai jiwa dan pemikiran yang unik tersendiri. Bak kata orang, rambut sama hitam hati lain-lain. Perkara yang bagi kita cuma gurauan biasa, mungkin menyakitkan hati bagi sesetengah orang. Sebab itulah selalu kita diingatkan supaya berfikir dulu sebelum berkata-kata.

Tapi melakukannya tak semudah kita bercakap. Pendek kata kalau hendak berbuat baik terasa amat susah, sedangkan hendak membuat jahat itu sangat senang pula.

Kalau terkenangkan masa lalu, aku akui memang banyak perkara yang sampai hari ini jadi sesalan. Semasa remaja dulu, kadang kala aku bertindak melulu dan tanpa sengaja menyakitkan hati orang lain - berlebih lagi kalau pada masa itu aku dalam keadaan tertekan atau lapar.

Bukanlah langsung tiada sifat sabar, tetapi sebagai manusia biasa sabar yang aku miliki selalu ada batasnya (dan terhad?). Kalau keadaan melebihi kemampuan, cepat saja nada suara akan meninggi.

Kadang kala tak semena-mena tersebut sesuatu yang menyakitkan hati bagi sesetengah orang, walaupun sebenarnya sudah cuba sedaya mungkin untuk menjaga perasaan orang lain
.

Bagi mereka yang faham mungkin tidak menjadi hal. Bagi yang tak memahami, sudah tentu selepas itu tak mahu lagi bertegur sapa atau terus bermasam muka sampai bila-bila.

Apa yang tak menariknya ialah perkara-perkara sebegitu bagaikan di gam kuat dalam ingatan. Kebanyakan salah silap yang dulu masih menghantui diri sampai ke hari ini.

Agak susah untuk aku memaafkan diri sendiri terutama apabila mengingatkan yang aku seperti berhutang kemaafan dari orang-orang tertentu.


Bukan sombong tak mahu meminta maaf. Cuma ada kalanya mereka tetap enggan memaafkan sekali pun sudah berkali-kali maaf dipinta. Ada masanya aku pula tak berpeluang hendak meminta maaf kerana tak tahu di mana mereka berada.

Maafkan aku ye kawan-kawan? ~ ZaidahSikun

Thursday, November 12, 2009

Nasi lemak di hatiku

Dari dulu sampai sekarang, menu sarapan pagi kegemaran aku masih sama iaitu nasi lemak. Tak kira sama ada nasi lemak biasa ataupun nasi lemak dengan lauk tambahan, setiap kali bersarapan nasi lemak adalah pilihan pertama. Susah betul hendak memilih menu lain sekiranya nasi lemak ada dalam senarai.

Seingat aku kenangan pertama berkaitan nasi lemak berlaku ketika aku masih di sekolah rendah. Kalau ditanya pada umur berapa, rasanya tak dapat hendak aku sebutkan. Maklum saja, usia sekarang sudah masuk dekad ke 3, macam-macam cerita sudah tak lagi muat disumbat dalam fikiran.

Dulu sekiranya ada duit lebih, aku dan kawan-kawan mesti akan ke warung kopi yang terletak tak jauh dari sekolah. Kalau tak silap harga sebungkus nasi lemak cuma 50 sen.

Jika hendak dinilai dari paras rupa, memang tidaklah secantik mana. Nasi lemak kosong saja tanpa telur, ikan bilis atau lauk tambahan, kemudian dibungkus dengan plastik pembungkus air.


Tapi keenakan nasi lemak yang dijual tak dapat hendak diluah dengan kata-kata. Memang enak... dengan sambal yang cukup rasa pedasnya dan nasi yang lemak secukup rasa. Tak mampu hendak dilupakan sampai ke hari ini.

Memandangkan aku masih kecil ketika itu, wajah makcik atau pakcik penjual nasi lemak tak melekat langsung dalam kepala. Apa yang lebih segar dalam fikiran cuma nasi lemak yang enak itu saja - tidak termasuk tukang masaknya.

Masih teringat lagi bagaimana perasaannya ketika melihat pakcik kedai membungkus nasi lemak. Sambil menonton gerak-gerinya dari tepi tingkap, aku menelan air liur dek kerana tak tahan menghidu aroma nasi lemak panas yang menawan kalbu. Ditambah pula waktu itu perut sudah ligat berkeroncong.

Rata-rata di antara kami - kanak-kanak yang membeli nasi lemak dalam plastik, menikmati nasi lemak dengan cara tersendiri. Tak perlu sudu garfu. Cuma gigit saja bahagian hujung bawah plastik, selepas itu makan dari bahagian bawah yang telah bocor itu. Ataupun makan terus dari plastik pembungkus tanpa sudu.

Kalau diingat-ingat kembali, cara makan yang sebegitu memang agak pelik dan tak pernah dibuat orang. Tapi faham-faham saja, waktu itu aku masih kanak-kanak. Buat apa pun jarang hendak berfikir dua kali.

Bagaimana pun, itu cuma kenangan lalu. Sekarang ini walaupun warung kopi itu masih wujud, aku tak pernah ke situ lagi. Kalau ada sekalipun mereka menjual nasi lemak, mungkin rasanya sudah tidak sama.

Kadang-kadang rindu juga hendak menikmati nasi lemak yang betul-betul sedap seperti waktu dulu. Tapi malang sekali hendak aku katakan, di Kuala Lumpur agak susah mencari nasi lemak yang menepati cita rasa. Letaklah nama kedai dengan pangkal perkataan "Nasi Lemak" sekalipun kadang kala rasa masakannya tetap tidak mampu memuaskan hati.

Penat aku menjelajah ke seluruh kawasan di serata bandaraya Kuala Lumpur, akhirnya bertemu juga nasi lemak yang hampir-hampir menepati piawaian. Cuma di pasar malam atau di kedai biasa saja tetapi rasa masakannya tidak mengecewakan. Kalau teringin hendak menikmati nasi lemak, ke situlah tempat yang akan aku tuju.

Kita sambung cerita dalam entry akan datang ~ ZaidahSikun

Wednesday, November 4, 2009

Talk about love

Kadang kala aku terfikir... bertuahnya menjadi orang yang dapat mengahwini insan yang dicintainya. Lihat saja Waheeda dan Akhil Hayy. Walaupun sampai sekarang masih dibelenggu kontroversi kisah cinta mereka, paling tidak mereka berhasil juga menyatu hidup bersama.

Tetapi dari sudut lain aku terfikir, berbaloikah kita mengejar cinta yang dalam masa sama menyebabkan lebih ramai lagi terkecewa? Entahlah.. soal jodoh semuanya ditentukan Allah. Kalau sudah jodoh, ke mana sekalipun kita cuba melarikan diri cinta tetap akan datang.

Selalu orang berkata bahawa cinta kepada manusia itu bukan segalanya. Namun apabila cinta datang juga tanpa dipelawa, terpaksa aku menampung berat rasa itu di dalam hati. Pedihnya menanggung cinta cuma Allah yang tahu. Setiap hari hati terasa bagai diseru-seru. Tak cukup di dunia nyata, rindu datang pula mengganggu di dalam mimpi.

Tatkala memandang orang yang dicintai, hati pula mengada-ngada hendak berdebar. Lutut menggeletar membuat diri rasa seperti hendak tumbang apabila bertembung atau ditegur si dia. Amboi... indahnya rasa semasa mula-mula dilamun cinta.

Begitupun bab yang menyeksa jiwa datang pada kemudian hari apabila cinta tidak kesampaian. Pelupuk mata setiap hari dibanjiri air mata. Hendak dibuang rasa cinta dan rindu, tapi rasa yang sudah bercambah di dalam hati tetap degil tidak mahu pergi. Adakah kerana jodoh, ataupun kerana hati berkeras tak mahu melupakan?

Pada waktu begini aku rasakan hidup tak ubah seperti jalan cerita di dalam sebuah novel cinta. Untungnya cinta di dalam novel tidak begitu sukar hendak dijelaskan. Terpulang pada penulis untuk mencorak jalan cerita - siapa yang perlu dipilih... jejaka mana yang perlu kecewa... akhirnya bahagia atau sengsara.

Sedang realiti hidup pula tidak semudah itu. Membuat satu keputusan yang dianggap remeh, terasa bagaikan beban seberat gunung menyeksa fikiran. Seksanya menafikan cinta yang setiap hari membakar jiwa.

Ada sesetengah orang yang dianugerahkan cinta selepas berkahwin, jalan cerita cinta yang mudah dan tidak pula beronak berliku untuk sampai ke jinjang pelamin. Namun rezeki setiap orang itu berbeza-beza.

Ada yang lambat bertemu jodoh atau tidak berkahwin sama sekali. Ada yang bercinta berkali-kali dan ada juga yang tidak pernah langsung merasai cinta. Semuanya sudah ditentukan Allah.

Aku cuma berdoa agar ada pengakhiran yang baik untuk setiap rasa cinta dan kepedihan yang diberikan Allah kepada aku.

I can't get you out of my head ~ ZaidahSikun