Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Friday, May 29, 2009

My Journey to Putrajaya : 20 minit Pelayaran

Belum sempat mengelamun panjang, sedar tak sedar aku sudah pun sampai di Hentian Bas Pekeliling.
Fikiran ketika itu hanya tertumpu pada stesen LRT Star. Kaki laju saja melangkah meniti anak tangga untuk naik ke tempat menunggu LRT.

Bimbang juga aku kalau kawan-kawan terpaksa menunggu lama. Jika kelewatan, tak tercapai pula hasrat kami hendak menaiki Tasik Putrajaya Cruise. Takut-takut kehabisan tiket disebabkan ramai orang.


Tiba di tempat menunggu LRT aku terus menaip pesanan ringkas kepada 'big boss', memberitahu yang aku sudah sampai di stesen LRT Titiwangsa. Aku tahu dia terkilan kerana tak dapat menghantar aku pagi itu. Tapi tidak mengapa, aku faham tanggungjawab kepada ibu bapa lebih penting.

Sambil menaip, sesekali aku sempat meninjau kalau-kalau ada kelibat LRT ke Ampang. Syukur alhamdulillah... Beberapa minit kemudian, LRT pun tiba. Tidak sampai 20 minit berada di dalam perut LRT, aku akhirnya sampai di stesen Pandan Jaya.

Keluar saja dari pintu stesen, aku lihat Along sudah sedia menunggu di tempat letak kereta sambil tersenyum simpul. Tanpa berlengah kami terus menuju ke destinasi dengan menaiki kereta. Tersesat sedikit di sekitar Putrajaya, tetapi kami berjaya juga sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.

Sementara menunggu Ummi sampai, kami mengambil peluang untuk bersarapan terlebih dahulu di medan selera berdekatan Masjid Putrajaya. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Sudah hampir masuk waktu makan tengahari... perut pun sudah lama berkeroncong minta diisi.

Selepas makan, kami lalu membeli tiket. Beberapa minit kemudian kami terus menuju ke jeti untuk menaiki kapal yang diberi nama 'Daun'.

Penumpang pada pagi itu agak ramai. Tetapi memandangkan kami hanya mempunyai masa selama 20 minit pelayaran, masa yang tinggal lebih banyak dihabiskan dengan mengambil gambar di atas kapal.


Kalau ditanya tentang pemandangan, rasanya tidak begitu banyak yang dapat aku ceritakan. Ini kerana aku langsung tidak berkesempatan untuk menikmati pemandangan ketika berlayar. Paling melekat di fikiran cumalah jambatan Putrajaya. Itupun kerana aku ada mengambil gambar jambatan itu beberapa kali disebabkan rupanya yang menarik.

Perasaan ketika menaiki kapal Putrajaya Cruise pula nampaknya tidak begitu mengujakan. Soal masa pelayaran yang singkat, itu tidak menjadi soal sebenarnya. Tapi aku merasakan reka bentuk kapal agak sempit dan kurang selesa untuk menikmati pemandangan luar dalam masa yang terhad.

Penumpang tidak dapat merasakan angin semula jadi sekitar tasik sepanjang pelayaran memandangkan tingkap kapal yang tertutup. Malah, ruang untuk mengambil gambar pun sedikit terbatas, cuma bergantung semata-mata kepada ruang dek belakang yang kecil.

Walau bagaimanapun, itu cuma pendapat peribadi saja. Silap aku juga kerana agak cerewet dan sudah meletakkan harapan yang terlalu tinggi sebelum menaiki kapal tersebut.

Mungkin aku patut mencuba pengalaman menaiki sampan pula jika datang ke Putrajaya selepas ini.

Saturday, May 23, 2009

My journey to Putrajaya - Bahagian 1












Dua minggu yang lalu, aku bertemu lagi dengan dua orang kawan lama. Kalau sebelum ini kami sekadar duduk bersembang sambil makan dan minum, kali ini kami mencuba Putrajaya Lake Cruise pula. Kebetulan pada setiap hujung minggu harga tiket untuk menaiki 'cruise' dipotong separuh harga untuk pelayaran selama 20 minit.

Memandangkan Putrajaya agak jauh dari rumah, aku terpaksa bangun lebih awal dari kebiasaan pada pagi itu. Hendak dijadikan cerita, setiap pagi ahad sepanjang bulan Mei Rapid KL menjalankan kerja-kerja menaik taraf perkhidmatan LRT Putra. Terpaksalah aku mengambil bas ke Stesen LRT Star Titiwangsa kerana sudah berjanji hendak berjumpa Along di Stesen Pandan Jaya.

Syukur alhamdulillah... murah rezeki aku pada pagi itu. Tak sempat letih menunggu di tepi jalan, bas akhirnya sampai. Perasaan aku bercampur baur ketika itu. Seronok juga sesekali menaiki bas pada waktu pagi. Udara masih nyaman dan tidak begitu banyak kenderaan di jalan raya.

Di dalam bas pun tidak begitu ramai penumpang. Kebanyakan mereka hendak ke tempat kerja atau ke pasar. Tersenyum aku di dalam hati melihat beberapa orang siswi turun di hentian bas berdekatan Tasik Titiwangsa. Bersemangat sungguh mereka. Maklumlah... orang muda.

Jika difikir-fikirkan, sudah lama juga aku tidak bersenam atau berjoging. Aku ada juga menyimpan hasrat hendak kembali melakukan rutin joging seperti dulu. Tetapi selalu saja tertangguh kerana mengharapkan ada teman. Tak seronok langsung jika aku terpaksa berjoging seorang diri.

Bersambung...

Friday, May 22, 2009

Bukan lagi kasihku...

Sewaktu menggeledah you tube... mencari lagu-lagu inspirasi baru, tiba-tiba aku terpandang sebuah lagu yang suatu ketika dulu pernah ditujukan oleh seseorang kepada aku.

Sudah lama aku tidak mendengar lagu ini dimainkan di corong radio. Aku hampir terlupa sama sekali tentang lagu ini, begitu juga dengan insan yang menujukannya.

Harap-harap insan tertentu tidak akan berkecil hati apabila lirik lagu ini diungkit kembali. Tidak bermaksud langsung hendak aku mengenang kisah-kisah lalu.

Lagu ini pernah memberi kesan yang amat mendalam kepada hidup aku dulu. Terlalu banyak kisah pahit dan manis tersimpan di sebalik sebuah lagu yang sebegitu ringkas.

Pelik... Mengapa hati seorang wanita itu mudah terbawa-bawa apabila ditujukan sebuah lagu oleh insan yang disayanginya?

Mungkin itulah yang membezakan kaum adam dan kaum hawa. Setiap perkara yang menyentuh jiwa serta emosi akan melekat kuat di hati wanita. Sedangkan lelaki pula lebih mudah meninggalkan kisah yang pahit di belakang... dan mereka terus memandang ke depan tanpa menoleh lagi.

Glen Fredly - Januari

Berat bebanku
Meninggalkanmu
Separuh nafas jiwaku
Sirna…

Bukan salahmu
Apa dayaku
Mungkin benar cinta sejati
Tak berpihak
Pada kita

Kasihku
Sampai di sini kisah kita
Jangan tangisi keadaannya
Bukan kerna kita berbeda

Dengarkan
Dengarkan lagu… lagu ini
Melodi rintihan hati ini
Kisah kita berakhir di Januari

Selamat tinggal kisah sejatiku
Oh… pergilah


Sunday, May 17, 2009

Langkah pertama

Pagi ini aku mulakan hari dengan hati yang begitu aman dan kosong. Jiwa yang terhimpit dengan pelbagai tekanan tidak aku hiraukan kerana fikiran berserabut memikirkan keadaan yang bakal ditempuh hari ini.

Aku tidak mengharapkan apa-apa yang luar biasa, tetapi entah mengapa hati kemudiannya jadi tak karuan.
Hendak memilih pakaian yang sesuai saja sudah cukup membuatkan aku serba tak kena. Mungkin kerana aku sudah agak lama tidak menghadiri sebarang bengkel, seminar mahupun kursus.

Setibanya di kelas, aku terus mengambil tempat di barisan ke tiga yang kebetulan masih kosong. Sebelum duduk sempat juga aku menegur jiran sebelah sambil tersenyum simpul, "Ada orang tak?" Dia sekadar menggeleng kepala.

Aku bernasib baik kerana tidak begitu lewat sampai ke kelas. Jika tidak, sudah tentu aku terpaksa duduk di luar kelas kerana jumlah peserta yang datang pada hari ini agak ramai, malah melebihi kapasiti maksimum kelas yang digunakan.

Pada awalnya aku berasa agak janggal berada di kalangan individu yang langsung tidak dikenali. Keadaan aku ketika itu tak ubah seperti kanak-kanak pada hari pertama persekolahan.

Walaupun begitu, itu bukanlah masalah besar bagiku. Ketika bekerja sebagai wartawan dahulu aku sudah biasa terkontang-kanting seorang diri di dalam majlis. Apa yang lazimnya aku lakukan ialah berbalas-balas senyuman dengan mereka yang duduk berdekatan, kemudian bertegur sapa dengan individu yang duduk di sebelah.

Sepanjang bengkel diadakan, kebanyakan peserta begitu rancak bertanya itu dan ini kepada penceramah. Semakin lama semakin ramai memberikan pandangan serta soalan, menjadikan suasana bengkel hari itu cukup hangat. Aku pula sekadar terkebil-kebil seperti cicak tertelan kapur sambil memandang Puan penceramah yang sesekali memandang ke arah ku.

Memang aku tidak bercadang hendak bersuara pada mulanya. Tetapi apabila perbincangan menjadi semakin hangat, secara tiba-tiba jiwa aku juga turut melonjak-lonjak hendak mengutarakan soalan. Jantung terasa seperti hendak tercabut ketika menunggu masa yang sesuai hendak bertanya.

Tak dapat hendak aku ceritakan betapa leganya hati apabila soalan-soalan itu aku luahkan dan mendapat jawapan. Bunyinya mungkin agak kebudak-budakan, tetapi aku benar-benar gembira kerana turut serta dalam 'peperangan' soalan hari ini.

Berkongsi ilmu pengetahuan baru dalam bidang yang digemari, menjadikan aku lebih segar dalam meneruskan perjuangan. Aku kini lebih jelas dengan apa yang ingin aku lakukan. Semoga suatu hari nanti aku juga dapat menghasilkan karya seni yang terindah, seterusnya mencapai sesuatu dalam hidup.

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu

"Selamat Hari Ibu, mak... " kata aku sewaktu menelefon emak. Ketika itu sekitar jam 10 malam.

Emak gembira sekali mendengar ucapanku itu.
Walaupun sekadar mendengar suara di corong telefon, aku tahu emak sedang menguntum senyum. Dalam senyuman emak sempat lagi menegur aku kerana lambat mengucapkan Selamat Hari Ibu.

Sewaktu ketika dulu ucapan sebegitu agak janggal bagi emak. Pada awalnya emak semacam keliru. Emak langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi... mungkin sebab tidak biasa.

Tetapi apabila saban tahun menjadi kebiasaan kami adik-beradik untuk mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada emak, lama-kelamaan emak dapat memahami. Mungkin juga emak terpengaruh dengan iklan-iklan Hari Ibu yang kerap dimainkan di kaca TV.


Emak jarang sekali menunjukkan rasa teruja. Sekadar tersenyum biasanya. Begitupun aku yakin emak amat bahagia setiap kali kami menelefonnya. Di sebalik ucapan terima kasih yang ringkas, aku dapat membayangkan 'bunga-bunga' di hati emak.

Apabila ku tanya adakah emak gembira diraikan pada hari ibu, emak mengakuinya. Namun kata emak, "Anak-anak yang lain jauh."


Tersentuh juga rasa hati. Aku terkilan kerana tak dapat meraikan Hari Ibu bersama emak dan adik-adik yang lain. Tapi apakan daya aku dan tiga beradik lain mempunyai tuntutan kerja masing-masing.

Sejak abah meninggal dunia, emak semakin mudah terasa jika kami lama tidak pulang ke kampung atau jarang menelefonnya. Sesekali aku balik, emak akan memelukku erat.

Aku tahu dalam kesibukan di sini, kadang kala aku seperti mengabaikan emak. Mungkin emak
juga menyangka aku tidak ingat kepadanya, akan tetapi hakikatnya aku selalu memikirkan tentang mak di kampung.

Setiap masa aku mendoakan kesihatan emak dan berharap akan dapat selalu membahagiakannya. Aku cuma malu kerana masih belum dapat membuat emak bangga dengan apa yang aku ada kini.

"Selamat Hari Ibu, mak. Semoga sihat selalu" ~ Zaidah Sikun

Friday, May 8, 2009

Influenza A (H1N1) - apa yang anda patut tahu

Dalam seminggu dua kebelakangan ini, rata-rata rakyat Malaysia sibuk bercerita tentang wabak selesema babi atau nama saintifiknya influenza A (H1N1). Pada hari pertama liputan tentang wabak ini disiarkan di rangkaian televisyen negara, ramai di antara kita mula panik. Bimbang hendak ke mana-mana. Malah seram sejuk apabila terdapat kenalan atau ahli keluarga yang mendapat selesema, sekalipun cuma selesema biasa.

Walaupun tidak dilaporkan secara rasmi, tapi berkemungkinan kebelakangan ini ramai yang terpaksa membatalkan rancangan hendak ke luar negara, terutama negara-negara Eropah, Mexico dan Amerika Syarikat - negara yang mula-mula sekali menerima kes Influenza H1N1.

Di Mexico sendiri, rakyat negara itu terpaksa memakai topeng penutup mulut hampir setiap masa. Kedai-kedai makan, sekolah, muzium, perpustakaan dan teater terpaksa diarah tutup buat sementara waktu.

Stadium bola sepak yang selama ini sesak dengan penonton juga lengang. Semuanya gara-gara virus Influenza H1N1 yang boleh tersebar dengan begitu mudah melalui udara. Paling penting, virus ini masih tiada vaksin dan ia membawa maut.


Influenza H1N1 sebenarnya bukan virus baru, malah telah wujud sejak berpuluh tahun lalu. Kes selesema babi pada manusia mula direkod pada 1976 yang berlaku pada askar di Fort Dix, New Jersey, Amerika Syarikat. Virus itu menyebabkan jangkitan paru-paru atau pneumonia yang meragut satu nyawa dan empat lagi sakit teruk.

Jika anda rajin mengikuti perkembangan jumlah pesakit selesema berbahaya ini, tentu anda juga sedia maklum bahawa virus H1N1 kini sudah tiba di beberapa negara di Asia. Walaupun Malaysia masih bebas dari Influenza A H1N1, kerajaan bagaimana pun tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan virus itu dapat dikekang.

Kementerian Kesihatan telah menempatkan alat pengimbas di balai ketibaan lapangan terbang KLIA dan terminal LCCT di Sepang bagi melakukan saringan kesihatan terhadap penumpang yang pulang dari negara-negara Eropah.

Selain itu, Kementerian juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mempergiatkan aktiviti saringan kesihatan di kesemua pintu masuk utama negara.


Setakat hari ini (7 May 2009), menurut Kementerian Kesihatan Mexico masih terus kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 942 kes yang disahkan melalui ujian makmal, dua puluh sembilan (29) kematian berbanding 822 kes pada hari sebelumnya.

Manakala di Amerika Syarikat, bilangan kes terus meningkat kepada
642 kes positif ujian makmal influenza A(H1N1) dengan pertambahan satu (1) kes kematian pada hari semalam - menjadikan jumlah kematian di negara tersebut kepada dua (2).

Negara-negara yang melaporkan kes influenza A(H1N1) serta tiada kematian adalah seperti berikut: Kanada (165), Sepanyol (73), United Kingdom (28), Jerman (9), Perancis (5), Itali (5), New Zealand (5), Israel (4), Hong Kong (1), Colombia (1), Costa Rica (1), Denmark (1), El Salvador (2), Guatemala (1), Ireland (1), Belanda (1), Portugal (1), Republik Korea (2), Austria (1), Switzerland (1) dan Sweden (1).

Bagi mengelakkan penyebaran virus berbahaya ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan rakyat negara ini agar mengamalkan beberapa langkah pencegahan. Antaranya ialah :

1. Menjaga kebersihan diri
2. Membasuh tangan dengan lebih kerap

2. Sekiranya terdapat tanda-tanda selesema :
- Makan ubat demam seperti paracetamol
- Banyakkan minum air
- Berehat secukupnya
- Elakkan mengambil alkohol dan merokok
- Jangan mengunjungi tempat awam atau majlis keramaian untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain
- Tutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin
- Jalani pemeriksaan kesihatan

*Rujukan :
1. http://www.hmetro.com.my
2. http://www.moh.gov.my

Thursday, May 7, 2009

Mampukah aku ?

Aku akui kadang-kadang aku terlalu bersangka baik terhadap orang lain. Tak tahulah sama ada patut aku anggap ini sebagai sifat negatif atau positif. Namun yang pasti kesannya turut membawa keburukan.

Aku terlalu bersangka baik, sampai ada masanya aku terlepas pandang niat buruk seseorang itu. Aku terlupa sama sekali bahawa di sebalik senyuman, mungkin tersembunyi hasad dengki dan sifat tidak berperi kemanusiaan. Di sebalik tutur kata yang manis pula tersorok perasaan ingin mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang lain.

Sebagai manusia, kita tak mampu meneka niat jahat seseorang. Kita mampu berwaspada, tapi tidak setiap kali. Sering kali kita terlepas pandang apabila bertemu dengan si 'musang berbulu ayam'.

Mungkin juga memang sudah tertulis bahawa kita akan dianiaya oleh seseorang yang berhati busuk. Namun kita tidak dapat meneka kerana kita cuma manusia biasa... tidak lebih dari itu.

Pernah satu ketika dulu semasa aku berusia 18 tahun, aku ditipu seorang kawan sekerja yang kononnya tidak berduit hendak berkahwin. Ketika itu aku bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang sementara menunggu keputusan SPM diumumkan.

Allah saja yang tahu mengapa aku begitu lembut hati hendak memberi hutang kepada wanita itu, sedangkan aku tidak begitu mengenalinya. Jumlah wang yang aku pinjamkan juga agak banyak kerana jumlah itu yang diperlukan olehnya.

Aku keluarkan sejumlah wang dari simpanan yang susah payah ditabung untuk menampung perbelanjaan ke universiti. Niat ikhlas ingin membantu. Tapi siapa sangka, pemikiran ku yang masih mentah itu akhirnya menjadikan aku mangsa.


Hanya selepas itu baru aku tahu bahawa dia pernah berhutang dengan beberapa orang teman lain dan tidak pernah melangsaikan hutang-hutangnya. Malang sekali semua itu sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur.

Berbulan-bulan berlalu, hingga aku telah diterima masuk ke universiti sekalipun dia masih tidak memulangkan wang ku, walaupun setelah dipaksa. Menangis-nangis meminta tempoh, dengan alasan tidak berduit.

Selepas perkara ini sampai ke pengetahuan ibu bapanya barulah aku berhasil mendapatkan sebahagian daripada wang yang dipinjamkan. Itupun bakinya masih tak berlunas sampai ke hari ini.

Teruk juga aku dimarahi mak abah dan kakak-kakak ku kerana tidak bertanya mereka terlebih dulu sebelum memberi pinjam kepada orang. Namun aku cuma mampu berdiam, kerana terlajak perbuatan tak mungkin dapat hendak diundur kembali.

10 tahun dulu, aku memang membenci dia. Tapi perasaan itu mulai tawar dalam peredaran masa. Aku tidak lagi membencinya dan tidak mengharap untuk hutang itu dilunaskan. Cuma aku masih belum dapat memaafkan dia kerana mengambil kesempatan terhadap aku demi kepentingan sendiri.

Walaupun sejak itu aku serik dan cukup berhati-hati apabila hendak meminjamkan wang kepada orang tertentu, sayang sekali aku masih terus bersangka baik kepada orang yang tidak sepatutnya. Akhirnya aku menjadi mangsa individu yang tidak berhati perut. Aku tidak memberi pinjam wang kepada mereka, tapi yang pasti aku kerugian sejumlah wang dalam perniagaan.

Apa yang berlaku membuat aku menilai semula diri. Mungkinkah semua itu berpunca dari dosa aku selama ini?

Sekalipun apa yang aku lakukan tidak seteruk nasib yang aku terima, namun padahnya tiada siapa dapat menjangka. Aku hanya mampu berdoa semoga akan ada pengakhiran yang baik untuk dugaan itu.


Dalam apa jua keperitan, harus aku bangkit menongkah arus. Selagi nyawa masih di kandung badan, aku tidak akan membenarkan siapa pun menjatuhkan kewarasan ku.