Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Thursday, April 30, 2009

What's next in my life?

Dalam usia 30 tahun, aku sedar tentang begitu banyak perkara dalam hidup. Hidup bukan semata-mata berkaitan dengan kemanisan dan kegembiraan. Tapi juga tekanan, yang meningkat hari demi hari... seiring dengan usia.

Walau bagaimana sekalipun badai menghempas, kita tetap perlu mengharunginya. Mungkin ada di antara kita yang dianugerahkan dengan begitu banyak kejayaan dan kemasyhuran. Tapi di sebaliknya tetap akan ada kekurangan.

Yang kaya dan masyhur, terasa duit masih tidak mencukupi. Terus mengejar kesenangan duniawi. Malah tidak pernah aman jiwanya kerana terlalu risaukan banyak perkara. Mereka yang miskin pula, walaupun bahagia tapi gundah gulana setiap hari oleh sebab tidak cukup wang untuk menyara keluarga.

Mungkin aku pun begitu juga...


Apabila aku menarik nafas dalam-dalam... aku tahu ada sesuatu yang boleh membuat aku betul-betul gembira. Ada sesuatu yang paling cocok untuk aku lakukan. Sesuatu yang padan dengan cara pemikiran dan cara aku bekerja. Tapi apa dia? - aku masih berusaha mencari jawapannya.


Tapi yang lebih pasti, sekarang ini aku ingin mencari semula jiwa seni yang sudah lama aku abaikan. Menulis, melukis, mengambil gambar... apa saja berkaitan seni. Kerana di situ letaknya jiwa aku yang sebenar.

Friday, April 24, 2009

Amal ibadah dan zikir penawar sihir

Beberapa minggu lalu aku menonton rancangan Al Kuliyyah di TV3. Kalau tak silap, pada hari Jumaat 10/4/09. Topik berkaitan sihir. Kupasannya hanya secara ringkas kerana kesuntukan masa, tapi khusyuk juga aku menonton sepanjang 1 jam masa siaran.

Kalau hendak diikutkan, topik ini sudah berulang-ulang kali disebut di kaca televisyen. Tapi yang peliknya, larangan menggunakan sihir dan khidmat bomoh dipandang sepi saja oleh kebanyakan orang.

Ramai di antara kita terlalu bergantung pada bomoh dan pawang bagi mengubati atau mendinding diri daripada sihir sedangkan itu perbuatan syirik. Kita juga berharap semata-mata pada pengamal perubatan Islam untuk melindungi dan merawat diri, sedangkan kita mampu melakukannya sendiri dengan mengamalkan ayat-ayat suci al-Qur'an.

Bukan hendak menunjuk alim, tapi
dengan berpegang kepada al-Qur'an dan sunnah setiap orang beragama Islam itu mampu melindungi diri, harta dan keluarganya. Apa yang penting ialah keimanan dan kesungguhan.

Dekatkan diri kepada Allah dengan
mempertingkatkan amal ibadah, solat sunat dan berzikir. Yakinlah kepada Allah kerana hanya Allah S.W.T yang berkuasa menentukan tiap sesuatu.

Amalkan membaca surah Al-Falaq, Surah An-Naas dan Surah Al-Ikhlas, di samping berdoa memohon perlindungan dari Allah S.W.T. Dengan izin Allah, kesembuhan dan perlindungan akan datang kepada kita.

Sekiranya keadaan melebihi kemampuan, tidak salah jika kita berikhtiar dengan merujuk kepada individu yang lebih alim. Selagi cara perubatan yang digunakan masih dalam landasan syarak.

-------------------------------------------------------

Merujuk pada laman web DarusShifa', kita juga boleh melindungi diri, harta dan keluarga dengan mengamalkan 5 jenis benteng:

1. Al-Muawwizat ~ Surah al-Ikhlas
Surah al-Falaq dan Surah an-Naas

CARA
1. Lunjurkan kaki ke arah Qiblat
2. Mengangkat dua tangan seperti berdoa
3. Baca ayat-ayat Muawwizat sehingga selesai (tidak termasuk membaca surah al-Fatihah)
4. Tarik nafas kemudian tiup pada tapak tangan sehingga habis nafas
5. Tarik sikit nafas kemudian tahan nafas sambil menyapu tapak tangan ke seluruh anggota badan yang boleh dicapai kecuali anggota sulit.
6. Lakukan sekali sebelum tidur dan selepas solat subuh setiap hari.

2. Ayatul Kursi

CARA
1. Baca Ayat Kursi dengan 9 wakaf
2. Untuk melindungi diri sendiri; selepas membaca Ayatul Kursi, tiup di sekeliling mengikut tawaf kaabah dengan niat melindungi diri.
3. Untuk melindungi rumah; baca Ayatul Kursi sambil berjalan mengelilingi rumah (mengikut pergerakan seperti tawaf kaabah). Berjalan sama ada di dalam atau di luar rumah.

3. Ayat 1 hingga 9 Surah Yaasin ~ untuk memagar diri, keluarga dan harta benda

CARA
1. Berdiri di satu penjuru rumah (katakan di hadapan rumah sebelah kanan) sambil menghadap penjuru rumah satu lagi iaitu di kiri rumah.
2. Baca surah al-Fatihah diikuti surah Yaasin ayat 1 hingga 9. Sambil baca, sambil berjalan menuju ke penjuru rumah satu lagi (ikut arah tawaf kaabah).
3. Baca kombinasi ini di setiap penjuru iaitu sampai bertemu penjuru yang mula-mula. Jumlahnya 4 kali.
4. Akhir sekali, baca kombinasi ini sambil mengisyarat mendinding ke seluruh bumbung rumah.

(Untuk 2 jenis benteng lagi, sila rujuk ~ http://www.darussyifa.org/pertahanandiri2.php)

Sunday, April 19, 2009

A reunion




Hari ini aku berjumpa dengan dua orang kawan lama. Kawan semasa di tingkatan 5 Pica 1995... Sekolah Menengah Vokasional Perdagangan Johor Bahru.

Kali terakhir bertemu mereka ialah sewaktu mengambil keputusan SPMV tahun 1996. Itupun aku tak begitu pasti tentangnya. Maklumlah, itu semua cerita lebih sedekad lalu. Sekarang sudah masuk April 2009, sudah tentu banyak kenangan yang telah terpadam dek kerana kantung ingatan penuh.

Lebih 10 tahun tak berjumpa, aku langsung tak dapat menyorokkan rasa gembira ketika berjumpa mereka berdua. Senyuman selalu saja terukir di bibir... gelak tawa pula sepanjang masa membasahi gusi.

Masing-masing begitu galak bercerita perihal itu dan ini. Bertanya tentang orang-orang tertentu, gosip-gosip hangat, cinta monyet ketika di bangku sekolah, kenangan lalu dan macam-macam lagi.

Walaupun sekelas dan menghabiskan banyak masa di asrama, kami sebenarnya tidak begitu rapat ketika dulu. Aku, Along dan Ummi mempunyai sekutu tersendiri sewaktu di zaman sekolah. Selepas tamat persekolahan masing-masing membawa haluan sendiri. Malah kami terputus hubungan sama sekali, sehinggalah Facebook menemukan kami semula.

Bertahun-tahun tiada khabar berita tentang kawan-kawan SMVPJB, akhirnya hari ini kami dapat duduk semeja lagi. Bergelak ketawa mengingatkan kisah lama... Bertukar-tukar cerita tentang kehidupan masing-masing. Pendek kata, kami langsung tidak kekok ketika bersembang. Ada saja cerita hendak dikongsikan.


Dari restoran Warong Kita, kami berpindah ke Chicken Rice Shop. Selepas solat Asar, kami memilih medan selera pula sebagai lokasi menyambung cerita. 6 jam habis begitu saja tanpa disedari. Hampir jam 8 malam barulah kami berpisah pulang ke rumah masing-masing. Itupun masih banyak perkara tidak habis dibincangkan.

Duduk bersama bekas rakan sekelas, membuat aku lupa seketika dengan masalah-masalah yang melanda hidup aku sekarang ini. Terasa seperti berada semula di zaman sekolah... sewaktu fikiran masih mentah dan tidak terlalu serius menilai hidup. Ketawa sepenuh hati ketika mengambil gambar bersama. Saling usik mengusik tanpa mempedulikan orang-orang di sekeliling. Terlupa sama sekali yang aku sekarang berusia 31 tahun, bukan lagi remaja berumur 17 tahun.

Walaupun zaman sekolah bukanlah zaman kegemilangan untuk aku. Tapi kadang kala aku ingin sekali mengulangi zaman itu. Saat-saat gembira bersama rakan-rakan sebaya. Bangun jam 6 pagi bersiap untuk ke sekolah... Makan beramai-ramai di dewan makan... Berjalan dalam barisan untuk ke kelas... dan merasai kepuasan dapat pulang ke asrama menjelang tengahari.

Mungkin banyak perkara tak ada lagi dalam fikiran aku sekarang. Tapi hakikatnya aku selalu merindui zaman sekolah. Apabila terlihat biru putih baju seragam sekolah, aku teringatkan waktu sekolah... pakaian seragam SMVPJB dan pisang goreng dengan sambal kicap yang hampir setiap kali akan dibeli apabila balik dari klinik.

Hati aku benar-benar tersentuh.
Kerana berbanding waktu itu, apa yang aku ada hari ini hanyalah lebih banyak kesedihan dan tekanan.

Tuesday, April 14, 2009

Satu lagi pagi yang indah


Selamat pagi.

Hari ini satu lagi hari baru untuk semua makhluk di bumi ini. Seawal jam 5 atau 6 pagi, kebanyakan di antara kita akan bangun memulakan hari masing-masing. Tak kira walaupun masih mengantuk, rutin harian tetap perlu dimulakan.

Selepas mandi dan bersolat, masing-masing akan bersiap menuju tempat kerja. Mereka yang sampai awal, mungkin akan ke kedai makan untuk mengalas perut. Bagi yang tinggal jauh dari tempat kerja, barangkali terpaksa bersarapan di dalam kereta. Atau mungkin lebih teruk lagi, terpaksa menunggu waktu makan tengahari untuk mengisi perut yang kosong.

Ibu-ibu, suri rumah tangga pula akan bangun awal menyiapkan anak-anak ke sekolah, memasak sarapan pagi dan memastikan pakaian suami sudah tersedia. Sesudah semuanya beres, tiba pula masa untuk mengemas rumah, menyapu sampah dan membasuh pakaian. Memasak untuk makan tengahari juga menjadi satu kemestian.

Menjelang petang, bas-bas dan LRT akan penuh sentiasa. Jalan raya menjadi sesak dengan kenderaan di sana-sini. Kebanyakan orang akan berjalan laju, mahu cepat sampai di rumah. Bagi yang berkereta, 5 minit sebelum tamat waktu bekerja sudah bersedia untuk keluar pintu pejabat. Tak sabar rasanya hendak berehat di rumah.

Sungguh memenatkan. Itulah kenyataan hidup manusia sehari-hari. Dalam kesibukan memenuhi rutin setiap hari, kita jarang terfikir untuk merehatkan fikiran. Apatah lagi memandang ke langit, memerhatikan burung-burung yang berterbangan dan awan yang berarak. Barangkali juga kita sebenarnya tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku di sekeliling disebabkan terlalu sibuk dengan urusan dunia.

Sesungguhnya alam yang diciptakan Allah ini begitu indah. Allah menciptakan alam ini dengan warna-warna dan ciri-ciri yang sungguh menenangkan. Oleh kerana itulah, setiap kali memandang pada birunya langit dan bersihnya awan hati kita akan berasa tenang. Memandang kehijauan pohon-pohon mendatangkan damai di hati.

Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang berusaha mensyukuri nikmat Allah?

Renunglah ke langit... tarik nafas sedalam-dalamnya dan lepaskan perlahan-lahan. Subhanallah... Maha suci Allah yang menganugerahkan begitu banyak nikmat di bumi ini. Kita patut rasa bahagia kerana berpeluang melihat langit yang biru, awan yang memutih, ombak di pantai, hujan yang membasahi bumi dan bintang-bintang yang bertaburan di waktu malam.

Sebagai hamba-Nya wajib kita bersyukur kerana dengan kasih sayang dan nikmat yang Allah berikan. Kerana dengan ehsan-Nya kita dapat menjalani hidup sehari-hari, memperoleh rezki dan kesejahteraan.

Monday, April 13, 2009

Tips - Mengelakkan Demam

Sejak kecil hingga sekarang, aku memang teramat mudah mendapat selesema, batuk dan demam. Aku tak akan sekali-kali menganggap demam sebagai kawan baik, tapi setiap tahun sekurang-kurangnya aku akan demam dua kali terutama semasa musim hujan.

Ada kalanya aku akan terlantar selama seminggu kerana demam teruk. Paling menyeksakan apabila terkena demam selesema. Kepala terasa sakit dan badan menjadi lemah, malah sendi-sendi juga turut sama memberontak. Allah sajalah yang Maha Mengetahui.

Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana sekarang tahap kesihatan ku semakin baik. Untuk mengelakkan demam atau sakit 100 peratus mungkin agak mustahil. Tapi setidak-tidaknya, purata sakit dalam setahun dapat dikurangkan.

Lagipun sakit merupakan satu ujian, penghapusan dosa dan tempoh masa yang diberi Allah untuk kita berehat. Kalau tidak demam langsung, dibimbangi mungkin datang pula penyakit lain yang lebih besar.

Lazimnya ramai di antara kita akan terkena demam selesema ketika musim tengkujuh, musim panas atau ketika cuaca tidak menentu. Kalau anda menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik ke tempat kerja, risiko untuk dijangkiti virus selesema agak tinggi. Ini kerana, di kalangan penumpang yang berasak-asak di dalam bas atau LRT, tentu ada seorang dua yang asyik bersin atau batuk kerana demam.

Kalau begitu keadaannya, tentu anda juga terdedah kepada jangkitan virus selesema. Melainkan jika anda seorang individu yang mempunyai antibodi yang sangat kuat dan tidak 'diminati' oleh virus selesema.

Apa yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan dari terkena demam?

1. Minum air masak secukupnya, 8 gelas sehari - terutama apabila badan terasa lemah dan hangat. Itu tandanya badan anda 'kering kontang' dan memerlukan lebih banyak air.

2. Sekiranya tekak terasa perit, anda mungkin akan mendapat demam selesema dalam tempoh sehari dua selepas itu. Untuk mengelakkan keadaan bertambah serius, sediakan gula-gula pelega sakit tekak di dalam beg. Makan apabila anda rasa perlu.

3. Elakkan tubuh dari 'terkejut'. Kalau anda bekerja di dalam pejabat berhawa dingin, pastikan jangan terus keluar dari pejabat ketika cuaca panas terik. Tubuh anda mungkin akan 'terkejut' kerana perubahan suhu mendadak. Seeloknya tunggu sebentar di tempat teduh sebelum ke tempat lebih panas.

4. Sediakan cecair anti-kuman yang mudah dibawa di dalam beg. Basuh tangan dengan sempurna setiap kali selepas menggunakan tandas, selepas membuang sampah, memegang objek yang kotor dan pada bila-bila masa saja yang dirasakan perlu. Kurang kuman di tubuh badan, bermakna risiko anda terkena demam juga akan berkurangan.

5. Mandi dengan sabun atau cecair mandian yang mengandungi bahan anti-kuman, terutama sekali selepas balik dari kerja, bersukan dan lain-lain. Ini akan mengurangkan risiko terkena demam selesema dan batuk.

6. Kalau anda sudah mula berasa kurang sihat ataupun tanda-tanda demam semakin ketara, pastikan anda makan ubat yang diberi doktor atau dibeli di farmasi. Bak kata orang, mencegah lebih baik dari mengubati. Sekurang-kurangnya kalau anda makan ubat lebih awal, mungkin demam anda tidak akan melarat dari sehari kepada seminggu.

7. Amalkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari. Vitamin C dapat membantu mengurangkan risiko demam.

Wednesday, April 8, 2009

Kerana busuknya hati manusia...


Hari ini aku mendapat berita daripada seorang teman. Selama berbulan-bulan dia tidak dapat tidur lena kerana menjaga ayah yang sakit di hospital. Tubuh ayahnya semakin susut, selera makan tidak ada, daya pendengaran semakin kurang, malah penglihatan sebelah mata juga makin memburuk. Namun pihak hospital masih belum dapat mengesan penyakitnya. Tidak ada sebarang petunjuk, walaupun setelah pelbagai ujian dilakukan.


Keadaan ini amat merisaukan mereka sekeluarga. Tak cukup dengan berikhtiar cara moden, cara tradisional juga dicuba. Tapi keadaan ayahnya masih tidak berubah. Jenuh sudah keluar masuk hospital dan premis pengamal perubatan tradisional, akhirnya dia diberitahu bahawa ayahnya terkena buatan orang. Disihir jiran yang tidak puas hati tentang sesuatu. Individu yang seronok melihat dia menanggung kesakitan.

Terus terang aku katakan, aku ragu-ragu hendak mempercayai semua itu. Tapi dalam masa yang sama, amalan sihir itu sememangnya ada. Islam sendiri mengakui wujudnya ilmu sihir yang mampu memudaratkan. Malah Rasulullah S.A.W ketika hayatnya juga pernah disihir seorang ahli sihir yang terkenal.

Begitulah goyahnya iman manusia. Kerana wang ringgit, wanita, harta, pangkat dan rasa tidak puas hati, hasad dengki melihat kejayaan orang lain, manusia sanggup berbuat apa saja. Sanggup bersekongkol dengan iblis laknatullah asalkan nafsu serakah mereka dipenuhi.


Aku tak faham mengapa segelintir manusia, terutamanya orang Melayu terlalu taksub dengan perbuatan yang menyesatkan iman ini. Mengapa dikejar harta dan kesenangan duniawi sampai begitu sekali? Adakah dendam dan harta mampu membawa kebahagiaan abadi?

Demi Allah, sungguh menyedihkan apabila seorang manusia itu tidak lagi mengasihani seorang hamba Allah yang lain. Kerana busuknya hati, manusia sama sekali hilang kewarasan. Sampai ada kalanya mereka sanggup melihat orang itu menderita sehingga mati.

Berani sungguh mereka mengaku percaya pada Allah sedangkan mereka langsung tidak teragak-agak semasa melakukan penyiksaan pada orang lain. Apakah ertinya kita sebagai manusia beragama Islam sekiranya masih boleh tersenyum melihat penderitaan orang lain? Tidak takutkah kita pada pembalasan dari Allah?

Tapi aku sedar, lumrah manusia memang kurang percaya pada sesuatu yang tidak terbentang di depan mata. Kalau benar mereka takutkan Allah, tentu tidak berani sama sekali hendak mendatangkan derita dalam hidup orang lain. Apatah lagi bersekutu dengan jin dan syaitan.

Sebagai seorang hamba Allah yang kerdil dan masih banyak kelemahan dalam memenuhi tuntutan agama, aku tahu aku belum layak untuk menegur sesiapa. Tapi jauh di sudut hati aku ingin melihat umat Islam kembali ke jalan Allah.

Kalau tersasar jauh, baliklah kita semula ke pangkal jalan. Kalau ada yang belum dipenuhi, berusahalah untuk memenuhinya selagi masih ada nyawa. Jangan dibiarkan kebahagiaan dunia memesongkan akidah kita, kerana semua itu cuma keindahan sementara.