Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Friday, November 11, 2011

Istimewanya Eid-ul-Adha


السلام عليكم ورحمة الله و بركاته ~
Salam Zulhijjah. Hari ini sudah masuk hari ke 15 dalam bulan Zulhijjah. Baru seminggu Eid-ul-Adha berlalu, hati sudah mula rindu pula hendak mendengar takbir.

Di sebalik kemeriahan ibadah korban, takbir rayalah yang paling aku rindu. Dulu semasa solo, hari raya tak begitu bermakna. Tambahan lagi sejak abah meninggal, lebaran secara langsung jadi kurang seronoknya.

Tetapi lepas berdua, kalau tak balik beraya di kampung sendiri hati jadi gundah gulana. Mulalah rindu hendak makan juadah raya, rindu kampung, rindu emak, rindu adik-beradik, rindu itu rindu ini sampaikan daging korban pun boleh dirindu sama. Agaknya inilah keindahan alam perkahwinan kan? Semuanya kembali bermakna dan disyukuri.

Sayang sekali tahun ini susah benar hendak mendengar takbir berkumandang di radio atau di televisyen (walaupun di TV Al-Hijrah). Pada hari raya pun sudah tak begitu ada takbir, 3 hari tashriq berikutnya lagilah tak kedengaran. Tak tahulah kalau sebenarnya ada - aku yang tak perasan agaknya.

Sudahlah rumah jauh dari masjid, surau yang paling dekat pun cuma bertakbir pada sebelah malam. Kesudahannya 5 hari (di Malaysia 4 hari) yang sepatutnya dilaungkan takbir berlalu begitu saja - sungguh menyedihkan.


"Amalkan bertakbir (lepas solat fardhu terutamanya) sebermula lepas waktu fajar 9 Zulhijjah (kalau di Malaysia lepas maghrib malam 10 Zulhijjah) hingga sesudah waktu Asar 13 Zulhijjah (3 hari tashriq : 11, 12 & 13 Zulhijjah)" ~ ZaidahSikun

Photo courtesy/gambar hiasan : internet

Thursday, November 10, 2011

Lalat longkang?


Sejak kebelakangan ini aku dapati semakin banyak pula lalat di dapur dan bilik air rumah. Bukan lalat biasa, tapi sejenis lalat kecil yang perlahan saja terbangnya. Kalau sikit taklah aku peduli, tapi apabila sudah banyak rimas sungguh memandangnya. Pernah sekali masuk ke mata. Aduh, pedih mata (dan sakit jiwa) dibuatnya!

Tak pasti pula apa namanya, tapi yang pasti bukan agas atau lalat biasa. Kalau di internet serangga kenit ini dipanggil drain flies (kalau diterjemahkan kepada bahasa Melayu namanya - lalat longkang?). Lalat jenis ini lebih kurang sama rupanya dengan lalat yang biasa kita lihat menghurung buah-buahan tempatan seperti pisang.

Pada mulanya aku tak ambil pusing langsung tentang kewujudannya. Tambahan lagi masa itu jumlahnya sangat sedikit. Macam comel juga sekali pandang. Tetapi lama-kelamaan, makin beranak-pinak pula. Dapur, ruang makan, ruang tamu dan bilik tidur semuanya menjadi tumpuan serangga ini. Cuma jumlahnya saja tak sebanyak yang berkumpul di bilik air dan sinki.

Kalau ikutkan hati baik, aku memang tak mahu 'membunuh'. Namun nampaknya sudah tak banyak pilihan. Macam-macam kaedah telah aku guna untuk menghalaunya secara terhormat, tapi masih tak berkesan. Mencuci tandas dan sinki, meletakkan ubat gegat dalam bilik air langsung tak membantu. Ada masanya aku menghabiskan masa melibas lalat menggunakan tuala semasa di bilik air. Tapi tak berkurang pun jumlahnya.

Semburan serai wangi pun tak berkesan, melainkan aku sembur padanya bertubi-tubi - lagaknya seperti pembunuh upahan.


Aerosol pembunuh serangga tak pernah aku gunakan sebab walaupun mungkin berkesan, tapi rasanya tak begitu mesra alam. Lagi pun dari dulu aku memang tak tahan dengan baunya - menyesakkan nafas!

Oleh sebab tak ada cara yang betul-betul berkesan, untuk sementara aku gunakan teknik semburan ekstrak serai wangi (yang sekarang ni senang didapati di pasar raya). Dalam masa sama merajin-rajinkan diri menyelongkar internet, kalau-kalau ada cara yang lebih sesuai.

Sudah aku cuba menyiramkan lubang sinki dengan air panas, tapi tak nampak apa-apa perubahan positif pun. Cuma meletakkan lemon potong saja yang nampaknya macam berhasil. Mungkin sebab ia tak suka pada bauan sitrus.

Hari ini aku terbaca dalam sebuah laman forum online supaya menggunakan peluntur atau baking soda untuk membersihkan longkang dan saluran sinki - sebab tempat yang panas dan lembap adalah kegemaran serangga kenit ini untuk membiak.

Tong sampah harus dari jenis yang bertutup dan dikosongkan selalu, maksudnya sampah tak boleh diperam lama-lama. Sisa makanan pada sinki pun mesti selalu dibersihkan.

Banyak juga dapat aku pelajari daripada apa yang berlaku sekarang. Ini peringatan untuk diri-sendiri; supaya meningkatkan lagi kerajinan membersihkan rumah. Mungkin akan berguna untuk jangka masa panjang dan untuk sesiapa saja yang mengalami masalah sama.

"Berperang di dapur.. ^^" ~ ZaidahSikun

Photo courtesy/gambar hiasan : internet
http://www.zbestpestcontrol.com/flies.htm
http://www.pacexterminating.com/common.html

Friday, August 12, 2011

Ramadan yang berbeza


Alhamdulillah... syukur kepada Allah. Tahun ini dipanjangkan umur, dapat berjumpa lagi dengan bulan Ramadan.

Walaupun secara zahir sama saja dengan tahun-tahun yang lalu, syahdunya rasa menunggu Ramadan tahun ini. Terasa sangat berbeza walaupun selepas 12 hari kita berpuasa.

Kalau tahun lalu aku dan suami berpuasa di rumah emak mentua, tahun ini pertama kali dapat berpuasa hampir sepenuhnya di rumah sendiri. Merasalah susah payah menyediakan juadah berbuka dan sahur sendiri - yang semestinya tak semudah dulu.

Ramadan tak mudah sebenarnya bila sudah ada keluarga sendiri. Rutin harian menjadi semakin padat, semakin sibuk jadinya sampai kadang-kadang mengurangkan peluang untuk melakukan ibadah sunat.

Ditolak dengan masa-masa mengantuk dan kudrat yang menyusut, masa menjadi semakin pendek pula adanya.

Entah kenapa puasa kali ini terasa seperti sangat janggal. Aku tak dapat berpuasa dengan tenang - seolah-olah perkara yang sepatutnya berada di kiri sudah beralih ke sebelah kanan. Yang di atas, sudah terpindah ke bawah. Tunggang-terbalik, seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Macammana pun, mungkin semua itu cuma ujian Allah. Insya-Allah kalau panjang umur dapat bertemu Ramadan tahun depan, mungkin keadaan akan jadi lebih mudah (harap-harapnya).

"Ya Allah, berikanlah aku kemudahan dalam beribadah..." ~ ZaidahSikun

Photo credit/Gambar hiasan : Internet

Saturday, July 2, 2011

Antara aku dan orang lain


Bila diintai-intai profile kawan-kawan di Facebook, ramai yang sudah berjaya dan stabil dalam kerjaya masing-masing. Ramai yang success membina empayar perniagaan sendiri, malah sesetengahnya menyandang 3 kerjaya sekali harung. Syukur Alhamdulillah... murahnya rezeki teman-teman.

Memang seronok bila melihat orang lain hidup senang dan berpangkat tinggi. Tapi bila memandang diri-sendiri, terasa segan juga. Rasa rendah diri ada masanya tak dapat dielak lagi. Segan bila orang bertanya, "Kerja di mana?" - "Duduk rumah saja?"

Orang lain bermula lambat, tapi sekelip mata sudah sampai ke puncak. Sedangkan aku, umur sudah mencecah 'angka 3', masih terkial-kial mencari takdir hidup. Macammana?

Mungkin ramai yang tak faham dengan keputusan yang aku buat selama ini. Ramai yang kurang setuju, bahkan lebih ramai lagi yang tak suka sebenarnya. Tapi aku tak pernah sangsi. Aku yakin suatu hari nanti Allah akan menemukan aku dengan sesuatu yang baik. Mungkin bukan sekarang - walaupun selepas 4 tahun aku mencari.

Tak semua orang dapat mengecap kejayaan dengan cara yang mudah. Sesetengah orang bernasib baik dan beruntung kerana kerjaya mereka tersusun cantik sejak mula lagi. Tetapi ada juga yang terpaksa menempuh kegagalan berkali-kali sebelum mencapai kejayaan. Dan ada yang masih lagi tercari-cari.

Bagi aku sendiri sekali kita memilih untuk menceburi sesuatu bidang, biarlah datang dari buah fikiran yang terbaik, mantap dan untuk selamanya. Jangan sampai terhenti sekerat jalan dan jangan biarkan keputusan yang dibuat menjadi suatu kesilapan.

Sebaliknya bawa pengalaman itu ke hadapan sebagai modal untuk kerjaya baru yang bakal diceburi. Tak ada erti kata rugi kerana setiap apa pun yang kita lakukan adalah kemahiran yang sangat berharga.

Sementara menunggu jalan keluar (atau kejayaan) diberi kepada kita, ambillah peluang ini untuk berdoa, beramal, berusaha dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Teruskan mencari dan mencari idea yang terbaik untuk perniagaan dan kerjaya, tak kira apa pun yang dipilih. Moga-moga dipermudahkan segala urusan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

"Berdoa kepada Allah semoga yang dirancang bakal menjadi kenyataan.. amiin Ya rabbal Alamiin.." ~ ZaidahSikun

*Pic Credit/Gambar hiasan : sumber internet

Friday, June 17, 2011

Nilai seorang suri rumah


Dalam zaman serba moden, selalunya agak janggal kalau orang perempuan tak bekerja dan memilih untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Lagi-lagi kalau si dia itu berpelajaran tinggi dan mempunyai kerjaya yang bagus sebelum ini.

Macammana pun, menjadi suri rumah bukan lagi sesuatu yang baru. Sekarang sudah ramai kaum hawa yang lebih suka menumpukan perhatian pada rumah tangga dan anak-anak. Ada yang bekerja sendiri dari rumah, ada yang sememangnya suri rumah tangga sepenuh masa atas alasan tersendiri.

Suri rumah tangga - dengarnya sangat mudah. Selalu orang menganggap suri rumah tangga sudah semestinya banyak masa untuk diri-sendiri dan keluarga. Boleh melakukan apa saja dan berehat bila-bila masa sesuka hati.

Sedangkan pada hakikatnya menjadi suri rumah tangga ibarat bekerja sepanjang masa, 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Tak ada erti kata rehat yang sebenar-benarnya sebab rutin harian selalu saja menunggu di depan mata tak kira siang atau malam.

Dipandang rendah oleh orang lain, rasanya itu perkara biasa bagi mereka yang bergelar suri rumah. Ramai orang beranggapan suri rumah tangga biasanya tak berkelulusan dan tak bijak sebab memilih untuk tak bekerja. Kalau bekerja dari rumah pun masih dianggap menganggur - selagi tak ada slip gaji bulanan atau duit beribu di dalam akaun.

Tanggapan orang selalu saja membuat kita hilang semangat. Tapi kalau kita betul-betul yakin dan percaya dengan apa yang kita buat, semua itu tak perlu diambil pusing. Pokok pangkalnya, yang penting Allah lebih mengetahui niat di hati kita.

Memilih untuk bekerja sendiri ataupun menjadi suri rumah sepenuh masa bererti kita memilih jalan yang lain daripada orang lain. Disebabkan jalan itu tak sama, maka kesusahan dan dugaan yang perlu ditanggung juga sudah mestinya tak akan sama.

Sebagai seorang isteri dan ibu yang menguruskan segala keperluan rumah tangga, tanggungjawab seorang suri sebenarnya lebih dari sekadar menjaga kebajikan suami dan anak-anak.

Seorang suri rumah ibaratnya pengurus rumah tangga yang mengambil tahu segala urusan di dalam rumah; seorang perancang kewangan yang membantu suaminya mengurus perbelanjaan; seorang tukang picit dan doktor yang menjaga sakit pening suami dan keluarganya; seorang pakar motivasi yang menyokong suaminya dalam kerjaya; dan seorang tukang masak, pembantu rumah yang setia menyiapkan makan dan pakai suaminya setiap hari.

Pendek kata, tugas seorang suri rumah tangga tak akan pernah habis dihitung dengan masa. Sekalipun sakit dan tak punya lebihan wang untuk membeli barang yang disukai, seorang suri yang sebenar selalu tahu apa yang lebih utama. Kerana tak ada yang lebih penting dalam hidupnya, selain suami dan keluarga.

"Sejauh mana kita menilai diri-sendiri?" ~ ZaidahSikun
gambar hiasan/photo credit : internet

Monday, June 13, 2011

Al Hijrah


Masa TV Al Hijrah pertama kali disebut orang, aku agak teruja juga. Akhirnya lepas sekian lama negara ketandusan media yang benar-benar Islamik, lahir satu saluran TV yang berlandaskan Islam, al-Quran dan sunnah.

Aku rasa... ramai orang meletakkan harapan yang tinggi terhadap TV Al Hijrah ini. Malah aku sendiri berharap sangat agar saluran media baru ini betul-betul dapat membimbing dan menghidangkan program-program ilmu yang berguna untuk orang-orang seperti aku.

Macammana pun, terkecewa sedikit rasanya semasa melihat TV Al-Hijrah menayangkan cerita Korea baru-baru ini. Mungkin drama-drama sebegitu cuma hiburan semata (memandangkan ramai yang sangat suka menonton rancangan hiburan dari negara itu). Tetapi secara peribadi bagi aku semua itu tak perlu.

Sudah cukup banyak saluran yang menghidangkan hiburan. Jadi apalah salahnya kalau TV Al Hijrah kekal sebagai satu-satunya saluran yang mendidik jiwa sepertimana radio IKIM. Cukup-cukuplah dengan hiburan yang terbentang di depan mata kita selama ini.

Kalau lebih banyak slot berbahasa Arab (dengan terjemahan Bahasa Melayu) rasanya lebih bagus. Sekurang-kurangnya boleh juga penonton belajar memahami dan membiasa-biasakan diri dengan bahasa Al-Quran.

Macam Bahasa Inggeris yang sejak kecil didedahkan kepada kita, Bahasa Arab mungkin boleh terserap menjadi salah satu bahasa perantaraan di Malaysia. Mungkin susah hendak dicapai sekarang, tetapi dalam jangka masa panjang rasanya tak ada yang mustahil.

'Terima kasih kepada pencetus idea dan pihak-pihak terlibat yang telah bersusah-payah sehingga terbitnya saluran media islamik ini. Moga-moga apa yang diharap akan jadi kenyataan." ~ ZaidahSikun

Thursday, June 9, 2011

Kungfu Panda 2


Minggu ini aku hendak berkongsi cerita tentang filem animasi terbaru, Kungfu Panda 2. Sudah agak lama sebenarnya filem ini berada di pawagam. Tapi disebabkan kesuntukan masa (dan otak tepu tak ada idea), hari ini baru dapat betul-betul menulis tentangnya.

Filem ini adalah sambungan daripada filem Kung Fu Panda yang pernah ditayangkan sebelum ini. Ia mengisahkan seekor panda bernama Po yang telah berjaya mencapai impiannya untuk menjadi Dragon Warrior (pahlawan naga). Dan kini terpaksa berdepan dengan satu lagi musuh yang terhebat iaitu Lord Shen.

Dalam filem selama 91 minit ini, Po akhirnya mengetahui kebenaran tentang asal-usulnya - apa yang terjadi pada ibu bapa kandungnya dan bagaimana selepas itu dia menjadi anak angkat kepada Mr Ping (seekor angsa) yang mempunyai sebuah kedai menjual mi di kawasan Valley of Peace.


Ulasan
Berbanding filem pertama, Kung Fu Panda 2 tak jauh bezanya dari segi kehebatan aksi dan jalan cerita. Tapi biasalah... filem pengenalan selalunya lebih menarik kerana minda kita masih belum dapat meneka jalan cerita yang bakal dipersembahkan.


Sedangkan filem sequel pula lebih mudah dijangka. Susah hendak menonjolkan kelainan pada siri-siri kedua dan seterusnya.

Macammana pun, secara umumnya aku merasakan filem Kung Fu Panda 2 berjaya menarik perhatian penonton dengan watak-watak yang menawan hati seperti Mr Ping - angsa yang menjadi bapa angkat kepada Po dan lain-lain.


Unsur-unsur komedi juga banyak membantu menambah seronoknya filem ini, selain aksi-aksi kung fu yang hebat. Lebih menarik lagi, di sebalik kelucuan yang dipaparkan ada juga unsur-unsur sentimental yang mungkin membuat anda bergenang air mata, terutama pada babak semasa Po mendapat tahu tentang asal-usulnya.


"Tayangan cerita ini dah nak habis rasanya. Tapi setakat hari ni masih ada lagi di pawagam" ~ ZaidahSikun

Saturday, May 21, 2011

Shopping kat mana best?


Sejak pindah ke Putrajaya, secara tak langsung bertukarlah juga 'port' melepak dan membeli barang dapur. Mula-mula kami asyik ke Alamanda (sebab memang tak ada pilihan lain). Tapi lepas sebulan dua, kami naik bosan dan akhirnya terpaksa mencari 'port' baru.

Aku sebenarnya sangat tak gembira dengan sayur-sayuran dan bahan basah di Carrefour, Alamanda. Banyaknya macam 'hidup segan mati tak mahu'. Ikan dan ayam pun nampak 'tak bersemangat'. Kalau ada yang segar, biasanya cuma sekali dua dalam seminggu. Itu pun kalau kita datang kena pada hari stok baru datang.

Kalau tidak, terpaksalah ke Cold Storage. Tapi yang ini tak tahan pula dengan harganya. Maka pilihan terakhir ialah pasar basah (Presint 8) ataupun pasar raya borong Darussalam (presint 9). Ada yang membeli di Mydin dan pasar malam, tapi tak tahulah macam mana pula kualiti dan harganya.

Kami ada ke Jusco dan Tesco Puchong, tapi tahu sajalah bandar Puchong macam mana. Jalan sibuk dan hiruk-pikuk sentiasa. Surau tempat bersolat pun tak begitu selesa - tersangatlah tak sesuai untuk membeli-belah.

Lepas 4 bulan, kami mencuba pula The Mines (dulunya Mines Shopping Fair). Alhamdulillah, rasanya yang ini lebih sesuai - semua ada dalam satu bangunan. Tak jauh sangat dari Putrajaya, tempat makan banyak, bahkan tempat letak kereta pun selesa. Paling penting, ada pasar raya Giant dengan sayur dan bahan basah yang tak sakit mata memandang.

Satu saja yang aku kurang berkenan - surau yang disediakan kurang selesa dan agak sempit. Tak tahulah kalau ada surau lain yang lebih besar di situ.

Kadang-kadang teringin juga hendak mencuba bot persiaran (Mines cruise). Seronok agaknya kalau dapat 'makan angin' sekali-sekala melihat keindahan tasik di sekitar Mines. Tapi terbantut keinginan apabila melihat ada penumpang membawa si 'doggy' kesayangan sama-sama 'makan angin' di atas bot.

Boleh dikatakan setiap kali aku datang ke Mines, ada saja 'penumpang' yang suka menjelir lidah dan menggoyangkan ekor ini naik bersama di atas bot (tak pasti sama ada 'sightseeing' atau 'commute service cruise'). Elok saja dia bersantai di tempat duduk yang selama ini menjadi tempat sama penumpang beragama Islam melabuh punggung.

Aku bukan orang yang paling sesuai hendak menghukum hal-hal begini. Tapi pihak pengurusan sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti umat Islam. Apa hukumnya kita duduk di tempat yang sama dengan anjing, aku sendiri pun tak berani hendak mengatakan (sebab aku pun kurang arif bab-bab agama).

Cuma harap-harapnya mereka memang ada bot khas untuk penumpang yang membawa 'doggy'.

"Makin ramai orang (bukan islam) bawak anjing ke pusat membeli-belah sekarang ni. Nasib baiklah banyak tempat tak bagi bawak masuk.. huhu" ~ ZaidahSikun

Gambar hiasan/picture credit : http://www.greatpriceshere.com/2008/05/17/save-on-groceries-eating-out/




Thursday, May 19, 2011

Rindu masa dulu


Ada masanya rindu sangat dengan zaman bekerja makan gaji. Rindu pergi kerja, balik kerja. Rindu sibuk waktu bekerja, susah senang dan masa-masa dengan kawan sepejabat. Malah kadang-kadang rindu sangat hendak menyarung baju kerja - walaupun sebelum berhenti dulu tak pernah pun ada pakaian seragam.

Bukan menyesal meninggalkan kerja bergaji tetap, cuma ada masanya tak dapat mengelak daripada rasa rindu pada masa lalu - terutama zaman sekolah, zaman di universiti dan zaman bekerja makan gaji.

Waktu itu bukanlah tahun gemilang yang boleh aku bangga-banggakan. Banyak cerita sedih dan pengalaman perit yang selalu mahu aku lupakan sepanjang tempoh itu. Tapi di belakang hari, siapa sangka aku akan merindukannya seperti hari ini.

Saat yang paling aku rindu ialah waktu setiap kali gaji masuk. Sejujurnya aku mengaku; detik melihat 4 angka (gaji bulanan) di dalam akaun tak sama nilainya dengan menerima upah bekerja sendiri. Terasa seperti hilang terus penat bekerja sebulan - dengan hanya sekali pandang.

Memanglah rasa seronok itu tak lama... (berlebih lagi apabila gaji sudah habis), tetapi sekurang-kurangnya ada duit masuk secara tetap setiap hujung bulan. Dapatlah membeli barang makan dan pakai, melunas hutang dan memberi sedikit pada emak dan abah.

Masa berlalu dengan begitu pantas sebenarnya. Tapi aku tak pernah berhenti merindukan masa-masa lalu, termasuk orang-orang yang pernah membuat aku bahagia. Mereka yang pernah membuat aku tersenyum dan teman yang sampai sekarang masih terpisah.

Banyak perkara telah berubah. Aku sendiri pun sudah tak sama lagi dengan yang dulu. Kawan-kawan pun sudah tidak lagi sama. Kebanyakannya sibuk dengan rumahtangga masing-masing. Sibuk dengan komitmen kerja dan keluarga yang semakin meriah.

Sekarang tinggallah persahabatan yang makin menjauh. Apa nak dikata...?

"Kita adalah mangsa diri sendiri.. :( " ~ ZaidahSikun
Gambar hiasan/photo credit: Internet

Monday, May 16, 2011

Time flies as we get older


Tengah malam tadi, ketika mata baru saja hendak lelap aku dikejutkan dengan SMS daripada seorang teman rapat (membawa berita sedih) - seorang kenalan lama (semasa di universiti) meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan.

Memang antara arwah dan aku tak pernah berkawan rapat, bertegur sapa pun boleh dikatakan tidak pernah. Tapi memandangkan kami pernah sekelas beberapa kali, secara tak langsung aku kenal juga dia pada nama dan orangnya.

Usia arwah sebaya saja dengan aku. Tahun ini baru mencecah 33 tahun, namun Allah lebih menyayangi dia. Walaupun tidak kenal rapat, aku akui tersentuh juga rasa hati apabila mendapat berita tentang kematiannya. Betapa ajal sama sekali tidak mengenal usia.

Kebelakangan ini begitu banyak berita sedih diterima, membuat aku terasa seolah-olah begitu dekat dengan kematian. Seorang ibu kehilangan satu-satunya permata hati sebelum sempat hari lahirnya tiba. Seorang isteri kematian suami pada usia yang masih muda. Seorang suami pula kematian isteri sebelum sempat menyambut ulangtahun perkahwinan yang pertama.

Begitu banyak perkara tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Hanya dalam tempoh 12 bulan, kegembiraan yang dulu ada kini berlalu pergi. Itulah hakikat putaran hidup manusia. Tak akan dapat lari dari kesedihan dan perpisahan dengan yang tersayang.

Siapalah kita hendak mempersoalkan ketentuan Ilahi. Kerana setiap yang hidup pastinya akan merasai sakit. Dan setiap yang hidup itu juga akan merasai mati.

"Al-fatihah untuk dia yang telah pergi. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.. (amiin) " ~ ZaidahSikun
Gambar hiasan/picture credit : sumber internet

Saturday, May 7, 2011

Understanding al-Quran (2)


Berikut adalah sambungan daripada bacaan dan terjemahan ayat suci Al-Quran yang terdahulu.
Juz' 2 : bermula dengan surah Al Baqarah ayat 142 -252.

Bismillah...

Gambar hiasan/photo credit : sumber internet

Friday, May 6, 2011

Thor


Sebelum masuk ke panggung, aku sebenarnya tak meletakkan penanda aras sama sekali untuk 'Thor'. Satunya kerana aku memang tidak tahu banyak tentang watak utama filem ini. Apa yang aku tahu cuma secara umum, itupun selepas dimaklumkan oleh suami. Duanya; aku lebih suka datang dengan tak tahu apa-apa dan mengharapkan kejutan dari sesebuah filem.

Begitupun selepas 'menyelongkar' internet hari ini, aku lihat kebanyakan laman 'review' meletakkan antara 3 - 4.5 bintang (daripada 5) kepada filem 'Thor'. Penilaian yang agak tinggi sebenarnya untuk sebuah filem.

'Thor' secara umumnya diilhamkan daripada watak superhero komik Marvel, seperti juga kebanyakan filem-filem superhero sebelum ini - Hulk, Spider-Man, X-men, Wolverine, Fantastic Four dan Iron Man.

Filem ini dibintangi oleh pelakon kelahiran Australia, Chris Hemsworth (Thor), Natalie Portman (Jane Foster), Anthony Hopkins (Odin) dan ramai lagi (termasuk seorang pelakon dari Jepun; Tadanobu Asano).


KOMEN (mood spoiler)
*entri ini mungkin merosakkan mood menonton

Memandangkan filem ini termasuk dalam genre filem aksi, secara ringkasnya jalan cerita 'Thor' agak mudah untuk diramal. Tak jauh berbeza kalau hendak dibandingkan dengan filem-filem 'superhero' lain.

Cuma ada sedikit perkaitan dengan filem 'Iron Man' kerana dua filem ini sememangnya berkaitan dalam babak tertentu. Berkemungkinan akan ada kesinambungan antara dua filem ini pada masa akan datang.

Pada peringkat permulaan, tak dinafikan aku menganggap filem ini sangat bagus (terutama dengan adanya hero yang kacak dan 'macho' seperti Chris Hemsworth dan watak pendukung lain yang hebat belaka). Hampir hebatnya dengan filem 'Iron Man' yang pertama, dengan adanya kekuatan watak dan unsur-unsur jenaka.

Bagaimanapun di pertengahan jalan, terasa sedikit kejanggalan dan kelemahan pada filem ini. Entah kenapa aku rasakan 'si kacak' mula kelihatan terlebih bergaya (ketika berjalan dan sebagainya) sehingga mengalih kegagahan 'Thor' kepada cuma ketampanan semata-mata - semasa menjadi manusia biasa. Ada masanya Thor nampak lebih sesuai menjadi koboi, berbanding 'superhero'.

Ketika itu, aku berharap mungkin lebih bagus kalau sang pelakon mempunyai rambut yang lebih panjang dan susuk badan yang lebih perkasa (umpama ahli gusti) berbanding dengan hanya segak berotot seperti seorang model.

Dalam filem ini, 'The Mighty Thor' hilang segala kekuatan selepas dibuang ke bumi oleh ayahnya (Odin). Malangnya Chris Hemsworth sebagai Thor bukan saja seperti hilang kekuatan, bahkan tidak berjaya mengekalkan kegagahan watak 'Thor', disebalik perubahan sikap Thor semasa di bumi.

Mungkin Thor ditulis untuk menjadi 'baik' dalam filem ini. Tetapi lakonan yang diberikan menampakkan seolah-olah watak Thor menjadi lebih kepada hanya lemah, berbanding lebih baik (dan perkasa seperti jolokan namanya).

Ringkasnya?

Apapun kelemahannya, filem ini sebenarnya tetap menarik. Aku percaya ramai yang tak bersetuju dengan pandangan yang aku berikan. Suami pun nampaknya sangat berpuas hati, berbanding aku yang terasa seperti kepuasan tak sampai ke puncak selepas menonton filem ini.

Satu saja tip yang hendak aku beri. Seperti filem-filem komik Marvel yang lain, selepas filem habis ditayangkan jangan lupa menunggu sehingga penghujung (sehingga naik semua senarai nama pelakon dan produksi). Kerana akan ada petikan pendek daripada kesinambungan filem yang akan datang.

"i wish i could see more actions... hmm.." ~ ZaidahSikun

Friday, April 29, 2011

Berhati-hati selalu


Kadang-kadang bila diperhatikan, ramai orang bersikap sambil lewa dalam bab-bab keselamatan rumah. Dengan pintu tak bertutup, pagar tak berkunci. Seolahnya tak risau langsung tentang keselamatan diri dan isi rumah.

Harta dan duit mungkin boleh dicari lagi, tapi nyawa tak dapat diganti dengan wang ringgit. Apatah lagi sekarang ini bukan seperti zaman dulu, boleh sewenang-wenang membiarkan pintu terbuka begitu saja. Di kampung atau di bandar sama saja keadaannya. Sedangkan rumah bermangga kunci sebesar penumbuk pun dipotong orang, apa lagilah kalau pintu rumah dengan gembiranya ternganga luas.

Mungkin kita sudah biasa dan selalu menganggap tak akan ada apa-apa berlaku. Tetapi dalam keadaan sekarang; pencuri dan perompak berleluasa, orang kurang siuman, penagih dadah dan penjenayah di merata tempat, seelok-eloknya pastikan pintu berkunci sebelum ke mana-mana. Sekalipun semasa kita berada di dalam rumah.

Orang kata, malang tak berbau. Jangan tunggu sampai terkena, baru hendak beringat. Bila-bila masa saja boleh berlaku perkara tak diingini. Jangan sekali-kali mendabik dada mengatakan perkara yang buruk tak akan berlaku pada kita.

Kalau boleh, sebelum keluar kereta pastikan dulu tidak ada orang mencurigakan menunggu di luar. Sebelum membuka pintu pagar rumah dan sebagainya pula, harus kita peka dengan keadaan sekeliling.

Bagi suri-suri yang berada di rumah, jangan terlalu awal membuka pagar dan pintu untuk suami yang pulang bekerja. Takut-takut ada yang sudah lama memerhati, kemudian mengambil kesempatan untuk menceroboh masuk ke dalam rumah.

Tunggu sehingga suami betul-betul berada di depan rumah, barulah membuka kunci pagar. Kerana baru-baru ini berlaku satu kes kecurian di kawasan Lembah Kelang; rumah diceroboh masuk selepas pagar dibiar terbuka ketika menunggu suami sampai. Bukan saja barang berharga habis dikebas, bahkan suami juga turut menjadi mangsa parang.

Apa yang lebih menakutkan ialah kes ini bukan berlaku pada waktu malam, sebaliknya waktu siang - sewaktu matahari tegak di atas kepala.

Sesetengah perkara mungkin memang sudah tersurat hendak berlaku, tapi tak salah rasanya kalau kita lebih berwaspada.

"Banyak-banyak berdoa moga Allah melindungi kita selalu" ~ ZaidahSikun
Gambar hiasan/picture credit : http://www.inventorylogics.com

Saturday, April 23, 2011

Rio


Masuk minggu ini, sudah 2 minggu rasanya filem Rio ditayangkan di pawagam. Aku belum membaca sebarang 'review' tentang filem ini. Mendengar komen dari kawan-kawan pun tak lagi. Agaknya tak ramai teman yang minat menonton 'cerita kartun' atau pun mungkin juga ada yang sudah menonton, tapi tak sempat hendak bercerita.

Aku sendiri, awal-awal lagi sudah menonton filem ini. Tepat pada hari pertama ia mula ditayangkan iaitu pada 7hb April 2011.

Memandangkan ramai sudah tahu filem 'Rio' dibawakan oleh pembikin sama filem 'Ice Age', sebelum menonton tentu kita sudah dapat mengagak sedikit sebanyak gaya penceritaan filem Rio. Bagaimanapun selepas menontonnya sendiri, aku dapati filem ini nyata berbeza. Besar kemungkinan 'Rio' mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

Dengar cerita, filem ini sudah pun memasuki kategori 'pecah panggung' dan sekarang ini menduduki tempat pertama dalam carta. Hasil kutipannya dikatakan sudah mencecah RM293 juta di seluruh dunia.

Tetapi 'review' di internet rata-rata cuma memberikan 3 hingga 3.5 bintang (daripada 5) kepada filem yang dihasilkan oleh Blue Sky Studios ini. Jadi hebat tak hebatnya filem Rio, kenalah nilaikan sendiri.

Menarik tentang Rio

Secara umum, filem ini mengisahkan pengembaraan sepasang burung (nuri atau kakak tua?) dan kawan-kawannya dalam menyelamatkan diri daripada penjahat yang menyeludup burung secara haram. Nama burung 'hero' dalam filem selama 1 jam 36 minit ini bagaimanapun bukan Rio, tetapi Blu. Tajuk 'Rio' mungkin diambil dari nama lokasi utama filem ini iaitu Rio de Janeiro.

Aku tak mahu bercerita panjang lebar tentang jalan cerita atau sinopsis filem ini. Cuma suka aku ringkaskan di sini bahawa filem ini memang di luar jangkaan.

Mencuit dan menggelikan hati itu sudah semestinya (memandangkan kebanyakan penonton ketawa sepenuh hati semasa tayangan tempohari). Filem ini juga boleh dikatakan lebih 'fresh' berbanding filem-filem animasi sebelumnya, kerana jalan cerita yang tidak lembap dan lawak jenaka yang memecah kebiasaan.

Walaupun mungkin ramai penonton yang dapat mengagak plot cerita yang ingin disampaikan (termasuk aku sendiri). Semasa filem ditayangkan, tak sempat rasanya hendak berfikir tentang 'ending' kerana jalan ceritanya yang padat. Ditambah pula dengan karakter dan latar pemandangan yang cukup cantik, sangat membantu penonton untuk menghayati 'Rio'.

Kesimpulannya filem ini memang sesuai ditonton berkali-kali. Dan yang lebih penting, sangat sesuai untuk menghilangkan stres - dengan ketawa sampai 'pecah perut' (mungkin?). Untuk yang sudah berkeluarga, boleh membawa anak-anak untuk menonton filem ini bersama-sama kerana jalan ceritanya memang sangat menarik dan sesuai untuk kanak-kanak mahupun dewasa.

Kurang menarik tentang Rio

Belum dapat aku cari setakat ini - berdasarkan pandangan peribadi yang mungkin 'bias' dan kurang berpengetahuan. Tetapi berkemungkinan ada segelintir penonton yang kurang gemar dengan selitan lagu dan muzik yang agak banyak dalam filem ini. Bagi aku sendiri, ia sangat menyeronokkan kerana muzik yang disertakan memang 'sedap' didengar.

Lagi-lagi menarik tentang Rio

Kalau ada yang bercadang hendak menonton filem ini di mana-mana cawangan GSC, sebelum tayangan bermula jangan lupa dapatkan bekas makanan 'Rio' (disertakan dengan sudu garfu) percuma - dengan pembelian set besar 'pop corn' dan minuman (selagi stok masih ada). Terdapat dalam dua warna; biru dan kuning. Sesuai untuk kanak-kanak dan golongan dewasa yang masih berjiwa 'muda'.

Selain promosi di GSC, di pasaran sekarang ini juga ada dijual bijirin sarapan Nestle dalam pek promosi 'Rio' yang istimewa. Boleh dapatkan wisel karnival 'Rio' percuma dan cd 'game' percuma.

Kalau itu tak cukup memuaskan hati, jangan lupa layari internet dan muat turun permainan 'Angry Birds Rio' yang sangat comel. Ataupun berseronok dengan watak-watak filem 'Rio' dalam permainan realiti interaktif 3D di www.nestle-rio.com.


"Ini bukan iklan berbayar, tapi semua item di atas saya ada.. hehe" ~ ZaidahSikun

Friday, April 22, 2011

Kembung perut atau buncit?


Masalah perut kembung selalunya lebih cenderung berlaku di kalangan anak-anak kecil. Masalah perut buncit pula lebih banyak berlaku pada orang dewasa.

Betulkah begitu?

Mungkin tak terlintas dalam fikiran kita bahawa orang dewasa pun boleh mengalami masalah perut kembung yang agak serius. Kalau perut buncit atau berlemak, mungkin sudah jadi semacam 'makanan harian'. Tapi kalau perut kembung, rasanya jarang-jarang pula disebut orang.

Selepas berkahwin, macam-macam perubahan berlaku. Bukan saja dari segi bentuk badan dan cara hidup, tapi daya kemampuan organ dalaman pun turut berubah. Salah satu sebab yang mungkin menjadi punca adalah faktor umur yang semakin meningkat. Metabolisme makin menurun membuatkan makanan yang diambil agak lambat dihadamkan.

Dari sudut perubatan bagaimanapun banyak lagi penjelasan lain. Panjang lebar kalau hendak dimuatkan semuanya dalam satu entri.

Pada peringkat permulaan, susah juga hendak membezakan antara perut buncit atau kembung, berlemak atau sebenarnya hamil tanpa disedari. Tapi jalan mudahnya di sini ialah dengan menjalani ujian kehamilan yang boleh dibuat sendiri di rumah (home pregnancy test). Kalau positif, cepat-cepatlah berjumpa doktor untuk membuat pengesahan.

Sebaliknya kalau hasilnya negatif, bermakna ada masalah lain yang mungkin menyebabkan berlakunya masalah perut kembung atau buncit. Apa yang menjadi masalah ialah kadangkala masalah ini tak menyebabkan sendawa (atau 'membuang angin') berlebihan. Tapi perut terus kembung setiap hari.

Jika menyapu minyak angin pada perut tak banyak membantu dan perut nampak seperti hamil 3 bulan (sedangkan berat badan tidak naik dan lemak di perut tidak bertambah), lebih baik kalau terus mendapatkan rawatan di klinik.

Apa lagi jika perut sudah mula rasa kurang selesa, terasa 'penuh' dan ada masanya terasa sakit. Terus jalani pemeriksaan dan imbasan 'ultrasound' mungkin lebih berkesan bagi memastikan tiada masalah lain yang lebih serius, seperti kanser, fibroid atau cyst.

Sekiranya tiada masalah pada rahim dan lain-lain, kita akan diberi antibiotik dan ubat yang sesuai untuk membuang angin dalam badan. Dalam hal begini, sendawa dan 'membuang angin' saja tak banyak membantu. Oleh sebab itu mahu atau tidak, terpaksa makan ubat jika tak mahu masalah berlarutan.

Ada masanya masalah buncit mungkin juga disebabkan oleh masalah 'kencing kotor'. Selepas menjalani ujian air kencing, selalunya doktor dapat mengenal pasti sama ada berlaku masalah 'kencing kotor' atau tidak. Masalah 'kencing kotor' boleh menyebabkan perut rasa tak selesa (atau sakit) dan juga masalah kembung.

Selepas mengambil ubat dalam tempoh yang ditetapkan, biasanya perut yang kembung akan menyusut. Tapi kalau tidak berkurang, pemeriksaan lebih terperinci diperlukan. Jadi jangan sesekali bertangguh lebih lama - segera berjumpa doktor.

"Perut rasa seperti belon yang penuh angin = sangat tak selesa" ~ ZaidahSikun
Gambar hiasan : Sumber internet


Monday, April 18, 2011

Understanding al-Quran (1)

Aku bukan seorang yang alim dalam bab-bab agama, bahkan tak sikit pun hampir dengannya. Jadi harap-harapnya jangan ada yang salah faham bila aku menyentuh serba sikit tentang Islam, al-Qur'an, hadis dan sebagainya.

Apa yang dikongsikan di sini adalah sekadar perkongsian ilmu (yang penting bagi aku sendiri sebagai hamba Allah). Bukan menunjuk alim atau mengaku diri lebih baik dari orang lain. Aku juga masih dalam proses memperbaiki diri dan iman.

Sebagai seorang yang beragama Islam, kadang-kadang ada di antara kita yang teringin hendak membaca al-Qu'ran dan memahami terjemahannya. Tetapi mungkin agak susah kalau mahu membaca kedua-duanya sekaligus dalam masa sama.

Oleh sebab itu, di sini aku ingin berkongsi beberapa video bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an (dari surah tertentu), berserta terjemahan dalam Bahasa Inggeris. Bermula dengan surah Al-Baqarah.

Moga-moga memberi manfaat kepada kita semua. Bismillah...




"Terima kasih kepada hamba Allah yang memuatnaik video ini. Moga Allah membalas usaha anda dengan kebaikan." ~ ZaidahSikun

Friday, April 15, 2011

Mengapa aku menulis


Semasa aku mula-mula membuka blog dulu, ia cumalah diari untuk meluah perasaan. Mungkin sudah terbiasa mencari makan dengan menulis, membuat aku mahu terus menulis - sekalipun hanya untuk kepuasan sendiri.

Aku menulis... menulis dan terus menulis. Tapi tak satu pun dapat aku habiskan. Tiada yang mampu menjadi karya agung. Jauh sekali dapat mengembalikan kebolehan yang aku kira telah ditarik semula oleh Yang Maha Pencipta.

Sejujurnya, sudah memadai bagi aku kalau ada insan yang sudi singgah ke blog ini sekali-sekala. Tak kira sama ada benar-benar datang untuk membaca entri terbaru, mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran atau membaca terjemahan al-Qur'an pada 'gadjet'. Ataupun semata-mata mencari jadual masuk waktu solat. Itu sudah cukup membikin hati gembira.

Tak banyak yang mampu aku sumbangkan selain berkongsi secebis ilmu yang ada. Selebihnya sekadar coretan pendapat dan pengalaman hidup sehari-hari. Moga-moga dapat membantu diri-sendiri meringankan tekanan. Siapa tahu, secara tak langsung mungkin membantu orang lain yang memerlukan pandangan.

Membaca blog orang lain merupakan salah satu rutin harian bagi aku sendiri sebenarnya. Tapi pada kebanyakan masa aku cuma pembaca misteri yang 'halimunan' (sebab kurang memberi komen atau menegur 'blogger' lain).

Bukan sombong, hanya tak tahu hendak memulakan kata. Takut tak kena tajuk dan akhirnya mengganggu privasi orang lain di blog.

"apa pula sebab kamu menulis?" ~ZaidahSikun

Gambar hiasan : sumber internet






Wednesday, April 13, 2011

Hadis Pilihan (1)


Dari Abu Hurairah r.a. Nabi saw. bersabda: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu daripada iman."

Huraian:
Yang dimaksudkan dengan malu di sini ialah, malu mengerjakan kejahatan dan segala perbuatan yang hina. Atau malu (kerana) tertinggal dalam perlumbaan mengerjakan kebaikan dan kemuliaan. Malu seperti itu menjaga manusia dari kejahatan dan membawanya kepada keselamatan dan kemajuan. Itulah malu yang termasuk cabang iman. Sabda Nabi saw. pada hadis yang lain, "Apabila engkau tidak bermalu, perbuatlah semahumu."

*Terjemahan hadis Shahih Bukhari (jilid I, II, III & IV) Al-Imam Al Bukhari
Shahih Bukhari ~ Penterjemah :
H. Zainuddin Hamidy - H. Fachruddin Hs
H. Nasharuddin Taha - Johar Arifin
A. Rahman Zainuddin M.A

*Gambar hiasan ~ http://rakanmasjidusmkk.blogspot.com

Friday, April 8, 2011

Sabar selagi ada iman


Sehari saja lagi akan genap setahun usia perkahwinan kami. Untuk hari itu nanti, kami sudah merancang sesuatu yang agak istimewa. Memang teruja menantikan hari itu, tapi dalam masa yang sama jiwa masih berat menahan perasaan.

Tak sesuai kalau aku kongsikan di sini secara terbuka. Jadi biarlah masalah itu aku simpan saja di sudut hati yang paling dalam.

Kadang-kadang terdetik di dalam hati; bagaimana sesetengah orang boleh nampak seperti langsung tak bermasalah? Mungkin ada sedikit masalah kecil di tempat kerja, sedikit lagi di bahagian-bahagian lain. Selebihnya mereka hidup bagaikan gembira seluruhnya. Selalu menyebut tentang orang-orang tersayang, anak, suami, harta dan kesibukan kerja. Jarang benar menyebut tentang masalah, apa lagi hakikat kematian yang menanti di depan.

Mungkinkah mereka memang terlalu bahagia dan tak bermasalah, atau mungkinkah cuma kerana mereka begitu bijak menyembunyikannya? - Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.

Bukan aku sengaja hendak membanding-banding kesusahan diri dengan nasib orang lain. Cuma sebagai manusia biasa, ada masanya aku tertanya-tanya apakah yang mereka perbuat hinggakan mampu hidup sebegitu bahagia?

Ada kalanya manusia seakan-akan tidak sedar betapa bertuahnya hidup mereka di dunia ini. Mewah dengan begitu banyak rezeki yang baik, nikmat kesihatan yang baik, ketenangan dan juga kesejahteraan. Betapa besarnyanya nikmat yang diberikan Allah setiap hari. Tetapi mereka hanya tersedar apabila diuji dengan kesakitan, kesedihan dan kesusahan.

Tak perlulah aku menuding jari pada orang lain. Cukup aku melihat semua itu sering berlaku pada diri-sendiri.

"Hidup tak semudah yang kita impikan. Rezeki setiap insan berbeza-beza, dugaan yang datang juga tidak sama berat dan ringannya." ~ ZaidahSikun

* Gambar hiasan : Sumber internet

Monday, March 21, 2011

Kerna cinta...


Pernahkah sekali dalam hidup kamu merasakan sekali lagi jatuh cinta? Mungkin bukan jatuh cinta yang sebenar-benarnya. Cuma suatu perasaan yang terasa sangat indah, hangat dan berbunga-bunga (kerana sesuatu). Seolah-olah berada di awang-awangan.

Terlalu lama aku tak merasakan sesuatu yang begitu indah. Entah kenapa, semakin tahun menambah usia... aku menjadi manusia yang semakin kaku di dalam jiwa. Kerana hanyut dibawa arus kehidupan, perasaan yang begitu indah semakin jauh hendak dinikmati.

Disebabkan 'kehilangan' itu aku tidak lagi mampu menulis cerita cinta. Anugerah yang diberi Allah sejak di bangku sekolah lenyap begitu saja. Aku berhenti menulis di dalam diari... berhenti percaya pada novel cinta... bahkan berpaling terus dari filem-filem cinta.

Aku berdiam diri... (apabila ditanya mengapa). Kerana hakikatnya jawapan itu tidak pernah ada.

Namun kerana sebuah lagu... aku dapat merasakannya lagi. Perasaan itu... yang terlalu indah hendak digambar dengan perkataan. Sebuah lagu yang syahdu... akhirnya memecah kebekuan hati dan menggoncang jiwa yang selama ini kaku.

Terima kasih kerana mengembalikan rasa itu kepadaku...

"Maybe you hate it when you read this.. but truly, i am grateful...
Thank you Allah... for everything...
:'l " ~ ZaidahSikun

Gambar hiasan : sumber internet

Monday, February 7, 2011

Bulan yang ke-9, minggu ke-4

Pejam celik, pejam celik - 7 bulan habis begitu saja sebelum ini. Banyak masa terbazir tanpa membuat sesuatu yang betul-betul bermakna, sampailah akhirnya berjodoh dengan sebuah rumah di Putrajaya (rumah sewa kami sekarang) pada 1 Nov tahun lepas.

Kalau dipandang luaran, memang tidak ada apa yang menarik - cuma pangsapuri saiz sederhana yang harga sewanya boleh tahan juga menyesakkan nafas. Tapi memandangkan kami sudah lama merancang untuk belajar hidup berdikari, mahal sedikit pun tak mengapalah asalkan kena dengan kualiti dan keselesaan yang ditawarkan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang Maha Pemurah. Sekurang-kurangnya tak perlu berkelana semacam pelarian lagi. Dengan izin-Nya juga sekarang sudah ada tempat yang boleh kami panggil rumah sendiri.

Jujurnya aku memang tak menyangka mencari rumah sewa pun boleh jadi sangat rumit dan menyakitkan hati. Lebih sebulan kami mencari rumah sewa di alam siber, hasilnya selalu betul mengecewakan. Ramai sungguh rupanya umat manusia yang berfikiran macam aku - mencari rumah sewa 'di hujung jari' saja.

Kalau betul-betul mahu rumah sewa yang selesa dengan sewa rendah (di sekitar Putrajaya), rasanya terpaksalah makan, tidur sambil mengadap internet. 'First come first serve basis' - siapa yang lambat, selamat jalanlah nampaknya.

Apa pun mungkin belum rezeki kami agaknya waktu itu. Lepas beberapa minggu asyik terlepas peluang (disebabkan rumah sewa cepat dikebas orang lain), tahap kesabaran pun jadi semakin tipis. Dengan hati yang geram, aku terus mengajak suami turun sendiri ke Putrajaya mencari notis 'Rumah untuk disewa'.

Mana boleh tahan kalau keadaan terus-terusan begitu. Internet memang banyak manfaatnya, tapi dalam masa sama ada juga kelemahan dan ada kalanya tak dapat memenuhi keperluan. Oleh sebab itu rela atau tidak, terpaksalah kami balik kepada cara lama. Kalau kecewa sekalipun, setidak-tidaknya semua jelas di depan mata.

Kali pertama misi pencarian, hasilnya masih mengecewakan. Astaghfirullahal Azim… Sabarlah hati. Maklum, orang tak biasa dengan Putrajaya. Selepas gagal berkali-kali, graf motivasi diri turut sama menurun. Macam-macam fikiran negatif bermain di kepala. Akukah yang kurang berusaha atau nasib kami kurang baik?

Untuk menyedapkan hati, anggap sajalah rumah-rumah sewa yang diiklan sebelum ini tak baik untuk kami berdua. Aku yakin dengan izin Allah, tentu ada rezeki untuk kami berdua lambat laun nanti. Yang penting mesti terus mencari dan berdoa untuk yang terbaik.

Misi kali kedua macammana pun Alhamdulillah rezeki kami jauh lebih baik. Syukur kepada Allah yang memberi rezeki, kemudahan semasa proses mencari dan ketika berurusan dengan pemilik rumah. Lepas melihat sendiri keadaan rumah dan membuat penilaian (sebab aku memang cerewet), pada malam hari sama kami terus membayar sebahagian deposit.

Terima kasih kepada Kak Na yang berjasa menjadi pemandu tak rasmi dan menemankan aku untuk meninjau rumah sewa - dari Semenyih sampai ke Putrajaya (walaupun tak singgah di kawasan di antaranya).

Bagi kawan-kawan yang sedang mencari rumah sewa terutama di kawasan yang 'high demand', aku cadangkan supaya 'turun padang' mencari iklan-iklan rumah sewa. Bukan kaedah 'online' itu tak bagus. Tapi lepas melalui pengalaman sendiri, aku rasa ada baiknya kalau menggunakan cara lama dalam masa yang sama.

Iklan-iklan rumah sewa biasanya boleh dilihat di 7Eleven, tempat menunggu bas atau di papan kenyataan di bawah blok. Kalau ramah sikit, boleh bertanya pada penduduk setempat. Mungkin mereka boleh membantu sedikit-sebanyak.

"Yakinlah dengan kasih sayang Allah, kerana Dia tak pernah melupakan kita." ~ ZaidahSikun
^^

image/map : http://putrajayahomestay.blogspot.com/