Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Thursday, October 7, 2010

Semua mahu sempurna!

Diam tak diam sudah masuk 6 bulan aku dan si dia menjalani hidup sebagai suami isteri. Buat masa ini aku masih dalam tempoh membiasakan diri dengan fasa pertama perkahwinan. Kami sama-sama masih bertatih dalam membina sebuah keluarga yang stabil.

Sejak hari pertama berkahwin aku selalu berkata pada diri-sendiri : "hati mesti mahu lapang, fikiran mesti tenang sebab apa yang menanti di hadapan tak dapat dijangkakan." Tetapi aku akui, ada masanya tahap kesabaran yang ada masih tak memadai. Nyaris saja kalah dengan cubaan kecil yang Allah beri.

Faham-faham sajalah apabila sudah berkahwin - semakin banyak hati yang perlu dijaga; macam-macam masalah pula yang timbul. Hendak marah-marah atau merajuk sesuka hati (macam waktu bercinta dulu) pun tak boleh sebab hati 'syurga' perlu dijaga. Hati mentua juga tak boleh disakiti sebab yang itu pula syurga encik suami.

Mesti menyiapkan makanan tiga kali sehari, mengemas, mencuci dan menyediakan kelengkapan, pakaian suami ke tempat kerja. Semua itu menjadi rutin penting kalau mahu menjadi isteri solehah. Tak ada alasan hendak bermalas-malas sekalipun ada tuntutan kerja.

Macammana pun aku bersyukur sebab suami banyak membantu, malah setia menjadi tempat mengadu dan menangis. Kalau tidak, entahlah… mungkin apa yang tinggal cuma air mata.

Hakikatnya, bukan mak mentua saja yang mahu menantu sempurna, suami pun (walaupun tak mengaku) tentu mahukan isteri yang sempurna serba-serba - baik dari segi penampilan mahupun kebolehan menjadi isteri mithali. Tipulah kalau ada suami yang tak kisah langsung apabila isterinya kurang rajin di rumah.

Bagi aku, lebih selesa rasanya kalau dapat menjadi diri-sendiri. Tak perlu berpura-pura baik bak 'warisan wanita melayu terakhir' sebab aku cuma manusia biasa yang ada banyak kelemahan. Sebab itulah semasa masih bercinta lagi aku sudah memberitahu suami yang aku memang tak sempurna, bahkan tak mampu hendak menjadi wanita 'perfect'.

Tapi aku berjanji, dengan izin Allah akan berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik. Kalau tak mampu menjadi menantu gred A pun tak mengapalah, asalkan dapat menjadi isteri yang baik untuk suami.

"Hakikatnya ada ke manusia yang sempurna?" ~ ZaidahSikun

Saturday, October 2, 2010

Beraya sebagai isteri

Selamat hari raya semua. Maaflah sebab terlalu lewat menulis untuk edisi raya. Banyak sangat perkara yang mendatangkan sibuk beberapa minggu ini. Syawal tinggal berbaki seminggu baru aku betul-betul lapang hendak mencatat serba sedikit tentang sambutan raya. Tapi tak mengapalah, bak kata orang biar lambat asalkan ada.

Kali ini tahun pertama aku beraya bersama suami. Kali pertama beraya sebagai seorang isteri dan kali pertama juga tak dapat beraya di kampung sendiri. Memandangkan tahun ini kali pertama untuk banyak perkara, semestinya banyak berbeza kalau dibandingkan dengan tahun-tahun lepas. Dahulu tak pernah sekali pun menyambut aidilfitri di perantauan, tapi mulai sekarang nampaknya aku terpaksa menerima hakikat tak dapat beraya di kampung sendiri.

Secara umum, beraya bersama keluarga suami sebenarnya hampir sama meriah dengan keluarga di Muar. Makcik dan pakcik suami rata-rata lebih muda berbanding makcik pakcik di Muar. Sepupu-sepupu pun masih ramai yang bersekolah. Oleh sebab itu setiap kali tiba hari raya, sudah menjadi perkara wajib untuk mereka semua berkumpul di Sauk (keluarga sebelah mak mentua). Tambahan lagi suami cuma dua beradik, ayah dan datuk nenek sebelah ayah mentua pula sudah lama meninggal dunia.

Cuma apabila sudah bersuamikan anak campuran Perak (yang boleh dikatakan melayu 'ori'), sejak mula lagi aku wajib membiasakan diri dengan masakan-masakan melayu. Contohnya makanan berunsur ulam-ulaman dan tanaman hasil kampung, ikan sungai, masak lemak, kari, sambal petai dan paling penting sekali ialah tempoyak. Untuk hari raya pula wajib terhidang ketupat (pulut, daun palas) atau lemang, selain rendang sebagai menu pasangan.

Tak menjadi masalah dari segi selera kerana lidah sudah biasa dengan menu pelbagai negeri. Tapi kalau sudah anak jawa, tetap juga anak jawa - aku sudah biasa makan ketupas (beras) dengan kuah lodeh, sambal kacang dan ayam masak kicap setiap kali raya. Jadi walau fikiran terbuka macam mana sekalipun, di dalam hati terasa juga janggalnya hari raya tanpa hidangan kegemaran. Rasa tak lengkap selagi tak merasa ketupat dengan kuah kacang dan lodeh.

Bagaimanapun, dari sudut lain aku seronok sebab dapat merasa hidangan yang jauh berbeza dari kebiasaan sejak menjadi ahli keluarga suami. Masa inilah aku mengambil kesempatan untuk menuntut ilmu masak-memasak hidangan kampung yang unik dan susah ditemui di tempat lain. Dalam masa sama dapat juga mengamalkan petua-petua tradisional orang melayu, memanfaatkan hasil tanaman dan juga ikan hasil tangkapan penduduk kampung semasa memasak.

"Rasa macam berada di zaman nenek moyang.. Memang seronok!" ~ ZaidahSikun

Monday, August 30, 2010

Selamat jalan atuk...

Kalau tak silap perkiraan, hari ini (ketika entri ini ditulis) genap 20 hari umat Islam berpuasa. Ruginya rasa sebab tahun ini aku kurang memanfaatkan malam-malam Ramadan yang lepas.

Niat hendak memperbanyak amalan, solat tarawih dan bangun malam pun masih tak tercapai. Begitupun aku redha dengan kelemahan sendiri. Dengan izin Allah akan aku perbaiki memandangkan Ramadan masih berbaki 10 hari.

Seminggu dua lepas, aku banyak menghabiskan masa di rumah mak Muar. Tak ada suami menemani sebab si dia tak dapat balik bersama. Rasa bersalah juga kadang-kadang, tapi terpaksa juga suami ditinggal-tinggalkan.

Lama sangat aku tak menjenguk emak sejak kami berkahwin dan tinggal (sementara) di Belanda. Sekarang suami sibuk pula dengan projek syarikat yang sedang dibangunkan, jadi susah dia hendak bercuti panjang dan berlama-lama di kampung.

Demi menemani emak yang sudah lama tak berjumpa (sampai emak hampir merajuk), aku cuba menolong emak membuat kerja-kerja rumah dan menjaga atuk sebaiknya. Sejak adik ke-7 menyambung pelajaran di Uitm awal bulan lalu, fikiran emak selalu runsing.

Itu juga salah satu sebab kenapa aku meminta izin suami untuk balik kampung menemani emak sementara waktu. Lagipun hati risau memikirkan emak yang cuma tinggal bertiga di rumah.

Seminggu berada di rumah emak, sunyinya tak dapat diluah dengan kata-kata. Tidak ada facebook atau blog hendak dijenguk, tiada suami dan adik-beradik yang lain hendak memeriahkan suasana. Cuma ada emak, adik bongsu dan atuk yang sudah lama terlantar sakit - tak lagi mampu menelan makanan melainkan minum air semata.

--------------------------

Sebenarnya sudah agak lama emak menjaga atuk, sejak kesihatannya mula merosot beberapa tahun dulu. Pada mulanya atuk tak mahu berpindah dan lebih rela tinggal sendirian di rumah buruk. Tapi lama-kelamaan atuk beralah setelah dipujuk berkali-kali. Mungkin atuk tak mahu lagi hidup keseorangan selepas kematian arwah nenek.

Menjaga atuk sebenarnya tidak susah. Setahun dua tinggal bersama kami, atuk masih boleh berjalan dan makan seperti biasa - cuma kurang berselera. Atuk juga masih boleh menguruskan diri-sendiri, berbual-bual dengan anak cucu dan mendirikan solat. Namun begitu pada kebanyakan masa atuk lebih banyak tidur kerana tak kuat hendak melakukan apa-apa aktiviti.

Selang beberapa tahun, mungkin disebabkan kurang aktif kesihatan atuk terus merudum hingga ke tahap hilang terus selera makan. Badan atuk yang sememangnya kurus, tinggal tulang saja sewaktu kali terakhir kami bertemu, tapi menjaga atuk masih tetap tak terasa membebankan.

Walaupun tak sihat dan selalu mengoyakkan lampin pakai buang yang kami pakaikan, selebihnya atuk lebih banyak berbaring tidur. Ada masanya atuk minta bekas untuk membuang air kecil, minta dibawa ke bilik air, kemudian minta dibuatkan milo panas.

Seminggu lepas, atuk selalu terlupa hendak memberitahu aku dan emak apabila hendak membuang air. Oleh sebab itu selalu saja najis atuk bersepah sampai terkena pada badan dan mukanya sendiri. Bertambah sayu rasa hati melihat keadaannya. Aku tahu atuk sendiri tak ingin perkara sebegitu berlaku, tetapi daya ingatannya semakin lemah disebabkan usia yang sudah mencecah 93 tahun.

Habis seminggu, aku balik semula ke Kuala Lumpur. Walau bagaimana pun, belum cukup seminggu berada di rumah mak KL, aku mendapat berita dari adik bongsu - mengatakan atuk baru saja menghembuskan nafas yang akhir sekitar jam 8 malam pada malam Jumaat nuzul Qur'an.

Tak sangka minggu lalu adalah minggu terakhir dapat aku berbakti untuk atuk. Tak sangka juga minggu itu kami beriya-iya mengemas kawasan rumah secara tiba-tiba - rupanya sebagai persediaan menerima para tamu yang bakal membaca tahlil.

"Semoga roh atuk (Allahyarham Haji Mokmin) dicucuri rahmat dan berbahagia selalu di sisi Allah." ~ZaidahSikun

Monday, August 9, 2010

No 'baju raya' this year? ~ I doubt it


Hari ini dua hari terakhir dalam bulan Sya'ban. Ahlan Wasahlan Ya Ramadan. Semoga tahun ini kita semua bakal memperoleh nikmat yang tak terhingga hebatnya daripada Allah S.W.T.

Belum lagi bermula bulan puasa, aku sudah dapat merasakan semangat Ramadan. Seperti biasa saban tahun aku belum membeli baju raya, malah tak teruja langsung hendak membelinya. Apa yang lebih penting bagi aku ialah menunaikan ibadah puasa dan mengumpul pahala yang termampu, sementara syaitan iblis dan kaum kerabatnya semua diikat.

Walau bagaimana pun, dalam rasa tak teringin langsung hendak membeli baju raya, mungkin tahun ini terpaksa juga membeli setidak-tidaknya sepasang baju kurung kain kapas (siap). Semuanya gara-gara perjanjian entah apa-apa yang aku buat (dengan diri sendiri) sejak 3, 4 tahun yang lalu. Malu hendak aku kongsikan di sini, tapi yang penting ia cuma alasan semata. Langsung tidak serius.

Seperkara lagi, hendak dijadikan al-kisah - mak mertua dan nenek (sebelah suami) sudah mulai risau melihat aku yang jarang benar memakai baju kurung. Pada suatu hari mak mertua pernah bertanya, "Kau tak ada baju kurung ke?" Aduh… bisa sungguh soalan cepu emas.

Susah juga rupanya apabila sudah bersuami ya? Mungkin kurang ayu agaknya kalau tak berbaju kurung. Hendak tak hendak terpaksa merajin-rajinkan diri membawa baju kurung barang sehelai dua apabila balik kampung - senang kalau tiba-tiba diajak menziarah saudara-mara.

Hakikatnya aku bukan begitu kronik sampai langsung tak suka berbaju kurung. Ketika masih bekerja makan gaji dulu, galak juga aku membeli kain untuk dibuat baju. Sikit sebanyak cita rasa aku dalam memilih kain boleh juga dipercayai (pada masa itulah). Tapi sekarang, usah ditanya kain mana yang cantik atau jenis kain apa yang sedang 'top' masa kini. Dijamin tak dapat aku jawab dengan markah penuh.

Selain seluar aku sebenarnya agak suka memakai baju kurung, kalau hendak dibandingkan dengan baju kebaya. Sudah puas sewaktu zaman remaja dulu melaram dengan baju fesyen dan kebaya. Apabila umur sudah masuk angka 30, rasa hendak melaram pun merudum sama.

Pendek kata, baju kurung lebih selesa dan sesuai dengan majlis apa pun. Cuma tidak sepanjang masa aku hendak memakai baju kurung. Lihat juga pada kesesuaian masa dan majlis. Kalau aku seorang cikgu atau bekerja 'gomen', tentu lebih sejuk mata mak mertua melihat aku berbaju kurung selalu. Nasib kurang baiklah sebab dapat 'photographer' sebagai menantu.

"Aku bukan wanita Melayu paling ayu.. hehe.." ~ Zaidah Sikun

Friday, May 14, 2010

Minggu-minggu yang menduga Iman

Rasanya tak perlu hendak diberitahu, Mauritsstraat seperti yang tertera di atas ialah nama sebatang jalan. Di situ letaknya rumah kecil yang disewakan syarikat suami sepanjang kami berada di Belanda. Rumah atas loteng yang boleh dikatakan langsung tak berbilik dan perlu mendaki tangga kecil untuk naik ke rumah. Kalau boleh dianggap ada sebuah bilik pun, ia bilik air.

Jika dibanding dengan rumah teman-teman suami yang lain, memang rumah kami tak seberapa rupanya. Sekali pandang nampak kurang selesa, dengan ruang yang agak terhad. Nama pun rumah bujang berbentuk studio apartmen. Mungkin tak begitu sesuai untuk orang yang sudah berkeluarga. Tapi terus terang, kami suami isteri cukup berkenan dengan rumah itu (lebih-lebih lagi encik suami).

Di sebalik bentuknya yang serba kekurangan, rumah itu lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan seorang suri rumah. Antaranya seperti dapur, peti ais, mesin basuh, mesin pengering, ketuhar gelombang, mesin pencuci pinggan, alat pemanas, katil, meja makan, televisyen dan juga radio.

Malah pemilik rumah turut menyediakan set pinggan mangkuk, cawan dan gelas, sudu garfu, kuali leper serta tuala mandi - macam sebuah bilik hotel 4 bintang. Sebut saja apa barang yang diperlukan, semua sudah disediakan... kecuali bahan makanan.

Satu perkara saja yang selalu membuat aku makan hati tentang rumah itu, iaitu sudut dindingnya yang tersangat sempit. Bayangkan keadaaan rumah di atas loteng (betul-betul pada rangka bumbung). Sudah tentu akan menyebabkan si penghuni asyik terlanggar, terhantuk dan tergesel pada dinding, terutama apabila hendak mengemas katil.

Permukaan dinding yang kesat pula lebih memburukkan keadaan, bahkan selalu 'memakan' tangan. Tak terbilang rasanya berapa kali kepala terhantuk dan tangan jadi berbirat, melecet disebabkannya.

Seminggu dua berada di sini, aku mengalami kejutan cuaca yang agak teruk. Mungkin disebabkan cuaca sejuk, hawa daripada pemanas dan penggunaan air suam yang kerap, kulit menjadi sangat kering. Ada masanya sampai merekah kulit dan luka akibat kekeringan yang melampau.

Puas menyapu krim pelembap pada kulit siang dan malam, tetapi tetap tak menampakkan hasil memberangsangkan. Aku pula memang liat hendak minum banyak air masak dan lebih gemar mengambil minuman panas seperti kopi dan teh untuk memanaskan badan. Oleh sebab itu kulit menjadi lebih kering setiap hari.

Pedih luka apabila terkena air selalu membuat aku berat hati setiap kali hendak mencuci pinggan mangkuk, sampai akhirnya terpaksa membeli sarung tangan getah bagi memudahkan kerja. Sedih juga sesekali melihat kulit tangan sendiri yang menjadi gelap serta luka di sana sini. Sekali pandang, kalah kulit tangan nenek tua.

Tetapi hati sentiasa redha dengan berkata, ini semua dugaan dari Allah yang Maha Esa. Mungkin ianya ujian dan mungkin juga balasan untuk dosa-dosa aku selama ini. Insha-Allah... suatu hari nanti segalanya akan pulih, malah mungkin lebih baik lagi dengan izin Allah.

Jujurnya, aku bukan hamba Allah yang betul-betul kuat iman semasa di luar negara. Cabarannya berada jauh dari kemudahan beribadah seperti di Malaysia cuma Allah saja yang tahu. Banyak kali juga terlepas waktu solat (pada peringkat awal) disebabkan masih tak biasa dengan kelainan masa.

Ada ketikanya tidak ada tempat sesuai hendak bersolat, sukar mencari makanan halal apabila keluar jauh dari rumah (disebabkan was-was) dan sebagainya. Sedang hati sendiri pun selalu berat hendak mengerjakan ibadah-ibadah sunat.

Berminggu-minggu juga terpaksa diambil untuk menyusun semula jadual kembali ke landasan sepatutnya. Tetapi Alhamdulilllah, semua itu banyak mengajar aku menjadi hamba Allah yang lebih baik insha-Allah.

Bukan senang menjadi seorang muslim di negara asing dan itu cukup membuat aku kagum pada umat Islam yang hidup berkelana di negara orang. Hebatnya mereka yang masih teguh mengamalkan ajaran Islam di Eropah, malah sanggup berikhtiar untuk mengadakan sebuah masjid untuk umat Islam mendirikan solat.

"Allahu Akbar.." ~ ZaidahSikun


Monday, May 10, 2010

Welkom Nederland ~ my little home

Sampai di bumi Netherlands, perasaan yang bermain di hati masih sukar hendak digambarkan. Terlalu gembira tidak, terlalu rindukan tanah air pun tak juga. Terus terang, hati terasa sangat lapang selepas meninggalkan bumi Malaysia. Rasanya tak ubah seperti hilang segunung beban yang selama ini menekan di bahu.

Begitu banyak kecelaruan hidup perlu diharungi sebelum ini, sekarang mungkin masa yang cukup sesuai untuk aku membuka lembaran baru bersama suami. Selama lebih 30 tahun, hidup dihabiskan begitu saja di Malaysia. Akhirnya dapat juga memperbaharui kehidupan yang sebelum ini terasa semakin kosong.

Ketika tiba di lapangan terbang Schipol Amsterdam, aku dan suami terus menuju stesen keretapi untuk ke bandar Eindhoven. Jarak di antara Schipol dan Eindhoven boleh tahan juga jauhnya, tetapi kami terpaksa duduk berdekatan pintu keluar kerana terlalu banyak beg (besar) yang dibawa. Lebih senang apabila hendak turun nanti.

Ketika keretapi sampai di stesen Eindhoven, aku dengan lagaknya menolak cadangan suami supaya memakai baju sejuk. Di dalam hati menjangka tentu suhu Belanda tak sesejuk mana memandangkan musim salji sudah berlalu. Tetapi sangkaan itu nyata meleset apabila aku mula menggigil kesejukan sebaik keluar dari perut keretapi. Itulah kata orang, jangan melawan cakap suami.

Allahu Akbar, rupanya suhu ketika itu lebih kurang 3 darjah selsius - sedikit saja lagi hendak mencecah paras beku. Sejuknya aku rasakan tak dapat diluah dengan kata-kata, lebih dari sekadar mencucuk sampai ke tulang hitam. Sudahlah kami terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke rumah sewa. Sepanjang 15 minit perjalanan, hampir beku rasanya hidung dan tangan. Kulit muka pun terasa tebal dek kerana terlalu sejuk.

Pemanas ada disediakan di dalam rumah, tetapi tak pernah cukup untuk aku memanaskan badan. Kalau tidak memakai stokin dan baju dua lapis memang tak sah rasanya. Mandi pun semestinya dengan air suam. Sejuk tak terkata sampaikan hendak melakukan kerja rumah sekalipun cukup seksa.

Namun yang lebih menduga iman ialah waktu solat dan zon waktu yang agak berbeza dari Malaysia. Waktu di sini 5 jam lebih lewat (kalau tak silap saya), manakala waktu siang pula agak panjang. Seksa juga rasanya hendak menunggu masuk waktu Isyak yang kebiasaannya sekitar 11.30 hingga 12 malam. Sementelah maghrib pula lebih kurang jam 9 dan Syuruk jam 5.30 pagi.

Tempoh permulaan merupakan tempoh yang cukup menduga iman bagi aku ketika itu. Pada waktu begini baru terasa betapa bertuah aku selama ini dilahirkan di Malaysia.

"Hujan salji di negeri orang, best lagi hujan di negeri sendiri.. hehe" ~ ZaidahSikun

Saturday, May 8, 2010

Terbang ke awan biru

Semasa dalam kapal terbang, aku perhatikan majoriti penumpang adalah 'mat saleh'. Elok pula aku langsung tak berasa janggal, sedangkan sebelum itu aku menjangkakan sebaliknya. Tuah aku agaknya, kebetulan hari itu ada seorang lagi penumpang wanita (melayu) yang memakai tudung.

Tempat duduknya pula tak begitu jauh dari tempat kami. Sempat juga kami bertegur sapa dengannya ketika di dalam perut kapal terbang. Oh, orang Pahang rupanya - mengikut suami menghadiri persidangan di Amsterdam.


Kalau mengikut kiraan kasar, penerbangan ke Belanda mengambil masa lebih kurang 12 jam. Kapal terbang berlepas sekitar 11.55 malam (13hb April) dan sampai di Amsterdam pada pukul 1 petang waktu Malaysia (14 April).

Terasa sungguh membosankan kerana terpaksa duduk selama setengah hari di dalam kapal terbang. Penerbangan waktu malam langsung tak membantu mengurangkan bosan.

Aku cuba melelapkan mata, tapi belum mengantuk pula. Separuh masa penerbangan aku habiskan dengan menonton filem percuma pada skrin tv yang disediakan di belakang tempat duduk penumpang. Habis 1 filem, aku lelap seketika. Mata mulai layu pada masa itu, sementelah orang di kiri kanan, depan dan belakang semuanya sudah lena dibuai mimpi.

Selepas beberapa jam, aku terjaga dari tidur yang tak begitu lena. Kelihatan sebungkus makanan seperti kek dan biskut di atas meja tempat duduk. Ah, nampaknya aku sudah terlepas waktu makan lewat malam. Tak sangka pula ada hidangan lewat malam di kala hampir semua orang tak sedarkan diri.

Sedar dari tidur, aku terus memasang satu filem lagi. Secara keseluruhan, dua filem habis ditonton tanpa terlepas satu babak pun. Suami di sebelah pula lebih banyak melelapkan mata sepanjang penerbangan. Tinggallah aku seorang diri terkebil-kebil menonton filem.

Walaupun tak begitu selesa duduk di dalam kapal terbang dan dilanda kebosanan, sekurang-kurangnya dapat juga aku menonton filem Avatar yang secara kebetulan tak sempat aku tonton di pawagam. Jimat duit, tak perlu membayar tiket wayang atau membeli dvd.

Perkara yang paling seronok sepanjang penerbangan sudah tentu ialah makan. Terima kasih kepada encik pramugara dan cik pramugari MAS bertugas yang sentiasa murah senyuman dan ramah bersembang dengan aku dan suami. Layanan yang diterima pun sangat baik, mungkin disebabkan tak ramai orang Melayu mengikuti penerbangan ke Belanda pada masa itu.

Semasa sarapan pagi encik pramugara awal-awal lagi sudah mengasingkan nasi lemak untuk aku dan suami. Katanya, sudah menjangka kami berdua tentu akan berkehendakkan nasi lemak. Maklum sajalah, sampai di Belanda nanti tentu susah hendak makan nasi lemak sepertimana di Malaysia.

Sebelum turun dari kapal terbang lebih kurang jam 7 pagi (waktu Belanda), suami sempat pula memberitahu yang kami berdua sebenarnya baru saja berkahwin. Tak puas hati sungguh encik pramugara pada masa itu. Katanya, kalau diberitahu lebih awal bolehlah dia memberi sedikit cenderahati untuk kami berdua.

Aku dan suami hanya mampu tersenyum kambing. Biar di dalam hati terasa sangat rugi, pokok pangkalnya memang bukan rezeki kami. Oh, sakitnya jiwa...

Cuma tak gembira bila 'mat saleh' duk minum wine & beer kat dalam kapal terbang.. huhu ~ ZaidahSikun

Thursday, April 29, 2010

My new adventure...

Dalam jadual yang ketat, boleh dikatakan aku agak kelam-kabut mengemas barang untuk ke Belanda mengikut suami. Bunyinya memang gila sebab membuat keputusan 'terbang' 3 hari selepas kenduri kahwin sendiri, tapi itulah keputusan yang sudah kami capai bersama.

Pertama kali rasanya aku berada dalam keadaan yang betul-betul terdesak. Masa yang semakin mengurang, ditambah pula dengan tekanan daripada suami yang risau kalau-kalau kami tak sempat ke lapangan terbang, membuat aku terasa seolah-olah tak cukup oksigen hendak bernafas.

Dengan selamba aku katakan padanya, "Insya-Allah sempat. Awak janganlah risau." Sedangkan di dalam hati sebenarnya aku pun sama bimbang seperti sang suami.

Bayangkan sejak sampai di rumah Taman Melati (sekitar jam 11 pagi) hingga pukul 4 petang, aku masih belum berhenti menyusun dan memasukkan barang yang perlu dipindah ke dalam beg - melainkan berhenti untuk solat zohor. Apa yang bermain di fikiran pada ketika itu hanyalah hendak menyegerakan kerja-kerja mengemas, kemudian bersiap-siap untuk ke lapangan terbang.

Sebenarnya rancangan hendak ke Belanda sudah lama kami buat. Bukan rancangan saat-saat akhir, malah tiket kapal terbang pun sudah lama ditempah. Cuma aku saja yang tak sempat berkemas lebih awal kerana terlalu sibuk dengan urusan perkahwinan. Apatah lagi dalam masa sama aku juga tak menang tangan mengasingkan barang dan menghantarnya ke rumah baru kak na.

Sehari dua selepas kenduri kahwin, kami masih berada di rumah mak Muar. Banyak periuk belanga besar perlu dicuci - maklum sajalah pengantin baru. Kalau tak didenda mencuci periuk, memang tak sah. Begitulah resamnya kalo mengadakan kenduri secara 'rewang' di kampung. Banyak lagi kerja-kerja selepas kenduri yang perlu diurus sebelum boleh ke mana-mana.

Lebih kurang jam 5 petang, 13hb April 2010 (Selasa) barulah semua barang habis dikemas. Selepas itu kami terus bergegas pulang ke rumah mentua dan bertolak ke lapangan terbang sekitar jam 8 malam.

Syukur alhamdulillah ada teksi yang sanggup menghantar, kalau tidak tentu kami tak dapat menaiki kapal terbang tepat pada masanya. Itupun sang suami terpaksa solat isyak di dalam kapal terbang dek kerana terlalu banyak prosedur yang perlu dilalui sebelum dapat masuk ke dalam.

Terus terang aku katakan, walaupun ini bukan kali pertama aku menaiki kapal terbang, tapi inilah kali pertama aku mengambil penerbangan antarabangsa. Orang lain kebanyakannya sudah terbang jauh sekurang-kurangnya sampai ke Bandung dan Bali, aku pula paling jauh pun cuma ke bumi kenyalang.

Disebabkan itu (dan juga ada sebab-sebab lain), debaran semasa hendak melalui pemeriksaan kastam lain macam sungguh rasanya. Dalam hati berkata, "kenapalah begitu banyak prosedur ni?" Kelakar sungguh... inilah yang terjadi kalau tak biasa terbang ke sana-sini dan ada hutang yang masih belum habis dilunas.

"Selamat tinggal Malaysia. Kita jumpa 3 bulan lagi" ~ ZaidahSikun

Monday, April 19, 2010

Hari Bahagia...

Tanggal 10 April 2010 bersamaan 25 Rabi'ul Akhir 1431H yang lalu, akhirnya aku sah menjadi isteri kepada kekanda idaman kalbu. Macam mimpi rasanya. Sampai hari ini pun terasa masih susah hendak percaya yang aku sudah bersuami.

Ditakdirkan aku dan suami memang serasi sejak awal perkenalan lagi. Dia tempat aku mengadu suka dan duka, serta berkongsi air mata selama lebih 4 tahun kami bercinta. Selama itu juga aku menganggap dia sebagai sahabat yang paling akrab. Mungkin sebab itu setelah berkahwin pun aku tak terasa banyak perbezaan.

Demi Allah, tak dapat aku luahkan betapa lega rasa hati setelah semua urusan selesai. Sejak suami bekerja di Belanda awal Januari lalu, aku sudah mula sibuk dengan urusan perkahwinan. Tak menang tangan, tak cukup masa hendak menguruskan itu dan ini. Berlebih lagi kebetulan dalam bulan April aku dan kak na sudah merancang hendak berpindah rumah.

Macam-macam dugaan terpaksa dilalui - Allah saja yang Maha Mengetahui apa yang telah aku tempuh. Perit jerih, patah hati, bermandi air mata... semua itu jadi permainan sepanjang 3 bulan ini.

Apa pun, semuanya sudah berlalu dan aku tak mahu asyik memandang ke belakang. Bersyukur teramat sangat ke hadrat Ilahi kerana sekurang-kurangnya Dia telah memberi aku kemudahan untuk mengharung segalanya. Banyak kekurangan yang tak dapat dielak, tapi setidak-tidaknya banyak perkara pokok dapat juga dipenuhi.

Paling sedih apabila ramai teman tak dapat hadir. Begitupun aku faham, setiap orang mempunyai kesulitan masing-masing. Tak boleh aku hendak memaksa mereka turun juga ke Muar semata-mata kerana aku.

Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kawan-kawan yang sanggup datang dari jauh untuk menyaksikan hari bahagia aku tempoh hari. Maaf juga seandainya ada kekurangan semasa majlis, terutama kelemahan aku kerana tak dapat melayan semua yang hadir.

Terima kasih kepada semua ahli keluarga yang telah bersusah payah membantu aku menyempurnakan majlis. Dan kepada semua yang mendoakan aku dan suami dari jauh ~ ZaidahSikun

Friday, February 5, 2010

Yang tersurat dan tersirat...

Semasa bersembang dengan seorang 'senior' beberapa minggu lalu, entah macam mana timbul cerita tentang isu umpat-mengumpat. Dia sungguh-sungguh tak percaya orang seperti aku juga boleh menjadi bahan umpatan orang lain.

Lebih kelakar lagi, dia susah hendak percaya yang aku mengalami sakit gigi sampai terpaksa berjumpa doktor gigi baru-baru ini. Katanya, gigi aku nampak elok saja. Tak sangka ada masalah gigi berlubang.

Tergelak juga aku mendengar kata-katanya. Mungkin pada pandangannya aku nampak baik dan 'low profile' saja - tak mungkin mendatangkan umpat keji orang lain.

Secara jujur aku jelaskan kepadanya, "Saya percaya kalau kita pernah mengumpat atau mengata orang, bermakna kita juga boleh menjadi bahan umpatan orang lain." Lagipun aku cuma manusia biasa, tak sebaik mana pun.

Setakat ini aku jarang sekali melenting kalau ada orang yang mengata di belakang ataupun mengumpat tentang keburukan aku. Rasanya aku masih boleh bertolak-ansur kerana aku tahu, punca utama tetap datang dari kelemahan aku sendiri. Marah-marah tak akan menyelesaikan masalah, lebih baik aku maafkan saja.

Kalau apa yang dikata itu benar, terserah kepada kita untuk memperbaiki diri. Tapi jika semuanya fitnah, tak kira walau berapa ramai sekalipun yang mencemuh, yang penting Allah Maha Mengetahui siapa di pihak benar. Itu sudah cukup memadai.

Seperti barisan gigi yang dari luarnya nampak cantik dan sempurna, di bahagian dalam siapa yang tahu, ada yang sakit atau berlubang. Begitu juga dengan peribadi seseorang. Dengan sekadar melihat dan mengenali seseorang, tak semestinya menjadikan penilaian kita terhadapnya adalah betul belaka.

Orang yang berperangai buruk pada pandangan kita, mungkin ada sifat baik yang tersembunyi. Orang yang nampak baik serba-serbi, mungkin tak sebaik yang disangka. Orang yang nampak gembira dan sentiasa tersenyum pula, mungkin sedang bersedih di dalam hati.

"Pujian kadang kala sangat menakutkan" - ZaidahSikun

Friday, January 22, 2010

Cara kita... cara 'mat saleh'...

Mungkin ramai yang tak mengetahui sekitar tahun lalu aku pernah bekerja sekejap sebagai pembantu juru wang di sebuah pasar raya besar. Terlalu sekejap kalau dibilang hari, tapi bagi aku pengalaman yang dikutip semasa bekerja terasa amat berharga.

Walaupun nampak mudah, bekerja dari pagi sampai ke malam di kaunter bayaran sebenarnya agak mencabar. Selain tidak banyak kebebasan bergerak, bekerja sebagai pembantu juru wang secara tak langsung mendedahkan aku kepada pelbagai ragam dan sikap manusia. Banyak juga perkara yang
menarik perhatian.

Memandangkan hari aku bekerja jatuh pada cuti hujung minggu, jumlah pelanggan yang datang ketara lebih ramai dari biasa. Kaunter bayaran boleh dikatakan jarang sekali lengang. Kebanyakan pengunjung pada ketika itu adalah dari kalangan 'mat saleh' - mungkin disebabkan kedudukan pasar raya itu yang dekat dengan kawasan kegemaran bangsa asing di Kuala Lumpur.

Seronoknya tentang berurusan dengan golongan 'kulit putih' ini ialah rata-rata mereka bersikap mesra dengan para pekerja di kaunter bayaran. Apabila dibantu, mereka cepat saja tersenyum mengucapkan terima kasih, malah sentiasa 'ringan tulang' menghulurkan bantuan kepada pekerja kaunter apabila perlu.

Setiap kali datang ke pasar raya, lazimnya mereka akan membeli barang dapur dalam jumlah yang banyak. Namun dalam masa sama mereka sangat mementingkan amalan memelihara alam sekitar, sampaikan ada yang sanggup membawa lebih 10 beg kitar semula dalam satu-satu masa.

Kalau ditawarkan beg plastik, mereka dengan pantas akan berkata : "No plastic bag please." Pendirian mereka yang begitu teguh dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik sememangnya cukup mengagumkan.

Aku tak nafikan masih ada segelintir mereka yang tidak membawa beg kitar semula - terutama kalau hanya membeli barang dalam jumlah sedikit. Tapi kebanyakannya memang tak begitu gemar diberikan beg plastik, sampai aku sendiri segan hendak menawarkannya kepada mereka.

Orang kita pula sebaliknya, tak kira apa bangsa sekali pun aku perhatikan tidak begitu mengambil berat tentang isu beg plastik apabila membeli barang. Susah betul hendak melihat orang kita membawa beg kitar semula setiap kali ke pasar raya. Kalau ada pun, percayalah jumlahnya tak cukup memberangsangkan.

Agaknya kempen alam sekitar tak begitu berkesan di negara kita ya?

"Cuba untuk menjadi lebih baik... walaupun tak sempurna" ~ ZaidahSikun

Friday, January 15, 2010

Ada satu cerita














Semasa belajar di Uia dulu, paling tak dapat aku lupa ialah seorang pensyarah perempuan yang mengajar subjek kewartawanan. Pada masa itu aku berangan-angan hendak menjadi seorang penulis dan wartawan. Jadi tanpa berfikir panjang, aku terus membuat keputusan untuk mengambil subjek berkenaan.


Kalau hendak diceritakan secara terperinci, mungkin tak akan habis satu malam. Ringkasnya di sini - perjalanan kelas seperti biasa saja, ujian, ulang kaji, tugasan dan peperiksaan akhir pun aku jalani dengan sebaik mungkin. Tapi apabila keputusan diumumkan aku terpaksa akur dengan gred lulus yang cukup-cukup makan saja.

Kata orang, pensyarah aku itu seorang yang tegas. Malah dia dianggap 'killer' oleh sebilangan penuntut. Khabar angin mengatakan cuma segelintir pelajar saja yang mendapat markah tinggi dalam subjek-subjek yang diajarnya.

Walaupun sedar tentang semua kemungkinan, aku tak pernah menyalahkan pensyarah itu melainkan menuding jari kepada diri-sendiri. Hakikatnya aku yang tak cukup kuat berusaha. Sementelah kecergasan otak semasa mengarang jawapan peperiksaan pula mungkin tidak sehebat mana.

Selepas kecewa dengan gred subjek itu, aku terus patah hati hendak mengambil mana-mana subjek berkaitan kewartawan dan terus menukar bidang pengkhususan. Bunyinya macam sangat kebudak-budakan, tapi itulah keputusan yang aku buat pada ketika itu. Aku menganggap diri tak begitu sesuai menjadi wartawan mahupun penulis.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan akhirnya aku berjumpa semula dengan pensyarah itu di Facebook sekitar tahun lalu. Pada mulanya aku buat tak tahu saja, walaupun menyedari namanya ada dalam senarai teman beberapa orang sahabat. Tetapi siapa sangka cerita itu tak habis di situ saja.

Memandangkan sejarah yang tak begitu menggembirakan semasa mengambil subjek dengan pensyarah itu, aku beranggapan lebih elok kalau aku kekal sebagai 'halimunan'. Begitupun, mungkin takdir sudah menentukan kenangan kurang manis itu tak boleh lagi diteruskan.

Pada suatu hari yang hening, tiba-tiba aku dikejutkan dengan 'Friend Request' daripada pensyarah tersebut. Aku tersenyum dan tergelak sendiri bagaikan tak percaya pensyarah itu masih dapat mengecam nama aku selepas hampir 7 tahun berlalu.

Jawapan yang aku terima untuk semua kebuntuan itu cukup ringkas dan padat. Lebih kurang bunyinya begini - "Saya rasa awak salah seorang pelajar saya kan? Saya ingat nama Zaidah Sikun."

Allahu Akbar! Walaupun aku bukan pelajar yang cerdik pandai dan aktif di kelas, nama yang unik itu cepat juga menarik perhatian pensyarah rupa-rupanya.

Lebih sukar hendak diterima apabila memikirkan gred keputusan aku yang teruk pada masa itu dan aku hanya mengambil subjek yang diajar pensyarah itu sekali saja. Itupun dia masih mampu mengingat kewujudan aku setelah sekian lama.


Kepada pensyarah berkenaan sekiranya terbaca entri blog ini, aku ingin mengucapkan berbanyak terima kasih sebab membuat keputusan untuk menyambung semula silaturrahim di Facebook. Mungkin kami tidak serapat mana, tapi aku gembira sebab kisah yang pahit dulu sudah dapat diperbaharui menjadi lebih baik.

Gembira hendak aku nyatakan, cita-cita untuk menjadi seorang wartawan sebenarnya sama sekali tidak terkubur walaupun selepas gagal mendapat gred terbaik dalam subjek itu dahulu.

Selepas tamat pengajian di Uia aku diterima masuk menjadi seorang wartawan di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd dan berkhidmat selama hampir 5 tahun, sebelum membuat keputusan untuk berdikari.


Dengan izin Allah, aku masih ingin terus menulis sekalipun belum terlihat peluang keemasan ke arah itu.

"Ya Allah, permudahkanlah jalanku..." ~ ZaidahSikun