Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Saturday, November 21, 2009

Susahnya menjaga hati orang lain


Siapa kata menjaga hati orang itu mudah? Menjaga hati sendiri pun rasanya teramat sukar, apatah lagi menjaga hati orang yang langsung jauh dari jangkaan kita. Kita cuma manusia biasa yang punya kelemahan - tak mampu hendak menjaga hati semua orang.

Semakin kuat kita cuba menjaga hati seseorang, semakin besar pula risiko untuk kita membuat orang itu terasa hati. Disebabkan terlalu ingin menjaga hati orang lain, ada ketikanya kita terpaksa menyakitkan hati sendiri.

Kebanyakan masa tak dapat hendak menyatakan kebenaran atau pandangan kerana bimbang ada insan yang akan terasa.


Hakikatnya ditakdirkan setiap manusia itu mempunyai jiwa dan pemikiran yang unik tersendiri. Bak kata orang, rambut sama hitam hati lain-lain. Perkara yang bagi kita cuma gurauan biasa, mungkin menyakitkan hati bagi sesetengah orang. Sebab itulah selalu kita diingatkan supaya berfikir dulu sebelum berkata-kata.

Tapi melakukannya tak semudah kita bercakap. Pendek kata kalau hendak berbuat baik terasa amat susah, sedangkan hendak membuat jahat itu sangat senang pula.

Kalau terkenangkan masa lalu, aku akui memang banyak perkara yang sampai hari ini jadi sesalan. Semasa remaja dulu, kadang kala aku bertindak melulu dan tanpa sengaja menyakitkan hati orang lain - berlebih lagi kalau pada masa itu aku dalam keadaan tertekan atau lapar.

Bukanlah langsung tiada sifat sabar, tetapi sebagai manusia biasa sabar yang aku miliki selalu ada batasnya (dan terhad?). Kalau keadaan melebihi kemampuan, cepat saja nada suara akan meninggi.

Kadang kala tak semena-mena tersebut sesuatu yang menyakitkan hati bagi sesetengah orang, walaupun sebenarnya sudah cuba sedaya mungkin untuk menjaga perasaan orang lain
.

Bagi mereka yang faham mungkin tidak menjadi hal. Bagi yang tak memahami, sudah tentu selepas itu tak mahu lagi bertegur sapa atau terus bermasam muka sampai bila-bila.

Apa yang tak menariknya ialah perkara-perkara sebegitu bagaikan di gam kuat dalam ingatan. Kebanyakan salah silap yang dulu masih menghantui diri sampai ke hari ini.

Agak susah untuk aku memaafkan diri sendiri terutama apabila mengingatkan yang aku seperti berhutang kemaafan dari orang-orang tertentu.


Bukan sombong tak mahu meminta maaf. Cuma ada kalanya mereka tetap enggan memaafkan sekali pun sudah berkali-kali maaf dipinta. Ada masanya aku pula tak berpeluang hendak meminta maaf kerana tak tahu di mana mereka berada.

Maafkan aku ye kawan-kawan? ~ ZaidahSikun

3 comments:

aceramza said...

~Ampun Maaf dipinta, mensuci hening dosa...~ Salam Aidiladha..

Pengorbanan itu ada pelbagai cara; menjaga hati orang lain juga satu pengorbanan.. walaupun kecil, tp sukar nk dibuat..

Zaidah Sikun said...

Sama-sama la kita... :-)
~ insafnye dgr ayat awk tu.. terima kasih, ayat tu cukup menyenangkn hati... :-)

Anonymous said...

Setuju sangat.

Cuma sejak akhir2 ni aku terfikir meluah perasaan pun boleh jadi melukakan hati orang lain.

bila kita dah rasa lega kerana dapat luah apa yang terbuku dalam hati, orang yang mendengar atau orang2 yang terkait dalam luahan pulak yang resah dan terluka.

akhirnya, kita pun kembali menjadi pemendam rasa semula.

Hasrul Nizam
Sg Buloh