Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Wednesday, September 2, 2009

Hikayat Telekung Pertama

Setiap kali memandang telekung yang ku pakai untuk mengerjakan solat, selalu aku teringatkan emak di kampung. Apa agaknya yang sedang emak lakukan pada ketika ini ya?

Terkenang pula aku pada telekung pertama yang dibuat emak semasa aku diterima masuk ke sekolah berasrama dulu. Waktu itu aku masih muda remaja - baru saja mencecah usia 16 tahun.

Berbanding membelinya di kedai, emak dengan ikhlas hati menjahitkan untuk aku telekung baru yang sangat ringkas rupanya. Tidak ada renda-renda mahupun sulaman corak bunga, sebaliknya cuma kain putih yang dijahit mengikut bentuk telekung dengan pengikat di bahagian kepala.

Telekung itulah saksi amal ibadah ku kepada Allah semasa dulu. Aku teramat sayangkan telekung itu meskipun rupanya tidak secantik telekung teman-teman lain. Ke sana-sini akan ku bawa telekung itu bersama, bahkan masih terus menggunakannya semasa aku menyambung pelajaran di universiti.

Bukanlah sebab aku terlalu lokek hendak membeli kain sembahyang atau telekung yang lebih cantik. Aku cuma sudah selesa menggunakan telekung yang satu itu. Dalam fikiran pun tak pernah terlintas hendak menggantikannya dengan telekung baru.

Sehinggalah pada suatu ketika, sewaktu menghadiri majlis konvokesyen kakak keduaku tiba-tiba emak menyebut tentang kain telekung itu. Kata emak, telekung yang ku pakai sudah buruk dan bertahi lalat. Malah sudah semakin senteng dipakai kerana terlalu lama usianya.

Emak lalu membelikan aku sepasang kain telekung baru di bazaar sekitar konvokesyen. Lebih elok rupanya berbanding telekung yang pertama.

Itulah kali pertama aku menggunakan telekung lain sejak hampir 6 tahun setia bersama telekung pertama. Selepas diberi telekung baru, telekung yang lama aku berikan pada adik untuk dia belajar bersolat.

Mungkin sekarang ini telekung itu sudah tidak ada khabarnya lagi. Tapi ada masanya aku akan teringat kepada kain telekung ku itu kerana ia menyimpan begitu banyak kenangan suka duka semasa jauh dari keluarga dulu.

Sehingga kini aku masih memakai telekung kedua yang diberikan emak untuk aku. Seperti semasa dengan telekung pertama, tahun demi tahun terus berlalu. Tetapi aku masih belum juga bersedia hendak menggantinya dengan telekung baru - walaupun pernah dihadiahkan sepasang telekung oleh seorang teman.

Aku masih terus setia menggunakan telekung kedua yang diberi emak sampai ke hari ini. Masih juga aku menghamparkan sejadah lusuh yang sama sejak 15 tahun dulu ketika bersolat.

"Sujudku, ibadahku hanya kepada Allah yang Maha Esa" ~ ZaidahSikun