Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Saturday, August 8, 2009

Jerebu oh jerebu..

Sesekali berada di luar rumah, terasa juga sesaknya nafas akibat asap dan jerebu tebal. Serta-merta kepala turut merasa sakit disebabkan fungsi pernafasan yang tidak begitu lancar.

Disebabkan itu terpaksalah aku berkubu di dalam rumah untuk beberapa hari. Itu pun tak dapat hendak membuka tingkap atau pintu sentiasa kerana perlu mengelak udara tidak sihat menerobos masuk.


Kalau diikutkan di dalam fikiran sudah aku tetapkan untuk berjoging dua kali setiap minggu. Tetapi minggu ini nampaknya apa yang dirancang terpaksa ditangguh lagi. Cuaca agak teruk, udara pula tidak sihat... teramat tidak sesuai untuk aku keluar beriadah.

Antara sedar atau tidak, hakikatnya Kuala Lumpur sudah tidak lagi aman seperti dulu.

Mungkin 10 tahun dulu bandaraya besar ini memang telah sedia ada kaya dengan jalan-jalan sesak, kawasan perumahan, bangunan pencakar langit dan puluhan ribu kenderaan. Tetapi keadaan hari ini ternyata lebih buruk dari hanya sekadar pembangunan pesat.


Pembangunan tidak dapat dielakkan, tetapi perlukah kita menghirup jerebu setiap hari atau memakai topeng pernafasan sepanjang masa demi pembangunan?

Itu persoalan yang selalu bermain di fikiran 'golongan biasa-biasa' seperti aku. Kuala Lumpur sememangnya syurga membeli-belah - macam-macam ada jika dibandingkan kawasan kampung atau bandar-bandar kecil. Tetapi apabila dipandang dari sudut lain pula, bandaraya ini sebenarnya miskin dengan keindahan alam semula jadi.

Jarang sekali dapat melihat bintang-bintang di langit pada malam hari di Kuala Lumpur. Langit bagaikan kosong sepanjang malam. Yang dapat aku lihat lazimnya hanyalah sinaran cahaya dari lampu-lampu tepi jalan dan bangunan-bangunan. Sedihnya menjadi aku pada ketika ini.

Ketika berada di pekan Sauk, Kuala Kangsar bulan lalu, aku dapat merasakan 'kemewahan' yang tiada ternilai di pekan kecil itu. Jauh dari pembangunan pesat, keadaan di situ masih lagi ala-ala pekan koboi. Hanya terdapat beberapa deretan kedai, masjid, pejabat pos, klinik kesihatan dan sebuah balai polis. Rata-rata penduduk hidup bersederhana saja.

Walaupun tiada bangunan pencakar langit, aku tetap seronok setiap kali dapat melihat air sungai jernih mengalir serta pohon-pohon hijau yang tinggi merendang. Jalan raya di kawasan itu juga tidak sibuk, malah kebiasaannya lengang terutama selepas lebuhraya berdekatan siap dibina.

Sebelum ini tak pernah langsung terlintas di fikiran aku untuk bermastautin di kawasan kampung. Tetapi kebelakangan ini hati makin kuat mendesak untuk tinggal jauh dari kesibukan dan pencemaran di kota.

Sayangnya masih terlalu banyak perkara lain yang terpaksa didahulukan sebelum dapat berpindah ke kampung. Terpaksalah bersabar dulu dengan apa yang ada sekarang.

Apakan daya... ~ ZaidahSikun

6 comments:

aceramza said...

sauk kat ne ek? :P pi sana watpe?

Zaidah Sikun said...

eleh.. kura2 dlm perahu, buat2 tak tau pula ye? huhu.. :D

aceramza said...

hahahaha... ye ye.. :P

Masayu Ahmad said...

aku mmg tgh berangan nk berhijrah ke kg

Zaidah Sikun said...

Aku pn sama, ayu... Tp wat ms ni rasanya tak possible la.. ~ sedihnye.. huhu! :(

naqiubex said...

Pembangunan yang melampau lampau adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah masalah yang saudari katakan. Pembangunan tidak salah, tetapi apabila dijalankan dengan semberono dan tidak sistematik.. rosaklah tempat tersebut. Kadang kadang saya kecewa dengan sikap pemaju kerana masih tidak mengendahkan pembangunan terancang.. menganggap malaysia ini sebagai tempat mencari keuntungan semata mata.. Membuatkan saya rasa benci dengan pembangunan...