Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Wednesday, April 8, 2009

Kerana busuknya hati manusia...


Hari ini aku mendapat berita daripada seorang teman. Selama berbulan-bulan dia tidak dapat tidur lena kerana menjaga ayah yang sakit di hospital. Tubuh ayahnya semakin susut, selera makan tidak ada, daya pendengaran semakin kurang, malah penglihatan sebelah mata juga makin memburuk. Namun pihak hospital masih belum dapat mengesan penyakitnya. Tidak ada sebarang petunjuk, walaupun setelah pelbagai ujian dilakukan.


Keadaan ini amat merisaukan mereka sekeluarga. Tak cukup dengan berikhtiar cara moden, cara tradisional juga dicuba. Tapi keadaan ayahnya masih tidak berubah. Jenuh sudah keluar masuk hospital dan premis pengamal perubatan tradisional, akhirnya dia diberitahu bahawa ayahnya terkena buatan orang. Disihir jiran yang tidak puas hati tentang sesuatu. Individu yang seronok melihat dia menanggung kesakitan.

Terus terang aku katakan, aku ragu-ragu hendak mempercayai semua itu. Tapi dalam masa yang sama, amalan sihir itu sememangnya ada. Islam sendiri mengakui wujudnya ilmu sihir yang mampu memudaratkan. Malah Rasulullah S.A.W ketika hayatnya juga pernah disihir seorang ahli sihir yang terkenal.

Begitulah goyahnya iman manusia. Kerana wang ringgit, wanita, harta, pangkat dan rasa tidak puas hati, hasad dengki melihat kejayaan orang lain, manusia sanggup berbuat apa saja. Sanggup bersekongkol dengan iblis laknatullah asalkan nafsu serakah mereka dipenuhi.


Aku tak faham mengapa segelintir manusia, terutamanya orang Melayu terlalu taksub dengan perbuatan yang menyesatkan iman ini. Mengapa dikejar harta dan kesenangan duniawi sampai begitu sekali? Adakah dendam dan harta mampu membawa kebahagiaan abadi?

Demi Allah, sungguh menyedihkan apabila seorang manusia itu tidak lagi mengasihani seorang hamba Allah yang lain. Kerana busuknya hati, manusia sama sekali hilang kewarasan. Sampai ada kalanya mereka sanggup melihat orang itu menderita sehingga mati.

Berani sungguh mereka mengaku percaya pada Allah sedangkan mereka langsung tidak teragak-agak semasa melakukan penyiksaan pada orang lain. Apakah ertinya kita sebagai manusia beragama Islam sekiranya masih boleh tersenyum melihat penderitaan orang lain? Tidak takutkah kita pada pembalasan dari Allah?

Tapi aku sedar, lumrah manusia memang kurang percaya pada sesuatu yang tidak terbentang di depan mata. Kalau benar mereka takutkan Allah, tentu tidak berani sama sekali hendak mendatangkan derita dalam hidup orang lain. Apatah lagi bersekutu dengan jin dan syaitan.

Sebagai seorang hamba Allah yang kerdil dan masih banyak kelemahan dalam memenuhi tuntutan agama, aku tahu aku belum layak untuk menegur sesiapa. Tapi jauh di sudut hati aku ingin melihat umat Islam kembali ke jalan Allah.

Kalau tersasar jauh, baliklah kita semula ke pangkal jalan. Kalau ada yang belum dipenuhi, berusahalah untuk memenuhinya selagi masih ada nyawa. Jangan dibiarkan kebahagiaan dunia memesongkan akidah kita, kerana semua itu cuma keindahan sementara.


2 comments:

EzaJay said...

itu la yg terjadi pada ayahandaku yg telah pergi utk selamanya...
berserah saja pada yg Maha Esa...
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan aman di sana..amin....

Zaidah Sikun said...

Ya ke Eza? ~ Innalillah... Sedihnya bila perkara camni berlaku pd org yang kt sayang.
Smoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.