Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Tuesday, April 14, 2009

Satu lagi pagi yang indah


Selamat pagi.

Hari ini satu lagi hari baru untuk semua makhluk di bumi ini. Seawal jam 5 atau 6 pagi, kebanyakan di antara kita akan bangun memulakan hari masing-masing. Tak kira walaupun masih mengantuk, rutin harian tetap perlu dimulakan.

Selepas mandi dan bersolat, masing-masing akan bersiap menuju tempat kerja. Mereka yang sampai awal, mungkin akan ke kedai makan untuk mengalas perut. Bagi yang tinggal jauh dari tempat kerja, barangkali terpaksa bersarapan di dalam kereta. Atau mungkin lebih teruk lagi, terpaksa menunggu waktu makan tengahari untuk mengisi perut yang kosong.

Ibu-ibu, suri rumah tangga pula akan bangun awal menyiapkan anak-anak ke sekolah, memasak sarapan pagi dan memastikan pakaian suami sudah tersedia. Sesudah semuanya beres, tiba pula masa untuk mengemas rumah, menyapu sampah dan membasuh pakaian. Memasak untuk makan tengahari juga menjadi satu kemestian.

Menjelang petang, bas-bas dan LRT akan penuh sentiasa. Jalan raya menjadi sesak dengan kenderaan di sana-sini. Kebanyakan orang akan berjalan laju, mahu cepat sampai di rumah. Bagi yang berkereta, 5 minit sebelum tamat waktu bekerja sudah bersedia untuk keluar pintu pejabat. Tak sabar rasanya hendak berehat di rumah.

Sungguh memenatkan. Itulah kenyataan hidup manusia sehari-hari. Dalam kesibukan memenuhi rutin setiap hari, kita jarang terfikir untuk merehatkan fikiran. Apatah lagi memandang ke langit, memerhatikan burung-burung yang berterbangan dan awan yang berarak. Barangkali juga kita sebenarnya tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku di sekeliling disebabkan terlalu sibuk dengan urusan dunia.

Sesungguhnya alam yang diciptakan Allah ini begitu indah. Allah menciptakan alam ini dengan warna-warna dan ciri-ciri yang sungguh menenangkan. Oleh kerana itulah, setiap kali memandang pada birunya langit dan bersihnya awan hati kita akan berasa tenang. Memandang kehijauan pohon-pohon mendatangkan damai di hati.

Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang berusaha mensyukuri nikmat Allah?

Renunglah ke langit... tarik nafas sedalam-dalamnya dan lepaskan perlahan-lahan. Subhanallah... Maha suci Allah yang menganugerahkan begitu banyak nikmat di bumi ini. Kita patut rasa bahagia kerana berpeluang melihat langit yang biru, awan yang memutih, ombak di pantai, hujan yang membasahi bumi dan bintang-bintang yang bertaburan di waktu malam.

Sebagai hamba-Nya wajib kita bersyukur kerana dengan kasih sayang dan nikmat yang Allah berikan. Kerana dengan ehsan-Nya kita dapat menjalani hidup sehari-hari, memperoleh rezki dan kesejahteraan.

No comments: