Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast

Wednesday, December 30, 2009

Baby sitting dear Thaqif



Baru-baru ini aku balik ke kampung sekali lagi lepas sebulan sudah tak pulang menjenguk keluarga di Muar. Dengar kata kak itah sudah pulang ke pangkuan suami tersayang sesudah habis berpantang. Sangka aku tak dapatlah hendak melihat telatah Thaqif setiap hari.

Rupa-rupanya semasa sampai di rumah, kebetulan pula kak itah dan Thaqif balik menghabiskan hujung minggu di rumah emak. Jadi akhirnya masa aku di kampung lebih menjurus kepada aktiviti mengintai Thaqif di dalam buaian ataupun mengusik si kecil itu supaya tertawa dan 'bercakap'.

Memang seronok melihat gelagat Thaqif. Lebih lapang hati pula melihat tubuhnya sekarang lebih berisi dan kental. Bentuk mukanya lebih luas, bahkan pipinya juga kini lebih sesuai untuk dicubit kalau dibandingkan 3 bulan lalu.

Kalau kak itah sibuk atau ke sekolah, kami akan mengambil giliran menjaga Thaqif. Tapi bukanlah begitu sukar menjaganya kerana si kenit itu lebih banyak tidur di siang hari. Kalau terjaga sekalipun, Thaqif tidak banyak karenah.

Berikan saja minum susu atau periksa lampinnya, selepas selesa Thaqif akan ceria seperti biasa melainkan jika susu terlalu lambat diberikan.

Walaupun belum merasa pengalaman menjaga anak sendiri, menjaga anak kecil sebenarnya bukan perkara baru bagi aku. Semasa masih bersekolah, emak selalu juga menyerahkan tanggungjawab menjaga adik-adik kepada aku atau kakak.

Waktu itu aku bersekolah pada sesi petang, jadi pada sebelah pagi tugas aku ialah memasak nasi dan menjaga adik-adik yang masih kecil sementara emak dan abah pergi bekerja.

Tak banyak kenangan yang dapat aku ceritakan, tapi ketika itu Wanie (adik bongsu) dan Siha (adik ke-5) masih kecil. Urusan menukar lampin kain, membancuh susu dan mendodoikan adik memang sudah menjadi kebiasaan walaupun masa itu aku baru berumur 14 tahun.

Diam tak diam, sekarang adik-adik semua sudah pun meningkat dewasa. Begitu cepat masa berlalu, sejak 14 tahun lalu aku tak pernah langsung menjaga anak kecil. Tak hairanlah kalau aku terasa juga kekoknya semasa memegang Thaqif pada kali pertama.

Thursday, December 17, 2009

Pahit manis 2009



Salam Maal Hijrah 1431H. Maaf sebab mengambil masa agak lama hendak menulis 'entry' baru. Macam-macam perkara perlu aku uruskan pada masa ini, sementelah 'mood' menulis pula tak begitu ada.


Tahun 1431H sudah bermula, sekarang tinggal membilang hari saja menunggu tahun baru 2010. Begitu banyak dugaan telah dilalui sepanjang tahun. Kehilangan, untung rugi, menang kalah, sakit dan sembuh, kelahiran serta kematian - pelbagai ujian silih berganti menduga iman.

Mungkin ramai yang bersetuju kalau aku katakan 2009 membawa dugaan yang cukup hebat bagi kebanyakan kita. Tak perlu hendak disebut satu persatu. Cukup kalau kita sama-sama tahu. Banyak kepahitan yang terpaksa ditelan sementara menunggu tahun ini berakhir. Namun mungkin ada juga yang menganggap tahun 2009 sebagai biasa-biasa saja - terserah kepada persepsi masing-masing.

Di sebalik setiap dugaan yang tiada noktahnya, 2009 bagaimanapun tetap membawa kenangan manis dari sudut lain. Tahun ini kali pertama aku mengenali Facebook, maka secara tak langsung aktiviti pertemuan semula atau 'reunion' jadi semakin popular sepanjang tahun.

Memang seronok dapat bertemu semua dengan kawan-kawan lama dari sekolah menengah dan universiti. Begitu banyak perkara telah berubah, tapi yang lebih banyak berubah ialah diri aku sendiri. Pengalaman, persekitaran dan orang di sekeliling tanpa disedari telah mengubah aku menjadi individu yang kadang kala aku sendiri tidak kenal.

Orang kata itu tanda-tanda kematangan, apabila kita semakin kurang bergelak ketawa dengan hati yang penuh dan semakin serius menjalani hidup. Mungkin itu betul, namun pada kebanyakan masa aku cuba untuk sentiasa gembira dengan tak terlalu memikir tentang hal yang merunsingkan.

Ada kalanya tekanan memuncak sampai ke paras hidung hinggakan seolah sabar sudah hilang sama sekali. Allahu Akbar, kalau itu yang berlaku... tiada jalan lagi dapat merungkai tekanan melainkan dengan berwuduk, mendirikan solat, berzikir dan membaca al-Qur'an.

Demi Allah, hanya dengan beribadah serta menangis di hadapan Allah S.W.T... mampu memberi kita ketenangan juga kewarasan dalam membuat pertimbangan.

Beruntung atau tidak hidup diselubungi mendung hitam mahupun harta yang menggunung, cuma Allah yang Maha Mengetahui. Sebagai hamba Allah, kita hanya mampu berserah kepada yang Maha Esa.

"Kasihanilah aku Ya, Allah.. Tuhan pencipta sekalian alam." ~ ZaidahSikun

Wednesday, November 25, 2009

Nasi lemak memori daun pisang

Pagi esok aku perlu bersiap sedia untuk balik kampung menyambut Aidil Adha. Hati girang teringat anak saudaraku yang seorang itu. Mungkin sekarang dia sudah pandai mengukir senyum dan 'bercakap' apabila di agah.

Kali terakhir (yang juga merangkap kali pertama) melihat Thaqif, si kecil itu lebih banyak tidur. Sekali-sekala dia akan terjaga apabila terasa hendak menyusu ataupun tidak selesa disebabkan lampin basah. Itupun Thaqif membuka mata sekejap cuma - selepas itu dia akan tidur semula. Biasalah... rutin harian seorang bayi... Apa sangat hendak diharapkan.

Dalam membilang minit-minit terakhir sebelum balik kampung, tiba-tiba aku teringat janji sebelum ini hendak menyambung cerita tentang nasi lemak. Kalau ikutkan hati aku mahu terus tidur saja - mata sudah teramat layu disebabkan perut kenyang.

Namun begitu, tak mengapalah... Akan aku cuba bersengkang mata, memerah idea di dalam kepala untuk berkongsi cerita. Tak boleh asyik bertangguh sebab semasa di kampung, aku biasanya tak akan sama sekali menyentuh modem internet ataupun komputer riba. 100 peratus tumpuan hanya untuk bercuti.

---------------------------------------------

Berbalik kepada cerita tentang nasi lemak, sebenarnya kenangan berkaitan nasi lemak tak habis setakat semasa di bangku sekolah.

Antara yang paling tak dapat aku lupa ialah pengalaman sewaktu kali pertama menjadi penjual nasi lemak. Ketika itu aku masih menuntut di Matrikulasi UIA, Jalan Pantai Baru.

Sempena acara apa tak pula aku ingat, tapi pada masa itu setiap blok asrama diberi peluang untuk menyertai gerai menjual makanan selama sehari. Pelbagai menu ringkas ada kami jual dan menu utama pilihan kami (aku dan rakan-rakan serumah) ialah nasi lemak.

Oleh kerana kami tak dibenarkan memasak di asrama -berlebih lagi kami pun tak begitu pandai memasak, bekalan nasi lemak kami ambil dari ibu salah seorang 'junior'. Siap satu pakej dengan ikan bilis goreng, sambal, timun dan kacang goreng ditempah untuk gerai kami itu.

Pagi-pagi lagi ibu dan ayah 'junior' berkenaan bersusah payah datang ke asrama membawa periuk berisi nasi lemak yang kami tempah. Mujur juga ada 'junior' yang tinggal sekitar Kuala Lumpur, kalau tidak tak dapatlah kami berniaga nasi lemak hari itu.

Kerja-kerja membungkus kami lakukan sendiri sebaik saja bekalan diterima. Semuanya dilakukan di ruang tamu bilik. Seronok sangat rasa hati waktu itu. Aku tak nafikan, pengalaman semasa di matrikulasi memang lebih seronok berbanding sewaktu di kampus utama.

--------------------------------------------

Dari pagi hingga ke petang kami duduk di gerai menjual nasi lemak, ternyata sambutan yang diterima amat menggalakkan. Nasi lemak itu secara sambil lewa aku namakan "Nasi lemak Memori Daun Pisang" - mengambil sempena tajuk lagu dangdut nyanyian Amelina dan Iwan. Kebetulan nasi lemak yang kami jual memang dibungkus dengan daun pisang.

Disebabkan terlalu laku, sekejap saja sebungkus demi sebungkus nasi lemak terus dibeli orang. Paling lucu ialah apabila ada seorang penuntut lelaki yang sejak pagi memandang nasi lemak itu dari gerainya. Lama juga aku lihat dia semacam serba-salah hendak datang ke kedai kami. Mungkin dia segan kerana penjaga gerai kami semuanya perempuan.

Menjelang tengahari barulah dia berani datang ke gerai. Sayang sekali masa itu nasi lemak Memori Daun Pisang sudah pun habis dijual. Berlalulah dia pergi dengan senyuman malu-malu kucing. Kasihan pun ada juga... tapi apakan daya. Kami sendiri pun tak merasa.

Selamat menyambut Aidil Adha untuk semua. Ampun dan maaf dihulurkan bersama. ~ ZaidahSikun

Saturday, November 21, 2009

Susahnya menjaga hati orang lain


Siapa kata menjaga hati orang itu mudah? Menjaga hati sendiri pun rasanya teramat sukar, apatah lagi menjaga hati orang yang langsung jauh dari jangkaan kita. Kita cuma manusia biasa yang punya kelemahan - tak mampu hendak menjaga hati semua orang.

Semakin kuat kita cuba menjaga hati seseorang, semakin besar pula risiko untuk kita membuat orang itu terasa hati. Disebabkan terlalu ingin menjaga hati orang lain, ada ketikanya kita terpaksa menyakitkan hati sendiri.

Kebanyakan masa tak dapat hendak menyatakan kebenaran atau pandangan kerana bimbang ada insan yang akan terasa.


Hakikatnya ditakdirkan setiap manusia itu mempunyai jiwa dan pemikiran yang unik tersendiri. Bak kata orang, rambut sama hitam hati lain-lain. Perkara yang bagi kita cuma gurauan biasa, mungkin menyakitkan hati bagi sesetengah orang. Sebab itulah selalu kita diingatkan supaya berfikir dulu sebelum berkata-kata.

Tapi melakukannya tak semudah kita bercakap. Pendek kata kalau hendak berbuat baik terasa amat susah, sedangkan hendak membuat jahat itu sangat senang pula.

Kalau terkenangkan masa lalu, aku akui memang banyak perkara yang sampai hari ini jadi sesalan. Semasa remaja dulu, kadang kala aku bertindak melulu dan tanpa sengaja menyakitkan hati orang lain - berlebih lagi kalau pada masa itu aku dalam keadaan tertekan atau lapar.

Bukanlah langsung tiada sifat sabar, tetapi sebagai manusia biasa sabar yang aku miliki selalu ada batasnya (dan terhad?). Kalau keadaan melebihi kemampuan, cepat saja nada suara akan meninggi.

Kadang kala tak semena-mena tersebut sesuatu yang menyakitkan hati bagi sesetengah orang, walaupun sebenarnya sudah cuba sedaya mungkin untuk menjaga perasaan orang lain
.

Bagi mereka yang faham mungkin tidak menjadi hal. Bagi yang tak memahami, sudah tentu selepas itu tak mahu lagi bertegur sapa atau terus bermasam muka sampai bila-bila.

Apa yang tak menariknya ialah perkara-perkara sebegitu bagaikan di gam kuat dalam ingatan. Kebanyakan salah silap yang dulu masih menghantui diri sampai ke hari ini.

Agak susah untuk aku memaafkan diri sendiri terutama apabila mengingatkan yang aku seperti berhutang kemaafan dari orang-orang tertentu.


Bukan sombong tak mahu meminta maaf. Cuma ada kalanya mereka tetap enggan memaafkan sekali pun sudah berkali-kali maaf dipinta. Ada masanya aku pula tak berpeluang hendak meminta maaf kerana tak tahu di mana mereka berada.

Maafkan aku ye kawan-kawan? ~ ZaidahSikun

Thursday, November 12, 2009

Nasi lemak di hatiku

Dari dulu sampai sekarang, menu sarapan pagi kegemaran aku masih sama iaitu nasi lemak. Tak kira sama ada nasi lemak biasa ataupun nasi lemak dengan lauk tambahan, setiap kali bersarapan nasi lemak adalah pilihan pertama. Susah betul hendak memilih menu lain sekiranya nasi lemak ada dalam senarai.

Seingat aku kenangan pertama berkaitan nasi lemak berlaku ketika aku masih di sekolah rendah. Kalau ditanya pada umur berapa, rasanya tak dapat hendak aku sebutkan. Maklum saja, usia sekarang sudah masuk dekad ke 3, macam-macam cerita sudah tak lagi muat disumbat dalam fikiran.

Dulu sekiranya ada duit lebih, aku dan kawan-kawan mesti akan ke warung kopi yang terletak tak jauh dari sekolah. Kalau tak silap harga sebungkus nasi lemak cuma 50 sen.

Jika hendak dinilai dari paras rupa, memang tidaklah secantik mana. Nasi lemak kosong saja tanpa telur, ikan bilis atau lauk tambahan, kemudian dibungkus dengan plastik pembungkus air.


Tapi keenakan nasi lemak yang dijual tak dapat hendak diluah dengan kata-kata. Memang enak... dengan sambal yang cukup rasa pedasnya dan nasi yang lemak secukup rasa. Tak mampu hendak dilupakan sampai ke hari ini.

Memandangkan aku masih kecil ketika itu, wajah makcik atau pakcik penjual nasi lemak tak melekat langsung dalam kepala. Apa yang lebih segar dalam fikiran cuma nasi lemak yang enak itu saja - tidak termasuk tukang masaknya.

Masih teringat lagi bagaimana perasaannya ketika melihat pakcik kedai membungkus nasi lemak. Sambil menonton gerak-gerinya dari tepi tingkap, aku menelan air liur dek kerana tak tahan menghidu aroma nasi lemak panas yang menawan kalbu. Ditambah pula waktu itu perut sudah ligat berkeroncong.

Rata-rata di antara kami - kanak-kanak yang membeli nasi lemak dalam plastik, menikmati nasi lemak dengan cara tersendiri. Tak perlu sudu garfu. Cuma gigit saja bahagian hujung bawah plastik, selepas itu makan dari bahagian bawah yang telah bocor itu. Ataupun makan terus dari plastik pembungkus tanpa sudu.

Kalau diingat-ingat kembali, cara makan yang sebegitu memang agak pelik dan tak pernah dibuat orang. Tapi faham-faham saja, waktu itu aku masih kanak-kanak. Buat apa pun jarang hendak berfikir dua kali.

Bagaimana pun, itu cuma kenangan lalu. Sekarang ini walaupun warung kopi itu masih wujud, aku tak pernah ke situ lagi. Kalau ada sekalipun mereka menjual nasi lemak, mungkin rasanya sudah tidak sama.

Kadang-kadang rindu juga hendak menikmati nasi lemak yang betul-betul sedap seperti waktu dulu. Tapi malang sekali hendak aku katakan, di Kuala Lumpur agak susah mencari nasi lemak yang menepati cita rasa. Letaklah nama kedai dengan pangkal perkataan "Nasi Lemak" sekalipun kadang kala rasa masakannya tetap tidak mampu memuaskan hati.

Penat aku menjelajah ke seluruh kawasan di serata bandaraya Kuala Lumpur, akhirnya bertemu juga nasi lemak yang hampir-hampir menepati piawaian. Cuma di pasar malam atau di kedai biasa saja tetapi rasa masakannya tidak mengecewakan. Kalau teringin hendak menikmati nasi lemak, ke situlah tempat yang akan aku tuju.

Kita sambung cerita dalam entry akan datang ~ ZaidahSikun

Wednesday, November 4, 2009

Talk about love

Kadang kala aku terfikir... bertuahnya menjadi orang yang dapat mengahwini insan yang dicintainya. Lihat saja Waheeda dan Akhil Hayy. Walaupun sampai sekarang masih dibelenggu kontroversi kisah cinta mereka, paling tidak mereka berhasil juga menyatu hidup bersama.

Tetapi dari sudut lain aku terfikir, berbaloikah kita mengejar cinta yang dalam masa sama menyebabkan lebih ramai lagi terkecewa? Entahlah.. soal jodoh semuanya ditentukan Allah. Kalau sudah jodoh, ke mana sekalipun kita cuba melarikan diri cinta tetap akan datang.

Selalu orang berkata bahawa cinta kepada manusia itu bukan segalanya. Namun apabila cinta datang juga tanpa dipelawa, terpaksa aku menampung berat rasa itu di dalam hati. Pedihnya menanggung cinta cuma Allah yang tahu. Setiap hari hati terasa bagai diseru-seru. Tak cukup di dunia nyata, rindu datang pula mengganggu di dalam mimpi.

Tatkala memandang orang yang dicintai, hati pula mengada-ngada hendak berdebar. Lutut menggeletar membuat diri rasa seperti hendak tumbang apabila bertembung atau ditegur si dia. Amboi... indahnya rasa semasa mula-mula dilamun cinta.

Begitupun bab yang menyeksa jiwa datang pada kemudian hari apabila cinta tidak kesampaian. Pelupuk mata setiap hari dibanjiri air mata. Hendak dibuang rasa cinta dan rindu, tapi rasa yang sudah bercambah di dalam hati tetap degil tidak mahu pergi. Adakah kerana jodoh, ataupun kerana hati berkeras tak mahu melupakan?

Pada waktu begini aku rasakan hidup tak ubah seperti jalan cerita di dalam sebuah novel cinta. Untungnya cinta di dalam novel tidak begitu sukar hendak dijelaskan. Terpulang pada penulis untuk mencorak jalan cerita - siapa yang perlu dipilih... jejaka mana yang perlu kecewa... akhirnya bahagia atau sengsara.

Sedang realiti hidup pula tidak semudah itu. Membuat satu keputusan yang dianggap remeh, terasa bagaikan beban seberat gunung menyeksa fikiran. Seksanya menafikan cinta yang setiap hari membakar jiwa.

Ada sesetengah orang yang dianugerahkan cinta selepas berkahwin, jalan cerita cinta yang mudah dan tidak pula beronak berliku untuk sampai ke jinjang pelamin. Namun rezeki setiap orang itu berbeza-beza.

Ada yang lambat bertemu jodoh atau tidak berkahwin sama sekali. Ada yang bercinta berkali-kali dan ada juga yang tidak pernah langsung merasai cinta. Semuanya sudah ditentukan Allah.

Aku cuma berdoa agar ada pengakhiran yang baik untuk setiap rasa cinta dan kepedihan yang diberikan Allah kepada aku.

I can't get you out of my head ~ ZaidahSikun

Wednesday, October 21, 2009

Rumah Baru Kakak


Masa berlalu dengan begitu cepat. Diam tak diam sudah masuk Oktober 2009 - sikit saja lagi akan masuk tahun 2010. Kalau ada rezeki, berkemungkinan tahun ini tahun terakhir aku dan Kak Na (kakak kedua) tinggal di Taman Melati.

Tahun depan dengan izin Allah, kami akan mulakan pengalaman baru di rumah baru, di kawasan baru walaupun tidaklah begitu jauh dengan rumah sewa sekarang.


Kebetulan rumah yang dibeli Kak Na sudah pun siap dan boleh diduduki tak lama lagi. Jadi sebetulnya kami sekadar menunggu proses ubahsuai dapur serta pemasangan pagar rumah saja pada masa ini.

Sebelum boleh diduduki, kami sempat meninjau rumah apartment Kak Na yang terletak di Selayang untuk memeriksa keadaan rumah, pendawaian elektrik dan lain-lain . Siap kami bawa bersama seorang 'wireman' dan pemeriksa tak bergaji - adik sendiri iaitu Nuar dan Alil.

Kasihan Nuar tidak begitu sihat hari itu. Hidung tersumbat dan berair sentiasa dek kerana selesema. Tapi digagahi juga datang dari Klang untuk memberi sokongan moral kepada kakak kedua yang hendak masuk rumah baru. Alil pula masih sempat lagi bergegas dari tempat kerja, semata-mata hendak melihat rumah Kak Na yang sudah siap.

Tak dinafikan banyak urusan yang perlu diselesaikan sebelum dapat masuk rumah - perlu mencari tukang rumah untuk memasang jubin dan menambah kabinet dapur. Jika ditambah dengan tempoh masa ubahsuai, memasang lampu, mencuci rumah, mengisi perabot dan memindah masuk barang, rasanya awal tahun depan baru dapat kami pindah masuk.

Selepas membuat laporan bahagian mana yang perlu diperbaiki, hari itu akhirnya Kak Na merasa juga memegang kunci rumah sendiri buat kali pertama. Bergugus-gugus jumlahnya hinggakan berat kocek hendak membawanya balik.

Balik dari melihat rumah, kami sempat lagi singgah ke rumah terbuka Hari Raya salah seorang teman baik Kak Na. Dapatlah kami mengalas perut serta membasah tekak yang kering sebab banyak bercakap dengan pengurus bangunan dan kontraktor.

Wednesday, October 7, 2009

Berkat Aidilfitri

Lama rasanya tak menulis di sini. Hajat di hati memang hendak mencoret sepatah dua kata minggu lepas. Tapi apakan daya... naik saja dari cuti hari raya aku demam selesema -terpaksalah berehat selama beberapa hari di rumah.


Untuk badan pulih semula mengambil masa seminggu. Itu pun selesema masih belum mahu pergi sepenuhnya. Daya tumpuan pula belum pulih 100 peratus, menyukarkan aku untuk ke mana-mana atau melakukan sebarang pekerjaan yang memerlukan ketelitian.

Walau bagaimanapun aku bersyukur kerana cuma demam biasa dan bukan terkena virus Influenza A (H1N1). Mungkin rutin yang memenatkan sepanjang seminggu beraya di kampung membuat aku lupa hendak menjaga kesihatan diri.

Makan apa saja yang terhidang di depan mata, waktu makan tak teratur dan yang penting, keletihan mungkin menjadi sebab aku jatuh sakit. Ditambah pula salah seorang daripada adikku juga tidak sihat beberapa hari sebelum pulang ke universiti kerana demam selesema dan batuk.

Mujur aku cuma demam selesema saja tanpa batuk-batuk. Kalau tidak, entah berapa hari lagi perlu aku terperuk di rumah.

Dalam kesibukan pelbagai acara sepanjang Aidilfitri, Syawal tahun ini tambah bermakna apabila Kak Itah (kakak sulung ku) selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki pada hari raya yang ke-10.

Memandangkan ini merupakan kali pertama kami melalui pengalaman menanti kelahiran, rasa cemas serta teruja sememangnya tak dapat dielakkan.


Hendak dijadikan cerita, bayi dalam kandungan pula bagaikan belum puas 'bermanja' dalam perut ibunya. Walaupun sudah hampir tiba hari dijangka bersalin, masih tidak ada tanda-tanda hendak melahirkan.

Setiap kali datang menjenguk kak itah, soalan yang sama akan kami tanyakan - "sudah ada rasa hendak bersalin?" Tapi jawapannya tetap negatif.

Sebab cuti sudah habis, kami adik-beradik tak dapat menunggu sehingga kak Itah selamat melahirkan. Namun setiap hari masing-masing akan bertanya khabarnya yang terpaksa menghabiskan masa di wad selama beberapa hari sebelum bersalin kerana masalah darah tinggi.

Pada hari Selasa, 29 September 2009 akhirnya bayi lelaki yang kami nanti-nantikan selamat lahir ke dunia pada jam 6.50 petang. Kalau tidak silap, beratnya sekitar 2.7 kg semasa dilahirkan. Nama yang diberi oleh ibu dan ayah ialah Muhammad Thaqif Muzakkir B. Mohammad Toyyib.

Buat masa ini terpaksalah berpuas hati dengan setakat melihat gambar anak saudara kesayangan kami itu melalui mms dahulu. Memang hajat di hati hendak segera balik menjenguk Kak Itah dan bayinya, tetapi perlu juga menunggu cuti yang sesuai untuk pulang ke kampung.

Tak sabar rasanya hendak mencubit pipi gebu 'budak kenit' itu.


Semoga baby Thaqif membesar menjadi anak yang soleh. Aamiin.. ~ ZaidahSikun

Wednesday, September 2, 2009

Hikayat Telekung Pertama

Setiap kali memandang telekung yang ku pakai untuk mengerjakan solat, selalu aku teringatkan emak di kampung. Apa agaknya yang sedang emak lakukan pada ketika ini ya?

Terkenang pula aku pada telekung pertama yang dibuat emak semasa aku diterima masuk ke sekolah berasrama dulu. Waktu itu aku masih muda remaja - baru saja mencecah usia 16 tahun.

Berbanding membelinya di kedai, emak dengan ikhlas hati menjahitkan untuk aku telekung baru yang sangat ringkas rupanya. Tidak ada renda-renda mahupun sulaman corak bunga, sebaliknya cuma kain putih yang dijahit mengikut bentuk telekung dengan pengikat di bahagian kepala.

Telekung itulah saksi amal ibadah ku kepada Allah semasa dulu. Aku teramat sayangkan telekung itu meskipun rupanya tidak secantik telekung teman-teman lain. Ke sana-sini akan ku bawa telekung itu bersama, bahkan masih terus menggunakannya semasa aku menyambung pelajaran di universiti.

Bukanlah sebab aku terlalu lokek hendak membeli kain sembahyang atau telekung yang lebih cantik. Aku cuma sudah selesa menggunakan telekung yang satu itu. Dalam fikiran pun tak pernah terlintas hendak menggantikannya dengan telekung baru.

Sehinggalah pada suatu ketika, sewaktu menghadiri majlis konvokesyen kakak keduaku tiba-tiba emak menyebut tentang kain telekung itu. Kata emak, telekung yang ku pakai sudah buruk dan bertahi lalat. Malah sudah semakin senteng dipakai kerana terlalu lama usianya.

Emak lalu membelikan aku sepasang kain telekung baru di bazaar sekitar konvokesyen. Lebih elok rupanya berbanding telekung yang pertama.

Itulah kali pertama aku menggunakan telekung lain sejak hampir 6 tahun setia bersama telekung pertama. Selepas diberi telekung baru, telekung yang lama aku berikan pada adik untuk dia belajar bersolat.

Mungkin sekarang ini telekung itu sudah tidak ada khabarnya lagi. Tapi ada masanya aku akan teringat kepada kain telekung ku itu kerana ia menyimpan begitu banyak kenangan suka duka semasa jauh dari keluarga dulu.

Sehingga kini aku masih memakai telekung kedua yang diberikan emak untuk aku. Seperti semasa dengan telekung pertama, tahun demi tahun terus berlalu. Tetapi aku masih belum juga bersedia hendak menggantinya dengan telekung baru - walaupun pernah dihadiahkan sepasang telekung oleh seorang teman.

Aku masih terus setia menggunakan telekung kedua yang diberi emak sampai ke hari ini. Masih juga aku menghamparkan sejadah lusuh yang sama sejak 15 tahun dulu ketika bersolat.

"Sujudku, ibadahku hanya kepada Allah yang Maha Esa" ~ ZaidahSikun


Wednesday, August 26, 2009

Maha Suci Allah...

Hari ini sudah masuk hari ke-6 umat Islam menjalani ibadah puasa. Syukur alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan aku untuk menyempurnakan puasa.

Berbanding tahun lepas, rasanya aku lebih segar kali ini. Tidak terlalu letih walaupun setelah berjam-jam menahan lapar dan dahaga. Malahan aku masih boleh berjalan jauh dengan senyuman tak lekang di bibir.

Subhanallah... Maha suci Allah yang telah memberikan aku kekuatan.


Setakat hari ini sudah 2 kali aku berbuka di luar. Itupun kerana diajak orang lain. Kalau diikutkan, aku lebih selesa berbuka puasa di rumah. Tak larat sebenarnya hendak berasak-asak di tempat awam yang selalunya tentu dikerumuni ramai orang.

Dalam bulan Ramadan, sudah menjadi kelaziman restoran atau pusat membeli-belah akan dipenuhi pengunjung - terutama menjelang waktu berbuka puasa.


Lebih kurang setengah jam sebelum waktu berbuka
, kita terpaksa bergegas ke restoran untuk mengambil tempat. Malah kalau mahukan tempat duduk yang selesa, terpaksalah datang 1 jam lebih awal. Kalau tidak, memang berputih mata jawabnya.

Selepas makan, masing-masing akan kelam-kabut ke surau pula untuk mengerjakan solat maghrib. Masa itulah timbul masalah tak cukup kain sembahyang dan surau terlalu padat dengan pengunjung.

Sebab itu aku lebih suka berbuka di rumah. Kalau terpaksa berbuka di luar, aku akan berbuka ala kadar dengan sebotol air minum dahulu, kemudian terus menunaikan solat maghrib.

Selepas selesai bersolat, barulah aku berbuka puasa dengan makanan yang lebih mengenyangkan.
Jadi tak perlu berebut-rebut dengan orang lain sama ada di tempat makan atau di surau.


"Ramadan membawa 1001 makna yang tak dapat diungkai dengan kata-kata" ~ ZaidahSikun

Saturday, August 22, 2009

Selamat Datang Ramadan

Tepat jam 7.23 malam, dengan izin Allah selamat sudah hari pertama aku berpuasa. Hari ini aku berbuka puasa seadanya saja - tiada hidangan mewah ataupun juadah dari pasar Ramadan. Cukup sekadar dengan buah tamar, air untuk membasah tekak, nasi beserta dua lauk yang sederhana.

Walaupun Kuala Lumpur meriah dengan bazaar Ramadan setiap tahun, tapi rasanya nafsu untuk aku membeli juadah berbuka puasa sudah lama malap. Sudah menjadi kelaziman aku lebih gemar berbuka puasa dengan juadah yang dimasak di rumah. Tak kira walaupun cuma nasi berlaukkan ikan masin, bagi aku itu sudah memadai.

Teringat semasa arwah abah masih ada, abah paling gemar berbuka puasa dengan buah tamar (kurma). Hari pertama berpuasa, abah akan membeli buah tamar untuk kami sekeluarga. Pendek kata, buah tamar mesti ada di atas meja untuk berbuka puasa.

Ketika Ramadan, kami sekeluarga biasa berbuka secara sederhana. Nasi dan lauk-pauk disediakan setakat apa yang termampu. Paling penting ialah makanan kegemaran kami - jemput-jemput (cucur) ikan bilis cicah sambal merah. Pasti membuat kami 8 beradik berebut-rebut ketika makan.

Entah di mana istimewanya juadah itu aku pun tak pasti, tapi yang penting itulah makanan kegemaran aku setiap kali berbuka puasa di kampung. Lumrah kalau makan beramai-ramai, walau makanan biasa saja pun boleh jadi sedap yang teramat.

Kalau teringin ke bazaar Ramadan membeli makanan, selalunya aku akan ke Taman Melawati ataupun Wangsa Maju. Tidak ada sebab yang khusus, tapi aku lebih suka ke situ kerana kedudukannya yang tak jauh dari rumah.

Tambahan pula rata-rata juadah yang dijual jarang ada yang tidak sedap. Mungkin kerana kebanyakan penjual di situ sudah biasa berniaga makanan di pasar malam.
Gerai menjual makanan berderet-deret, saujana mata memandang.

Pelbagai menu ada dijual, memang rambang mata dibuatnya
. Bau makanan amat menduga iman ketika berpuasa. Silap haribulan habis wang di dalam dompet kerana memborong juadah untuk berbuka.

Begitupun, juadah yang aku beli tetap sama saja setiap kali. Air kacang soya atau air tebu. Ayam percik, murtabak atau mungkin kuih-muih tertentu - bergantung pada keinginan masa itu.


Lazimnya aku cuma singgah di beberapa buah kedai, kemudian membeli juadah yang diinginkan.
Tak kuasa hendak membuat lawatan 'mencuci mata' dari kedai ke kedai.

"Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua. Semoga ibadah kita diterima Allah hendaknya." ~ ZaidahSikun


Sunday, August 16, 2009

Selesema Babi setahun lagi?

(gambar sekadar hiasan)

Kira-kira 3 bulan lalu aku pernah menulis tentang influenza A (H1N1). Waktu itu perkembangan jangkitan di Malaysia masih di peringkat awal. Cuma terdapat kes-kes import, belum ada sebarang kes tempatan, apatah lagi kes yang melibatkan kematian.


Tetapi akhir-akhir ini apabila aku membaca surat khabar, jumlah keseluruhan kes H1N1 semakin mencanak naik mengalahkan cendawan tumbuh selepas hujan.
Setakat jam 9.00 pagi tadi saja seramai 213 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad. 33 lagi dirawat di ICU.

Apabila keluar dari rumah, di dalam LRT atau di jalan raya aku lihat semakin ramai orang memakai topeng (surgical mask).
Tidak kira sama ada pejalan kaki, pengguna LRT, pemandu jentera berat, penjual makanan, pekerja bank, pelajar universiti, mahupun murid-murid sekolah.

Ramai yang mula prihatin tentang kepentingan memakai topeng. Pemandu bas pun tak ketinggalan - hanya nampak sepasang mata saja ketika memandu.


Setiap kali melihat semakin ramai orang memakai topeng sepanjang masa di dalam LRT, aku terasa seolah-olah udara semakin menyesakkan. Tanpa disedari aku selalu saja menahan diri dari bernafas. Risau tak semena-mena sebaik saja melihat orang lain memakai topeng.

Ada masanya aku akan menutup hidung dengan tudung yang ku pakai. Keluar saja dari LRT atau bas, secepat kilat terus mencapai 'instant hand sanitizer' di dalam beg - basuh tangan lebih 10 kali sehari. Langkah seterusnya, mungkin terpaksa pula aku memakai mask kalau hendak ke destinasi yang lebih jauh dan sesak.

Ya Allah, bukan mereka saja yang panik malah aku pun ikut begitu juga.


Sejak kes pertama Influenza A (H1N1) dilaporkan di Malaysia, aku sudah mengagak keadaan begini akan berlaku kalau langkah pencegahan awal tak dilaksanakan secara serius.

Bak kata orang, kalau musuh dalam jumlah kecil senang juga hendak dihapuskan. Tapi kalau sudah berpuluh-puluh, beratus-ratus ribu jumlahnya (lagi-lagi dalam bentuk virus) - tentu mustahil mahu dicegah dalam jangka masa singkat.


Jika diperhatikan ramai di antara kita tidak tahu banyak tentang virus yang sedang popular ini. Kita kurang faham dengan apa yang sewajarnya dilakukan di peringkat persediaan ketahanan badan dan pencegahan hingga akhirnya ramai yang menjadi korban.

Ditambah pula dengan kerajaan yang seolah-olah sudah kebuntuan mencari jalan keluar, sedikit pun tidak dapat mempersiapkan rakyat untuk berdepan dengan virus
pandemik ini.

Meskipun begitu tetap harus diingat, sikap terburu-buru ke hospital untuk melakukan ujian pengesahan jangkitan Influenza A (H1N1) bukanlah langkah yang paling bijak.


Dalam keadaan sekarang, hospital secara tidak langsung mampu menjadi induk kepada penyebaran virus memandangkan di situlah tempat pesakit-pesakit Influenza A (H1n1) dikuarantin. Di situ juga tempat berkumpulnya ramai individu yang mungkin telah dijangkiti.


Jadi sekiranya mengalami demam yang tak begitu serius, lebih baik jika menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik swasta saja. Berehat di rumah sampai sihat sepenuhnya juga adalah alternatif yang terbaik.

Berlebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan, ibu-ibu mengandung serta kanak-kanak - kurangkan aktiviti di luar rumah kerana ia boleh mendedahkan diri kepada pelbagai virus yang memudaratkan seperti H1N1.


---------------------------

Sekuat manapun kita cuba menafikan, hakikatnya keadaan sekarang semakin menghampiri darurat. Semua orang hanya mampu bertahan sementara menunggu vaksin.

Kerajaan pula telah mengumumkan keadaan sekarang mungkin akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya 6 bulan hingga setahun lagi. Dalam pada itu, dianggarkan 5 juta orang atau 20 peratus lagi
rakyat negara ini berisiko dijangkiti sekiranya pencegahan gagal dilaksanakan secara menyeluruh. Jadi bagaimanakah agaknya nasib kita selepas ini?

Influenza A (H1N1) sememangnya amat menakutkan bagi kebanyakan kita, tak ketinggalan aku sendiri. Ia merupakan virus yang masih baru, gabungan di antara genetik virus influenza babi, burung dan manusia, tiada vaksin dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitannya.
Seolahnya jentera pembunuh yang dikerah setiap hari untuk mencari mangsa.

Ada desas-desus mengatakan bahawa virus ini lahir di makmal dan merupakan konspirasi kapitalis yang ingin mengaut keuntungan - dilakukan dengan cara mengurangkan jumlah penduduk dunia dan mengawal genetik.*

Ringkasnya, kita telah diserang oleh keganasan biologi
(bioterrorism). Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap kita dengan melepaskan virus, bertujuan untuk mengurangkan penduduk dunia serta menjual ubatan demi keuntungan.*

Teori itu masuk akal juga kalau difikir-fikirkan. Ini kerana Influenza A (H1N1) tidak sama dengan selesema babi biasa. Lagipun, adakah pencampuran genetik virus influenza babi, burung dan manusia begitu mudah berlaku secara semula jadi tanpa bantuan makmal?


Tidak kira sama ada teori itu benar atau tidak, hakikatnya apa yang mampu kita lakukan sekarang hanyalah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah.


Kerana setiap sesuatu itu tak akan berlaku tanpa izin Allah.
Malah sehebat manapun kekuatan manusia dan jenteranya, tetap tidak ada yang dapat menandingi kehebatan Allah S.W.T.

"Hanya kepada Allah kita memohon perlindungan" ~ Zaidah Sikun

* Rujukan: http://www.malaysiakini.com/news/110426 - "H1N1 konspirasi kapitalis buat duit - Hishamuddin Rais"

Saturday, August 8, 2009

Jerebu oh jerebu..

Sesekali berada di luar rumah, terasa juga sesaknya nafas akibat asap dan jerebu tebal. Serta-merta kepala turut merasa sakit disebabkan fungsi pernafasan yang tidak begitu lancar.

Disebabkan itu terpaksalah aku berkubu di dalam rumah untuk beberapa hari. Itu pun tak dapat hendak membuka tingkap atau pintu sentiasa kerana perlu mengelak udara tidak sihat menerobos masuk.


Kalau diikutkan di dalam fikiran sudah aku tetapkan untuk berjoging dua kali setiap minggu. Tetapi minggu ini nampaknya apa yang dirancang terpaksa ditangguh lagi. Cuaca agak teruk, udara pula tidak sihat... teramat tidak sesuai untuk aku keluar beriadah.

Antara sedar atau tidak, hakikatnya Kuala Lumpur sudah tidak lagi aman seperti dulu.

Mungkin 10 tahun dulu bandaraya besar ini memang telah sedia ada kaya dengan jalan-jalan sesak, kawasan perumahan, bangunan pencakar langit dan puluhan ribu kenderaan. Tetapi keadaan hari ini ternyata lebih buruk dari hanya sekadar pembangunan pesat.


Pembangunan tidak dapat dielakkan, tetapi perlukah kita menghirup jerebu setiap hari atau memakai topeng pernafasan sepanjang masa demi pembangunan?

Itu persoalan yang selalu bermain di fikiran 'golongan biasa-biasa' seperti aku. Kuala Lumpur sememangnya syurga membeli-belah - macam-macam ada jika dibandingkan kawasan kampung atau bandar-bandar kecil. Tetapi apabila dipandang dari sudut lain pula, bandaraya ini sebenarnya miskin dengan keindahan alam semula jadi.

Jarang sekali dapat melihat bintang-bintang di langit pada malam hari di Kuala Lumpur. Langit bagaikan kosong sepanjang malam. Yang dapat aku lihat lazimnya hanyalah sinaran cahaya dari lampu-lampu tepi jalan dan bangunan-bangunan. Sedihnya menjadi aku pada ketika ini.

Ketika berada di pekan Sauk, Kuala Kangsar bulan lalu, aku dapat merasakan 'kemewahan' yang tiada ternilai di pekan kecil itu. Jauh dari pembangunan pesat, keadaan di situ masih lagi ala-ala pekan koboi. Hanya terdapat beberapa deretan kedai, masjid, pejabat pos, klinik kesihatan dan sebuah balai polis. Rata-rata penduduk hidup bersederhana saja.

Walaupun tiada bangunan pencakar langit, aku tetap seronok setiap kali dapat melihat air sungai jernih mengalir serta pohon-pohon hijau yang tinggi merendang. Jalan raya di kawasan itu juga tidak sibuk, malah kebiasaannya lengang terutama selepas lebuhraya berdekatan siap dibina.

Sebelum ini tak pernah langsung terlintas di fikiran aku untuk bermastautin di kawasan kampung. Tetapi kebelakangan ini hati makin kuat mendesak untuk tinggal jauh dari kesibukan dan pencemaran di kota.

Sayangnya masih terlalu banyak perkara lain yang terpaksa didahulukan sebelum dapat berpindah ke kampung. Terpaksalah bersabar dulu dengan apa yang ada sekarang.

Apakan daya... ~ ZaidahSikun

Sunday, August 2, 2009

LBP after my 31st birthday

Sebagai manusia biasa kita tidak mempunyai kuasa untuk kekal sihat selama-lamanya. Hari ini kita mungkin mampu berlari laju dan bergelak ketawa, tetapi apa yang tersurat pada masa depan tak dapat hendak kita ramalkan. Kita mungkin jatuh sakit pada bila-bila masa.

Ya, sememangnya menghargai kesihatan itu sangat penting. Akan tetapi kebelakangan ini aku mula sedar bahawa menghargai saja sebenarnya masih belum cukup.

Tak cukup dengan sekadar menjaga pemakanan, tidak merokok dan tidak mengambil minuman beralkohol. Menghargai kesihatan diri juga bermakna kita perlu menguruskan tekanan dengan baik, menjalani kehidupan sosial yang sihat dan yang penting sekali kita perlu bersenam.

Segalanya bermula sejak sebulan yang lalu. Beberapa minggu sebelum menerima berita sedih tentang kematian bapa saudara, aku tiba-tiba mengalami sakit pinggang yang agak teruk. Setiap kali bangun dari tidur, bahagian pinggang akan berasa sakit hingga menyukarkan aku untuk mengambil wuduk dan bersolat.

Dalam menahan sakit, aku gagahkan juga untuk menjalani rutin harian seperti biasa. Ketika menghadiri kenduri arwah pun, sakit pada pinggang masih terasa. Seksa sungguh rasanya apabila terpaksa membongkok semasa membantu mengangkat hidangan dan pinggan mangkuk.

Walaupun pada masa ini kesakitan yang ditanggung sudah berkurang, aku dapat merasakan bahawa kebelakangan ini tahap kecergasan dan kesihatan aku tidak seperti biasa. Mungkin disebabkan oleh faktor peningkatan usia, angin dalam badan ataupun mungkin kerana sekarang aku sudah tidak seaktif dulu.

Baru-baru ini seorang teman mengadu mengalami sakit pinggang yang agak serius. Selain itu ramai juga yang mengaku sakit-sakit pada bahagian pinggang.

Mungkinkah kerana kedudukan badan yang tidak betul semasa duduk menghadap komputer di tempat kerja ataupun kerana masalah tekanan yang melampau?

Jawapannya cuma ada pada seorang doktor. Aku bagaimanapun masih belum membuat pemeriksaan di mana-mana pusat perubatan. Buat masa ini aku lebih senang mengambil ubat penahan sakit apabila kesakitan agak serius, membuat senaman khusus untuk kesihatan pinggang, selain berjoging ke taman permainan apabila ada masa.

Berjoging setelah hampir 2 tahun tidak berbuat demikian memang agak sukar pada mulanya. Terasa badan agak berat dan lutut terasa sakit, membuat aku tak dapat berjoging lama. Kalau dulu aku dapat berjoging tanpa sebarang masalah, sekarang sudah terasa tua sebelum waktunya - pinggang dan sendi-sendi sakit semua.

Begitupun, bersenam sememangnya memberi manfaat kepada tubuh badan. Selepas 1 jam aku melakukan senaman dan berjoging, badan terasa lebih ringan. Sakit pada pinggang berkurangan, malah pernafasan juga terasa lebih lancar. Syukur alhamdulillah, semuanya berlaku dengan izin Allah.

Mungkin apa yang aku lalui tak sama dengan apa yang dilalui oleh teman-teman lain. Tetapi hakikatnya bersenam itu sangat penting untuk kesihatan badan dalam jangka masa panjang. Jadi bersenamlah dari sekarang, terutama apabila kita mula merasakan perubahan pada kecergasan diri.

Don't let age consume your health ~ ZaidahSikun

Tuesday, July 28, 2009

A day to remember : SMVPJB 94/95 reunion


3 hari lepas, sepertimana yang dirancang semenjak berbulan-bulan lalu, majlis jejak kasih bekas pelajar SMVPJB sesi 94/95 akhirnya terlaksana.

Jujurnya fikiran aku beberapa hari sebelum majlis agak bercelaru. Banyak perkara berlaku sepanjang bulan ini, membuat aku kurang semangat hendak datang ke majlis itu. Masalah datang satu persatu... kadang-kadang terasa seperti tak tertanggung.

Tapi apabila memikirkan tentang kawan-kawan lama yang sudah lama tak berjumpa, aku membulatkan tekad untuk hadir. Lagipun peluang seperti ini tak datang selalu. Mungkin inilah kesempatan untuk aku gembira semula.

Semasa sampai di majlis, aku berasa agak janggal. Susah juga rupanya hendak memulakan perbualan dengan teman yang sudah lama tidak berjumpa. Begitupun kerancakan sembang mula terasa apabila seorang demi seorang teman muncul bertegur sapa sambil tersenyum manis.

Tak dapat digambarkan dengan kata-kata suasana ketika itu. Lebih 10 tahun tak berjumpa, kebanyakan di antara mereka sudah banyak berubah.

Kebanyakannya sudah berkeluarga, mempunyai kerjaya masing-masing dan menetap di merata tempat berbeza. Ada yang sanggup datang dari jauh, membuat hati rasa amat tersentuh.

Walaupun bufet telah sedia untuk dinikmati, rata-rata di antara kami sebenarnya lebih banyak bersembang sesama sendiri dan merakamkan gambar kenangan.

Suasana waktu itu cukup meriah... kedengaran gelak tawa di sana-sini. Terlalu banyak perkara yang hendak ditanyakan. Masing-masing rancak bersembang hingga langsung tidak mempedulikan pelayan-pelayan restoran dan mata-mata yang memandang.


Selepas sesi bertukar cerita mulai reda, teman-teman penganjur lalu memulakan sesi kuiz dan cabutan bertuah untuk memeriahkan majlis. Hadiah-hadiah semuanya ditaja oleh kami sendiri, namun tetap meriah kerana ramai yang begitu 'sporting' untuk menjawab soalan.

Setiap yang hadir membawa pulang sekurang-kurang 2 hadiah, iaitu hadiah cabutan bertuah dan juga cenderahati istimewa dari teman-teman yang bermurah hati menaja.

Kalau hendak diikutkan, majlis sebenarnya berakhir sekitar 4.30 petang. Begitupun, ramai yang masih rancak bersembang sehingga lewat petang. Aku pula membuat keputusan untuk beredar pada jam 5.45.

Rasanya tak keterlaluan kalau aku andaikan, ramai di antara kami pulang dengan senyuman petang itu. Masih ramai lagi bekas pelajar SMVPJ sesi 1994/95 yang tak dapat ditemukan, namun kehadiran hampir 30 orang pun sudah cukup melebihi jangkaan.

Bagi aku sendiri meskipun agak keletihan, hati tetap gembira kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama. Terasa seperti balik ke zaman sekolah pula... sewaktu masing-masing berusia 17 tahun. Tak sabar rasanya menunggu 'reunion' seterusnya. Bila agaknya dapat bertemu lagi.

Koleksi Foto :
Terima kasih kepada Sue, KA, Farid & As @ facebook.com


Sunday, July 26, 2009

Julai 2009 dalam kenangan...


7 bulan yang lalu pada malam tahun baru, aku merasa sangat aman. Dentum-dentam percikan bunga api langsung tidak mengganggu perasaan. Pertama kali dalam seumur hidup aku berasa teramat tenang pada malam tahun baru.

Pada masa itu entah mengapa hati semacam mengembara jauh. Dalam setiap nafas yang dihela, aku dapat merasakan betapa perit dugaan yang bakal ditempuh tahun ini... seolah-olah ada sesuatu yang besar sedang menunggu di depan.


Namun apa yang mampu aku lakukan ketika itu hanyalah berdoa. Semoga Allah memberikan aku kekuatan iman dan fikiran untuk mengharungi segalanya yang telah ditakdirkan kepada ku.


Sesungguhnya masa berlalu begitu pantas. Diam tak diam, setengah tahun pertama sudah berlalu. Memang tahun ini lebih banyak menduga iman bagi kebanyakan di antara kita.

Kerjaya, kehidupan peribadi, kesihatan, kewangan, keluarga dan persahabatan, semuanya teruji dalam satu masa. Banyak kepedihan yang terpaksa dilalui sendiri.


Genap seminggu selepas pemergian Siwo lebih 2 minggu lalu, aku kehilangan seorang lagi insan yang penting dalam hidup ku . Bertubi-tubi dugaan yang datang... lebih ramai insan yang aku kenal pergi meninggalkan aku. Terasa dunia seakan-akan amat menyesakkan.


Saat menyaksikan jenazah dikebumikan di dalam liang lahad, aku sekali lagi menjadi sayu.


Di dalam hati berkata aku, "Wahai saudara, kita tak akan dapat berjumpa lagi...

"Kita kini hidup dalam 2 dunia yang berbeza...

"Namun aku akan selalu mendoakan kesejahteraan mu.

"Semoga berbahagia di alam sana, di sisi Allah yang Maha Pengampun."

"Al-Fatihah" ~ ZaidahSikun

Tuesday, July 14, 2009

Erti sebuah kematian


Khamis, 9 Julai yang lalu aku menerima berita yang sangat menyentuh hati untuk kami sekeluarga. Keadaan waktu itu tak ubah seperti 4 tahun lalu, semasa arwah abah pergi meninggalkan kami.

Namun kali ini hatiku bagaikan kosong. Tidak ada emosi sama sekali sewaktu berita pemergian Siwo dikhabarkan kepadaku.


Ketika sampai di rumah emak, aku diberitahu yang Siwo menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 4 petang, setelah beberapa hari tidak sedarkan diri.

Sejujurnya aku langsung tidak tahu menahu yang Siwo sebenarnya menderita penyakit tibi sejak berminggu-minggu yang lalu. Aku cuma tahu yang Siwo ditahan di ICU beberapa hari sebelumnya.


Menerima khabar itu membuat hatiku sayu tiba-tiba. Terkilan yang amat sangat kerana terlalu lambat menjenguk Siwo, sedangkan hati sudah lama mendesak.

Pada hari pengebumian, aku hanya mampu memandang sekujur tubuh Siwo dari jauh. Suasana rumah Siwo terasa sepi sekali hari itu. Hanya kedengaran bunyi derap kaki dan suara bacaan tahlil dari ruang tamu rumah.

Tersentuh rasa hati sebaik saja memeluk ibu saudara dan sepupu-sepupu yang masing-masing berwajah sugul.

Ketika ibu saudara cuba mengatakan sesuatu dalam esak tangisnya, air mataku mula bergenang. Aku langsung tak dapat memahami apa yang hendak disampaikan, namun kesedihan yang menggunung di hatinya seolah-olah meresap jauh ke dasar hati ini.

Pada saat itu aku benar-benar sedar tentang hakikat putaran dunia yang diciptakan Allah. Setiap detik, setiap ketika... akan ada kelahiran dan juga kematian yang tak mampu hendak kita elakkan.

Yang sihat akan jatuh sakit. Yang kecil menjadi dewasa... dan yang tua akan pergi meninggalkan kita. Demikian itu putaran alam... sehinggalah sampai giliran kita pula untuk menghadapi kematian.

Semoga Allahyarham Sarmin B. Omar ditempatkan di syurga bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. ~ ZaidahSikun

*Siwo = gelaran untuk pakcik atau makcik dalam bahasa jawa

Tuesday, July 7, 2009

Romantika de PD

Baru-baru ini aku berpeluang mengikut seorang teman, yang juga merangkap 'majikan' tak rasmi sejak aku menjadi juru gambar sepenuh masa. Ringkasnya, aku ditaja untuk mengikuti percutiannya bersama teman-teman sekerja ke Teluk Kemang, Port Dickson (PD). Tetapi bukan untuk suka-suka bercuti kerana aku digaji untuk mengambil gambar.


Walaupun datang bekerja, dapat juga aku bergembira sewaktu di sana. Sepanjang perjalanan ke Port Dickson, aku 'membuta' saja kerana terlalu mengantuk tidak cukup tidur malam sebelumnya. Ditambah pula dengan sarapan nasi lemak ayam goreng pagi itu. Bertambah mengantuklah mata yang memang sudah sedia ada layu.

Sebelum sampai ke banglo yang disewa, kami singgah makan tengahari di sebuah kedai makan yang agak tradisional. Kedai makan di kawasan kampung saja, tapi menyeronokkan kerana dapat mencuci mata dengan persekitaran yang menyegarkan sambil menjamu selera. Nasi putih dengan ikan goreng, sayur kangkung dan telur masin... sudah cukup membuat perutku gembira.

Petang itu 'majikan' dan teman-temannya membuat keputusan untuk menjenguk kawasan pantai yang berada tak jauh dari banglo tempat kami menginap. Lebih kurang dalam 10-15 minit berjalan untuk sampai ke kawasan pantai.

Ketika mula-mula tiba, mereka sekadar bermain-main di gigi air. Tapi akhirnya masing-masing teruja untuk membasahkan diri. Selaku juru gambar, aku setakat bermain-main saja dengan ombak yang agak kuat ketika itu. Sesekali aku akan mengambil gambar 'candid' mereka yang begitu gembira berkubang di pantai. Macam-macam gelagat mencuit hati dapat dirakamkan.

Aktiviti malam hari sudah tentulah sesi makan-makan. Tak sah rasanya kalau bercuti di kawasan pantai tanpa mengadakan 'barbeque'. Pelbagai makanan sedia untuk dipanggang. Dari ayam hinggalah lala dan jagung, semua ada. Rasanya berat badan sendiri pun sudah naik disebabkan terlalu banyak makan sepanjang dua hari di PD.

Malam itu aku tak lena tidur. Mata agak cerewet sedikit, sesetengah tempat akan membuat aku resah dan susah hendak lelap.

Oleh sebab tak dapat tidur lena, aku bangun agak awal keesokan paginya. Kebetulan di luar hujan turun agak lebat, jadi aku sekadar duduk di dapur sambil merenung ke luar rumah. Hujan merupakan kejadian Tuhan yang sangat menenangkan... Lebih-lebih lagi dalam keheningan pagi hari.


Memandangkan hati agak bosan, aku lalu menjerang air untuk dibuat air kopi. Menikmati kopi O pada waktu pagi yang dingin membuat aku teringat pula pada keenakan ubi rebus. Kalaulah dapat makan ubi rebus atau setidak-tidaknye keledek rebus panas-panas, tentu bertambah indah pagi itu.

Kami bertolak balik ke KL lebih kurang sekitar 3.30 petang. Tetapi hanya sampai menjelang jam 10 malam kerana sesat di beberapa tempat, sedang lebuhraya pula sesak sepanjang jalan ke KL. Perjalanan balik lebih memenatkan, begitupun aku gembira kerana diberi peluang untuk menyertai percutian itu.

Terima kasih kepada 'majikan' yang sudi menggaji ~ ZaidahSikun

Tuesday, June 23, 2009

Happy belated birthday to myself

Beberapa bulan kebelakangan ini aku sibuk menyelesaikan kerja-kerja fotografi yang bertimbun. Terpaksa aku bersengkang mata hingga jam 4 pagi demi memastikan semua kerja beres sebelum bulan Jun berakhir. Memenatkan, tapi tak mengapa... semua itu pengorbanan biasa bagi orang yang bekerja sendiri.

Disebabkan jadual yang agak padat, masa untuk menulis di blog juga jadi semakin terbatas. Banyak cerita dan gambar-gambar yang tak sabar hendak dikongsi bersama tetapi terpaksa 'diperam' buat sementara waktu.

Cerita tentang Hari Lahir sendiri pun tak sempat ditulis tepat pada harinya. Hendak aku ceritakan sekarang, tapi rasa macam sudah hilang pula keterujaannya.

Walaupun sudah hampir 3 minggu berlalu, rasanya masih belum terlambat untuk aku mengucapkan "Selamat Hari Lahir" kepada diri-sendiri.

Diam tak diam, sudah masuk tahun pertama dalam dekad yang ke-3. Begitu pantas masa berlalu. Rasanya baru semalam aku berada di sekolah, menduduki SPM dan menerima Ijazah. Hari ini aku sudah pun berumur 31 tahun 17 hari.


Seperti kata orang, umur hanyalah nombor. Mungkin menjadi 'tua' atau berkedut sangat menakutkan bagi kebanyakan perempuan. Tapi apa yang lebih menakutkan bagi aku ialah hakikat bahawa aku belum lagi mencapai apa-apa dalam usia yang semakin meningkat hari demi hari.

Bagaimana kalau aku tak sempat mencapai sasaran yang diimpikan sebelum ajal menjemput? Apa kata org kalau aku tak sempat membuktikan bahawa jalan yang aku pilih ini adalah tepat dan bukan sia-sia?

Semua itu bermain di fikiran setiap hari. Aku terasa seolah-olah tak cukup masa hendak melakukan begitu banyak perkara. Masih terlalu banyak 'misi mustahil' (mission impossible) yang perlu dilaksana dan dijayakan. Adakah aku mampu untuk melakukannya?

"Terima kasih kepada 'big boss', kawan-kawan dan ahli keluarga yang telah meraikan hari jadi aku yang lalu. Love you all!" ~ ZaidahSikun

Tuesday, June 16, 2009

Memahami kekurangan diri

You enjoy drawing anything as far as your eye can see. You see far more than black and white, you see the feeling and emotion as you are shading in a drawing. Clearly you have a vast superior knowledge of what you perceive. You see things others don't.

You appreciate things that are simple and elegant.
You believe that complexity is mostly used to mask flaws. You believe that art is about leaving more to the imagination. The best art isn't overly showy or flashy. It subtly beautiful.

Your mind is like a Mountain. You are always there, looking out for your loved ones. You have a great sense of justice and are a fighter for peace. You have much respect and people trust you. You dont daydream, you make adventures happen.

Your goal in life is a simple one; happiness. This rare and powerful attribute allows you to appreciate all aspects of your life and find joy in the darkest of times. Your need for the simple essentials of happiness drives your actions in life.

Your element is Light. Bright and cheerful, you are easygoing and make friends easily. You have a good sense of right and wrong.

True story about you via birth date : 6th JUNE 1978
:: Originality.
:: Come with new idea.
:: Get something with your own way.
:: Honest and a quick learner.
:: Initiative and pick the best choice in everything.
:: Boss or a leader.
:: Self employed suit them best.
:: Generous with people in need.
:: Hidden courage and dedication often surprise others.
:: Your imagination is extremely unique.

:: Your love life is on the smooth track because it grows from friendship. Although you may not make a sweet lover but your sincerity bring happiness to your couple.

What kind of cat am I?
~ BIRMAN

Known for your unique ideas and sense of fashion, you tend to inspire people more than you think. Often you are the voice of innovation, and there isn't a single tight situation that you can't get out of. You are a resourceful and fast thinker, and people come to you constantly asking for advice --- which you seem to be able to give endlessly.

What is my primary color?
~ BLUE

You are careful and brooding, an expansive person who is more than happy abandoning the city for the peace and quiet of the woods. Sometimes people mistake your introversion for disinterest, but your charm and tenacity lend themselves to a self-portrait that is mysterious. People are always interested in what you have to say, consider you thoughtful and trustworthy, and always come to you first for advice.

What gemstone am I? ~ DIAMOND
Just as a diamond is forever, so are you. Often you do incredibly heroic things without needing to be acknowledged for them, but don't worry -- your time is coming. Someday, people will recall your name with the honor and dignity meant for people like yourself. You have the inspiration and drive to do great things, so don't let anything hold you back. Remember: diamonds are the hardest of all, and nothing can shatter your beautiful determination and enterprise.

What kind of bird am I? ~ HAWK
In general, people stop to watch you walk by: there's something about your presence that captures the gaze. It could be that people just don't see something like you very often, and that the air of mystery you exude is enough to draw peoples' thoughts toward what lies beneath the surface.

What kind of wild animal am I? ~ HORSE
You are the most graceful and beautiful of all the animals. You are gentle, kind, and everyone loves you. You think of others before yourself and love the country. You enjoy running and are very good at it. You are strong, diligent and very hardworking. You enjoy being with people as well as taking time to think and be alone. People go to you for advice and comforting. You are a very good listener and rarely ever lose your temper. You are a loyal, understanding, and trustworthy friend. You hold your tongue and always think before you speak. You are a very good person.

You are compassionate person who values harmony. You are quite generous toward others.
You are able to adapt to almost any situation. You are very independent.
You have to watch out for your temper. Your emotions can get the best of you at times.
You are truly passionate about life. You are always embracing the world and learning from it.

Sumber : www.facebook.com
--------------------------------------------------------

Sejak dulu, aku memang suka mengambil ujian personaliti - tak kira sama ada ia kuiz di dalam majalah mahupun di facebook. Bukan aku terlalu percaya atau taksub, cuma keputusan ujian yang dibuat selalu saja menyamai realiti secara kebetulan.

Tak tahulah apa pendapat orang lain, tapi bagi aku ujian personaliti banyak membantu aku memahami sifat dan perwatakan sendiri.

Dalam menjalani hidup sehari-hari, ada masanya kita terlalu asyik memenuhi kemahuan hati sampai terlupa tentang keburukan sikap kita yang tertentu. Keluarga dan kawan-kawan pula rata-rata tak berani hendak menegur kerana bimbang kita terasa hati.

Oleh sebab itu, ujian personaliti secara tak langsung boleh dijadikan rujukan dalam menilai sifat-sifat yang tersembunyi. Kalau ada sikap yang baik, bolehlah diteruskan dan ditambah lagi. Sifat yang negatif pula, lebih elok jika diperbaiki sedikit demi sedikit.

Keputusan ujian personaliti yang menonjolkan kelebihan diri, bagi aku merupakan satu bonus. Bukan untuk dibangga-bangga atau dipercayai 100 peratus, tapi tanpa disedari ia banyak membantu dalam meningkatkan keyakinan.

Kelemahan pula mengingatkan kita agar selalu berusaha untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya, berpijak di bumi nyata dan menyedari hakikat kekurangan diri.

Sebelum ini aku selalu berasa keliru dengan sikap diri yang tak menentu. Ada masanya aku seperti hilang arah dan tak pasti dengan apa yang hendak dilakukan dalam hidup. Selalu saja aku bingung dalam memahami diri-sendiri.


Disebabkan tidak mahu tenggelam dalam kemurungan itu, aku selalu mengingatkan diri tentang satu perkara paling penting dalam hidup, iaitu pilihan.

Setiap manusia diberikan peluang untuk membuat pilihan dalam banyak perkara... sama ada ingin hidup gembira ataupun bersedih, berjaya atau gagal... disenangi atau dibenci... bahagia mahupun derita.

Setiap orang mampu untuk hidup gembira, berjaya, disenangi dan bahagia. Apa yang membezakan hanyalah pengertian individu tentang maksud kegembiraan yang sebenarnya. Apa itu kejayaan, kesenangan dan kebahagiaan?

Walau apa sekalipun makna semua itu bagi diri kita, pilihlah untuk hidup bahagia, berjaya, bahagia dan disenangi
. Semoga kita sentiasa memperoleh ketenangan.


Wednesday, June 3, 2009

Tahniah Azah...

Hari ini aku menziarahi Azah yang sudah berbulan tak berjumpa. Kami tinggal serumah selama hampir 4 tahun ketika belajar di kampus utama UIA dulu.

Selepas tamat pengajian kami
membawa haluan masing-masing dan semakin jarang bersua muka, lebih-lebih lagi setelah dia berkahwin.

Lazimnya aku akan berkunjung ke rumah Azah sesekali apabila teringat kepadanya... semasa hari raya ataupun selepas mendapat berita dia selamat melahirkan anak.


Bukan aku tak mahu selalu datang ke rumah Azah ataupun mengajak kawan-kawan lain berjumpa. Aku cuma tak mahu menyusahkan mereka. Setiap kali tergerak hati untuk mengajak kawan-kawan berjumpa, aku selalu saja berasa serba salah.


Tak sampai hati hendak mengajak mereka ke mana-mana kerana aku tahu teman-teman kebanyakannya sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab masing-masing. Tak ramai kawan-kawan yang masih bujang dalam usia kami yang sudah mencecah 31 tahun.
Kalau ada pun, boleh dikira dengan jari.

Aku ke rumah Azah agak lewat petang itu. Sebelum ke rumahnya, aku sempat lagi singgah ke butik barang keperluan bayi di Plaza Idaman untuk membeli 'buah tangan'. Hampir 20 minit aku habiskan dengan membelek setiap barang di kedai... Semata-mata kerana ingin memilih hadiah yang betul-betul sesuai dan berbaloi.


Barang-barang yang dibungkus siap dalam bentuk 'hamper' tak langsung menarik perhatian. Ada saja yang tak kena di mataku. Warna baju tidak menarik... fesyen baju agak kolot... harga melebih bajet dan bermacam-macam alasan lagi.


Tak mahu terus berlama di situ, akhirnya aku memaksa diri untuk memilih satu set pakaian bayi, set bedak, losyen dan syampu bayi serta 'wet tissue'. Semuanya berwarna biru (kecuali 'wet tissue') dengan alasan, Azah mendapat bayi lelaki.
Kalau bayi perempuan, rasanya sudah tentu aku memilih hadiah berwarna merah jambu.

Ketika menerima hadiah, Azah sendiri berasa hairan melihat pilihan barang yang aku bawa. Sudahlah tidak dibungkus dengan pembalut hadiah (kerana tidak cukup masa), jumlahnya pula lebih dari satu.

Sempat lagi dia berseloroh : "kalau kau beranak nanti, aku kena bagi banyak
hadiahlah nampaknya." Aku tergelak lalu secara automatik membalas : "sebab tulah aku bagi hadiah banyak-banyak tu."

Apa pun, aku sekadar bergurau sebenarnya. Sebagai seorang kawan lama, aku tumpang gembira dengan kelahiran cahaya mata kedua Azah itu.

Tahniah Azah sebab kini bergelar ibu kepada 2 orang cahaya mata lelaki yang comel. Semoga rumah tangga yang dibina bersama suami tersayang akan bertambah aman bahagia dengan kehadiran
cahaya mata kedua ini.

Amiin...